Bapa Melayu/Islam didapati kurang faham erti sebenar luang masa berkualiti dengan anak

Bapa Melayu/Islam didapati kurang faham erti sebenar luang masa berkualiti dengan anak

kids playing in roundabout with their dad

 

 

 

 

 

 

 

 

This article was originally published by BERITAMediacorp on 26 February, 2022.

 

BERITAmediacorp: Kaum bapa Melayu/Islam di Singapura didapati kurang faham erti sebenar meluangkan masa secara bermakna dengan anak walaupun meluangkan masa bersama, mereka akui sangat penting.

Demikian antara dapatan satu kajian terkini yang meneliti cabaran-cabaran dihadapi para anggota masyarakat Melayu yang bergelar ayah di sini.

Kajian kualitatif itu baru diterbitkan pada awal minggu ini dan ia disiapkan oleh Zamil Penyelidik Institut Kajian Dasar (IPS) Dr Mohamad Shamsuri Juhari.

Menurut Dr Shamsuri, hampir kesemua 50 bapa yang diwawancara secara mendalam dalam kajian 18 bulan itu, akur tentang peri “pentingnya meluangkan masa dengan anak-anak”. Para responden turut mengulangi pendirian yang sama ketika ditanya tentang pentingnya meluangkan “masa berkualiti” dengan anak masing-masing.

“Itu semua bagus. Jadi saya bertanya: Kalau masa itu ada, aktiviti apa yang dilakukan? Dan kebanyakan bapa mengatakan: Saya biarkan mereka buat apa yang mereka nak selagi saya ada di situ. 

“Ada juga bapa bilang: Kita suka tengok TV bersama. Jadi saya bertanya: Buat apa bila lihat TV? Jawabnya: Saya duduk sini, dia duduk sebelah saya. Kita tengok TV. Rancangan TV kita tutup, sudah,” kongsi Dr Shamsuri yang berpendapat bahawa ini menunjukkan jurang ketara berkaitan pemahaman kaum bapa mengenai apa itu “quality time”.

Lebih membimbangkan lagi adalah, para responden kajian ini secara terbuka mengaku bahawa ada pelbagai faktor yang menghambat mereka daripada meluangkan masa bersama anak.

Sebahagian besar malah mengatakan, mereka hanya dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama anak pada “musim cuti dan hujung minggu”.

Semua ini, terutama sekali berkaitan pemahaman kaum bapa yang kurang tepat tentang apa itu “masa berkualiti”, sememangnya boleh menimbulkan masalah terhadap hubungan antara seorang bapa dengan anaknya, tambah Dr Shamsuri.

“Masalahnya mereka tidak dapat (merebut) peluang itu – peluang masa yang boleh digunakan untuk merapatkan hubungan antara bapa dengan anak. Itu hilang. Peluang untuk mendidik anak, berinteraksi dengan anak, berkomunikasi dengan anak. Itu semua tidak ada,” ulasnya.

 

Cik Tuminah Sapawi selaku Anggota Pasukan Bertindak Nakhoda bagi Kebapaan yang dibentuk baru-baru ini turut menyuarakan keprihatinan terhadap masalah itu.

“Antara kesannya nanti adalah masing-masing buat hal sendiri. Lambat laun mereka hilang kemahiran untuk berinteraksi dan berkomunikasi. Lebih-lebih lagi dalam dunia digital ini. Apa yang seharusnya kita luahkan secara lisan diambil alih oleh kiriman WhatsApp,” kata Cik Tuminah yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Pasukan Bertindak Nakhoda pimpinan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim dibentuk demi membantu golongan bapa mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi untuk membesarkan anak.

Keperluan ini dikemukakan setelah ada kajian yang menunjukkan bahawa ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam mencorak keperibadian anak-anak mereka.

“Antara intervensi yang sedang dipertimbangkan adalah kursus kemahiran keibubapaan. Kursus yang dapat menajamkan kemahiran perhubungan di antara bapa dan anak,” kongsi Cik Tuminah kepada BERITAmediacorp.

Semua intervensi yang dilakar pasukan bertindak itu akan akhirnya dibentangkan pada suku ketiga 2022.

Sungguhpun demikian, Cik Tuminah menekankan bahawa usaha Pasukan Bertindak Nakhoda bagi Kebapaan memerlukan pendekatan seluruh masyarakat dan juga badan-badan Melayu/Islam.

CARA BAPA MELAYU BESARKAN ANAK BERPANDUKAN AGAMA

Sebenarnya, kajian yang dijalankan Dr Shamsuri juga mengemukakan banyak lagi dapatan menarik.

Misalnya, agama ternyata sumber rujukan utama bagi kebanyakan bapa Melayu/Islam di Singapura.

“Ada yang menggunakan apa yang ditunjukkan dalam agama (sehingga) kurang fleksibel. Ada pula yang terlalu fleksibel,” kata Dr Shamsuri.

Pemahaman tentang agama juga berbeza-beza bagi setiap bapa Melayu/Islam. Berikut satu contoh seperti yang diterangkan Dr Shamsuri:

“Ramai bapa menghantar anak mereka ke kelas madrasah (hujung minggu). Kita bertanya sebab-sebab mereka menghantar anak mereka. Ada juga yang menjawab: Sebab saya mahu mereka menjadi Muslim yang lebih baik. Tapi ada juga kumpulan yang mengatakan: Saya menghantar mereka sebab saya tidak rasa saya ada pengetahuan yang mencukupi untuk menunjuk ajar anak-anak saya dalam segi ugama.

Isu ini sama penting, tambah Dr Shamsuri, kerana ini menunjukkan pengertian tentang apa yang harus atau tidak harus dilakukan golongan bapa, berlainan bagi setiap kaum Adam.

“Jadi apa yang saya rasa diperlukan adalah satu kayu ukur umum. Ketua agama (umpamanya) boleh menerangkan bagaimana agama boleh diterapkan dan bapa-bapa Melayu/Islam boleh menggunakan rasional itu,” kata Dr Shamsuri lagi.