Jenamakan semula pusat jagaan

Jenamakan semula pusat jagaan

This article was originally published by Berita Harian on 29 Oct, 2021.

Setelah hampir empat dekad menawarkan khidmat jagaan kanak-kanak dan lebih tiga dekad mengendalikan pusat jagaan pelajar, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) kini mengorak langkah dengan menamakan pusat-pusat tersebut sebagai 7oaks Preschool dan 7oaks Student Care.

Sejajar dengan penjenamaan semula pusat-pusat PPIS (kini dikenali sebagai 7oaks), mereka telah menghasilkan logo baru yang memaparkan kesegaran yang bakal diterapkan pada khidmat yang disediakan. Dalam usaha tersebut ia juga bakal menyediakan lelaman web menyeluruh pada akhir tahun ini.

PPIS mempunyai tujuh pusat prasekolah terletak di kawasan kejiranan, antaranya di kawasan Bukit Batok yang terkenal dan kaya dengan hasil tanaman dan kehijauan dan merupakan juga antara prasekolahnya yang terbesar.

Pusat Jagaan Pelajarnya pula terletak di Bedok Reservoir and Jurong West. Kededua pusat ini terletak berdekatan dengan beberapa sekolah rendah yang memudahkan pelajar menghabiskan masa selepas sekolah di pusat-pusat itu.

Selain itu, antara pusat ini juga turut menawarkan penjagaan bayi seawal dua hingga 18 bulan, di samping kanak-kanak lain berusia di bawah enam tahun.

Pusat-pusat ini juga menerima pelajar daripada setiap lapisan masyarakat termasuk pelajar bukan Melayu.

Antara pencapaian yang diraih pusat ini adalah pengiktirafan daripada Lembaga Penggalakan Kesihatan, atau HPB, dan menerima pengiktirafan Healthy Pre-school Platinum Award – sebagai tanda mengamalkan dan menggalakkan gaya hidup sihat bagi kanak-kanak, ibu bapa mereka serta guru-guru yang bertugas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS dan Pengarah kepada 7oaks, Cik Tuminah Sapawi, setelah hampir 40 tahun menyediakan khidmat cemerlang bagi jagaan prasekolah dan juga mengendalikan pusat jagaan pelajar, pihak PPIS sudah bersedia melangkah ke fasa selanjutnya. Pusat-pusat ini bakal menjalani penjenamaan serta diikuti dengan logo baru yang lebih segar, namun akan tetap menitikberatkan mutu pembelajaran selain menawarkan khidmat premium dan holistik kepada pelajar mereka.

Selain itu, pusat ini juga menerapkan pembelajaran kurikulum Reggio, ia menampilkan nilai-nilai murni murni seperti saling menghormati dan memupuk sifat bertanggungjawab. Ia juga bakal memperkenal kurikulum baru, Respectful Relationship, bagi kanak-kanak berusia antara lima tahun dengan enam tahun bagi menghargai diri cara melindungi diri mereka.

“PPIS mengendalikan khidmat tadika sejak 1983. Kini setelah 38 tahun, khidmat tadika kami bukan saja sudah berkembang menjadi tajaka malah terdapat di tujuh tempat di seluruh Singapura. Jumlah kanak-kanak di pusat-pusat prasekolah tersebut lebih daripada 800 murid. Dua antara tadika kami turut menawarkan penjagaan bayi daripadausia dua bulan hingga 18 bulan di samping kanak-kanak lain yang berusia di bawah enam tahun.

“Bagi memastikan khidmat yang menyerlah, kami menubuhkan jabatan PreSchool Development, atau PSD, yang merangkumi pegawai-pegawai yang pakar dalam bidang kurikulum, audit, latihan dan perkembangan guru. Kami beruntung kerana mempunyai anggota lembaga pengarah yang pakar dalam bidang prasekolah yang membantu meningkatkan prestasi guru dan pra-sekolah kami. Antaranya ialah bekas Presiden kami, Cik Rahayu Mohamad, yang menerajui Jawatankuasa Penasihat Khidmat Kanak-Kanak. Beliau dan beberapa anggota lembaga pengarah lain memberi bimbingan kepada kakitangan pusat prasekolah ini untuk meningkatkan mutu pendidikan,” jelas Cik Tuminah.

Cik Tuminah turut menjelaskan, pusat itu juga amat mementingkan mutu pendidikan yang menyeluruh dan salah satu kelebihannya adalah menyediakan kurikulum baru yang lebih menarik kepada pelajar mereka.

“Salah satu keistimewaan pusat prasekolah 7oaks ini ialah kurikulum Reggio yang menampilkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati, sikap bertanggungjawab dan sebagainya, yang disemat dalam diri anak-anak menerusi keadaan persekitaran. Contohnya, nilai mengitar semula dan mencintai alam semula jadi adalah antara faktor penting dalam pembelajaran anak-anak.

“Pihak kami mendorong anak-anak menghargai alam persekitaran dan seberapa boleh, mengitar bahan yang ada agar ia tidak terbuang begitu saja. Menerusi kaedah Reggio ini, anak-anak didorong agar bersikap ingin mengetahui tentang alam sekitar dan juga meningkatkan daya kreativiti mereka.

“Impian kami agar pusat-pusat 7oaks ini menjadi pilihan ibu bapa yang inginkan penjagaan holistik bagi anak-anak mereka sama ada pada peringkat prasekolah ataupun daripada darjah satu hingga enam. Kami juga berharap pusat-pusat 7oaks dapat berkembang ke luar negeri. Kami yakin dengan kurikulum bermutu serta mengambil kira kemahiran masa depan yang diperlukan, dan berbekalkan usaha gigih pegawai kami, impian in boleh tercapai, insya-Allah. Pendek kata, setiap kanak-kanak yang mengikuti prasekolah kami akan membesar dalam sekitaran yang positif dan mempelajari nilai-nilai murni yang akan menjadi pedoman penting apabila mereka meneruskan pendidikan pada peringkat sekolah rendah dan seterusnya,” tambah Cik Tuminah.

Maklumat lanjut boleh didapatkan dengan melungsuri https://ppis.sg/ serta www.7oaks.sg