Sokongan bagi wanita galas pelbagai tugas di tengah pandemik Covid-19

Sokongan bagi wanita galas pelbagai tugas di tengah pandemik Covid-19

This article was originally published in Berita Harian on June 06, 2021.

KELETIHAN dan tekanan mental boleh dihadapi golongan wanita di Singapura yang memainkan pelbagai peranan sebagai pekerja dan pada masa sama, memikul tangunggjawab membesarkan anak-anak dan menjaga rumah tangga.

Memahami dan menyedari tekanan yang dihadapi kaum Hawa, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga) Cik Sun Xueling menekankan kepentingan untuk menyediakan pelbagai sumber sokongan pada masa mereka memerlukannya.

Ini termasuk akses kepada sokongan emosi dan psikologi, sokongan selepas kehamilan dan juga mengubah pemikiran masyarakat mengenai norma tradisional.

Demikian dikatakan di dalam acara perayaan Harmony Raya yang diadakan dalam talian anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) semalam.

“MSF (Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga) dengan sokongan Kementerian Kesihatan (MOH) telah membentuk Talian Hotline Nasional semasa tempoh Covid-19 ini bagi menawarkan sokongan emosi dan psikologi kepada mereka yang menghadapi tekanan yang meningkat.

“Selain itu, pemerintah telah memperbaiki skim cuti sejak beberapa tahun lalu agar menyokong bapa memainkan peranan yang lebih banyak dalam membesarkan anak-anak mereka,” kata Cik Sun.

Beliau menggalak kaum lelaki mengongsi tanggungjawab dengan kaum Hawa supaya dapat meringankan beban dan tekanan mental kaum wanita.

Acara tahunan bertema Wanita merangkumi Kesedaran: Mencari Ketenangan Dalam Dunia Yang Sibuk turut disertai Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim serta 50 orang wanita dari pelbagai pertubuhan agama dan sekular.

Mengulas mengenai sokongan diberikan dalam masyarakat, Cik Hazlina berkata PPIS berharap dapat menawarkan ekosistem sokongan yang berterusan bagi golongan wanita.

“PPIS akan menyokong dan memperkasa wanita dari pelbagai tahap kehidupan mereka, termasuk menyokong wanita menangani pandemik global ini, yang telah menjejas wanita,” ujarnya.