Yok! Ikut PPIS bantu famili anak memerlukan

Yok! Ikut PPIS bantu famili anak memerlukan

muslim parents with child enjoying lunch

This story was published by Berita Harian on May 13, 2021.

NIAT murni Cik Aini (bukan nama sebenar) hendak mengukuhkan kewangan rumah tangganya mendorong beliau ke Pusat Khidmat Keluarga PPIS.

Beliau, yang ingin kembali bekerja, telah mendapatkan maklumat dan nasihat daripada pekerja sosial agar menempatkan anaknya Daniel (bukan nama sebenar) di Pusat Jagaan Kanak-Kanak berdekatan.

Pegawai sosial berjaya menerangkan kepada Cik Aini tentang subsidi yang ditawarkan kepada ibu-ibu yang memerlukan jagaan kanak-kanak apabila mereka keluar bekerja.

Malah, pegawai sosial tersebut berjaya mendapatkan tempat di sebuah pusat berdekatan untuk Daniel. Mereka juga membantu dalam urusan pendaftaran Daniel di sekolah rendah.

Suami Cik Aini, Encik Syafiq (bukan nama sebenar) satu-satunya pencari nafkah keluarga itu ketika Cik Aini berkunjung ke pusat khidmat keluarga PPIS.

Hasil kerja kerasnya selama bertahun-tahun, beliau dinaikkan pangkat menjadi Penolong Pengurus di sebuah kedai kejiranan.

Namun, disebabkan Covid-19, gaji beliau terjejas.

Biarpun demikian, beliau tetap bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan.

Menyedari betapa pentingnya keadaan kewangan yang mantap demi memastikan sebuah keluarga yang kukuh, Cik Aini memutuskan kembali bekerja agar dapat menyumbang dalam memenuhi keperluan keluarganya dan mengukuhkan lagi kewangan mereka.

PPIS turut menawarkan sokongan emosi kepada Cik Aini, yang berasa kurang yakin diri untuk kembali bekerja setelah menghabiskan enam tahun sebagai suri rumah untuk menjaga Daniel sepenuh masa.

Dalam sesi kaunseling bersama Cik Aini dan Encik Syafiq, PPIS turut memberi fokus kepada kekuatan mereka sebagai suami isteri dan ibu bapa yang sering menghadapi cabaran kehidupan.

Cik Aini kini ada pekerjaan tetap dan tidak lagi bimbang tentang keadaan kewangan dan penjagaan Daniel.

Bagi Daniel, sambutan Hari Raya kali ini, seperti tahun lalu, tidak semeriah sebelum Covid-19.

Datuk dan neneknya menetap di Malaysia dan Daniel tidak ingat pun kali terakhir dia bertemu mereka. Ibu Daniel hanya memberitahunya bahawa dia harus rajin memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri untuk bertemu mereka lagi.

Sepanjang Ramadan, PPIS juga memberi sokongan tambahan kepada keluarga memerlukan dengan mengagih barang-barang yang diperlukan untuk persiapan iftar dan Hari Raya.

Keluarga yang dibantu, seperti Cik Aini dan Encik Syafiq, juga dijemput menyertai majlis perayaan dalam talian.

PPIS berharap dapat terus menyokong lebih banyak keluarga seperti Cik Aini dan Encik Syafiq.

Ini dapat dilakukan dengan sumbangan ikhlas anda.

Setiap sumbangan anda akan disalurkan untuk membantu anak-anak seperti Daniel, untuk mendapatkan pendidikan bermutu agar dia juga boleh mencapai impiannya.

Sumbangan anda hari ini bakal menerangi masa depan mereka. Derma melalui giving.sg/ppis untuk menyinari hidup mereka.