Relawan M³ bertambah, dibekal kemahiran dekati keluarga

Relawan M³ bertambah, dibekal kemahiran dekati keluarga

This article was originally published by Berita Harian on 07 March, 2023.

BILANGAN sukarelawan di 11 bandar M Kuasa Tiga (M³) meningkat daripada sekitar 700 kepada 800 orang pada 2022, dan mereka telah mendekati hampir 7,000 keluarga Melayu/Islam di bandar tersebut, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Menurut Dr Maliki, sukarelawan tersebut datang daripada pelbagai latar belakang, masing-masing dengan pengalaman dan kepakaran tersendiri untuk menyumbang kepada golongan memerlukan.

“Tenaga sukarelawan merupakan tunggak bagi masyarakat yang aktif dan cemerlang.

“Untuk menyokong perkembangan program-program M³, seperti Projek Dian, kita bukan hanya perlu menambah jumlah sukarelawan, tetapi juga memastikan setiap sukarelawan dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran supaya mereka dapat berkhidmat secara berkesan,” kata beliau di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bagi Ehwal Masyarakat Islam di Parlimen pada Isnin.

Bagi memenuhi keperluan itu, Dr Maliki berkata Pejabat Penyelarasan Pelibatan Masyarakat M³ (M3 ECO) ditubuhkan dan memperkenal sebuah Rangka Kerja Pembinaan Keupayaan Sukarelawan yang kukuh agar sukarelawan dapat dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendekati keluarga.

Lebih 150 sukarelawan telah menyertai program latihan tersebut sejak ia dilaksana pada September 2021.

“Mereka lebih yakin mendekati and menjalin hubungan dengan para penduduk yang ditemui. Mereka memberi maklumat berguna kepada keluarga-keluarga ini berdasarkan keperluan masing-masing.

“Selain latihan kemahiran asas, kami juga menganjurkan sesi-sesi latihan khusus bersama agensi pemerintah tertentu, di mana sukarelawan kita dilengkapi dengan pengetahuan yang lebih khusus tentang dasar dan skim-skim pemerintah yang boleh dimanfaatkan oleh keluarga-keluarga ini,” kata beliau, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).

Memberi contoh, Dr Maliki berkata sesi latihan yang dikelolakan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menumpukan perhatian pada skim perumahan yang disediakan pemerintah untuk dikongsi oleh sukarelawan.

Dr Maliki turut menekankan kepentingan memperluas dan memperkukuh rangkaian rakan masyarakat bagi mewujudkan kesan lebih luas dan mendalam dalam masyarakat.

Beliau berkata hari ini rangkaian badan Melayu/Islam (MMO) dan badan India/Islam (IMO) menyokong ramai anggota masyarakat memerlukan melalui sumber dan program yang disediakan, selain kerjasama antara satu sama lain.

Misalnya, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) bekerjasama dengan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) pada Disember 2022 untuk melancarkan biasiswa possiswazah khas untuk wanita Islam (MW) bernilai $150,000 selama 10 tahun dari 2023 hingga 2033, atau $15,000 setahun.

Dalam usaha memupuk rakan kongsi baru, Dr Maliki berkata beliau dan pemimpin Melayu/Islam telah mendekati hampir 30 kumpulan berbeza pada 2022, termasuk badan belia, agensi khidmat sosial, pemimpin kesatuan dan kumpulan daripada pekerjaan berbeza.

Dalam bidang perubatan, misalnya, doktor dan karyawan penjagaan kesihatan dalam masyarakat tampil membantu, termasuk Dr Fadzil Hamzah dari Hospital Besar Changi (CGH) yang bekerja rapat dengan M3@Tampines dan asatizah di Masjid Ghufran untuk mengadakan ceramah kesihatan kehamilan.

Dalam pada itu, lebih 400 peserta daripada lebih 25 agensi awam dan badan masyarakat menyertai Forum M3 kedua pada Februari 2023. Ia wadah bagi rakan dan sukarelawan M3 berkumpul untuk meneliti kerja yang telah dijalankan, sambil memikirkan sasaran dan kerjasama baru untuk masa depan.

“Contohnya, melalui Forum M3 tahun ini, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan M3@Jalan Besar bersatu untuk mempromosikan pemerkasaan belia, dengan menyediakan belia sumber bagi perkembangan peribadi dan profesional.

“Saya menggalakkan lebih banyak kumpulan masyarakat tampil menjadi sebahagian daripada keluarga M3 bagi memperkukuh rangkaian penjagaan untuk masyarakat kita,” katanya.