Perintis aktivis hak wanita Muslim Khatijun Nissa Siraj meninggal dunia

Perintis aktivis hak wanita Muslim Khatijun Nissa Siraj meninggal dunia

This article was originally published by Berita Harian on 08 March, 2023.

PERINTIS aktivis hak wanita Muslim, Cik Khatijun Nissa Siraj telah meninggal dunia pada malam Selasa (7 Mac).

Allahyarhamha berusia 97 tahun.

Allahyarhamha mengasaskan bersama Pemuda Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Majlis Kesejahteraan Wanita Muslim, dan ialah kaunselor wanita pertama di Mahkamah Syariah.

Ketika dihubungi Berita Harian, anak perempuannya, Cik Zaibun Siraj pada Rabu berkata bahawa Allahyarhamha telah jatuh sakit sejak November dan keadaan kesihatannya merosot sejak kebelakangan ini.

Allahyarhamha, yang menetap bersama Cik Zaibun, meninggal dunia di rumahnya.

Cik Zaibun, 75 tahun, seorang pesara, berkata:

“Saya mengingati keazamannya untuk membantu orang ramai memperbaiki kehidupan mereka dengan membangkitkan perubahan ketika dia berjuang untuk mengawal poligami dan juga untuk menurunkan kadar penceraian. Dia melakukannya dengan penuh dedikasi.”

Allahyarhamha meninggalkan tiga orang anak (tidak termasuk seorang yang meninggal dunia), enam cucu dan seorang cicit.

PPIS dalam kenyataannya pada Rabu berkata pemergian Allahyarhamha Khatijun sebagai satu kehilangan ketara bagi masyarakat dan negara ini dan berharap legasinya akan terus memberi inspirasi kepada pelbagai generasi wanita akan datang.

PPIS berkata pemergiannya yang berlaku sehari sebelum Hari Wanita Antarangsa pada 8 Mac, membawa makna yang “lebih mendalam” terhadap hari memperkasa wanita itu sebagai tribut semangat dan dedikasinya menerajui hak wanita Muslim di sini.

Presiden PPIS, Cik Mdm Hazlina Abdul Halim yang menyebut Allahyarhamha dengan nama gelaran “mummy” berkata: “Mummy merupakan seorang perintis penuh visi yang telah membuka laluan bagi pelbagai generasi wanita Muslim di Singapura.

“Beliau merupakan seorang contoh teladan yang mana komitmennya terhadap menerajui isu kaum hawa memang amat dicontohi,” tambahnya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamha.