Home > News & Media > PPIS As-Salaam sertai FAM@FSC mulai 1 Apr 2025; perkukuh komitmen sokong keluarga berdepan isu perkahwinan
PPIS As-Salaam sertai FAM@FSC mulai 1 Apr 2025; perkukuh komitmen sokong keluarga berdepan isu perkahwinan
This was originally published by BERITA Mediacorp on 14 November 2024.
Pusat Sokongan Keluarga As-Salaam, yang dikendalikan oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), atau lebih dikenali sebagai PPIS As-Salaam, akan menyertai Program Pengukuhan Keluarga@Pusat Perkhidmatan Keluarga (FAM@FSC) mulai 1 April 2025.
Demikian diumumkan Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling, semasa Forum Perkhidmatan Sosial PPIS 2024 yang diadakan di Hotel One Farrer pada Khamis, 14 November.
Program FAM@FSC yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Keluarga dan Sosial (MSF), bertujuan untuk menyokong dan membina pertalian keluarga yang lebih kukuh.
Buat masa ini, PPIS As-Salaam merupakan satu-satunya Agensi Khusus Bantuan Perceraian (DSSA) bagi pasangan Islam yang berdepan perceraian.
Pusat itu menyediakan khidmat kaunseling bagi membantu keluarga yang bercerai mengatasi kesan perpisahan dengan lebih baik, serta memberikan sokongan dalam proses penyelesaian konflik.
Penyertaan PPIS As-Salaam ke dalam FAM@FSC memperkukuh komitmen PPIS dalam memberikan sokongan berkesan kepada keluarga yang berdepan isu-isu berkaitan perkahwinan dan kekeluargaan.
“Kami sangat berbesar hati dapat memperkukuh kerjasama kami dengan Mahkamah Syariah kerana ini membolehkan kami menawarkan pendekatan yang lebih berkesan kepada mereka yang menghadapi isu-isu berkaitan perkahwinan dan kekeluargaan.
“Melalui FAM@FSC, masyarakat umum kini yakin bahawa PPIS lebih bersedia untuk menyediakan sokongan yang mudah diakses. Penyertaan kami dalam FAM@FSC mengukuhkan komitmen kami untuk menjadi organisasi yang dipercayai oleh keluarga yang memerlukan, sambil membantu membina daya tahan mereka dan mengeratkan lagi ikatan dalam masyarakat,” kata Profesor Madya Razwana.
Menurutnya, sebagai sebuah pusat FAM@FSC, PPIS akan mempunyai peluang untuk menjalin kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan.
“Kami percaya untuk merealisasikan aspirasi kami sebagai sebuah pusat FAM@FSC adalah penting untuk kami bekerjasama dengan rakan masyarakat dan pihak-pihak yang penting. Hanya dengan kerjasama ini, kami dapat memberikan sokongan yang lebih holistik dan berkesan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Forum bertemakan “Mengatasi Trauma: Memahami Penjagaan Berasaskan Trauma yang Responsif Budaya dalam Perkhidmatan Sosial” itu menghimpunkan kira-kira 280 karyawan perkhidmatan sosial, termasuk pekerja sosial, kaunselor, pelajar kerja sosial, dan rakan masyarakat.
Dalam ucapannya, Cik Sun berkata keluarga yang kuat dan stabil membentuk asas masyarakat.
“Keluarga yang kukuh dan stabil merupakan asas kepada masyarakat kita. Persekitaran keluarga yang stabil sangat penting untuk memupuk pertumbuhan sihat individu. Apabila kualiti kehidupan keluarga baik, keluarga berkembang maju, komuniti berkembang maju, dan begitu juga masyarakat,” kata beliau.
Menyedari kaitan antara trauma dengan faktor budaya adalah penting untuk menyediakan penjagaan yang berkesan.
Tambah Cik Sun, dengan memahami dan mengambil kira pengaruh tersebut, para pegawai dapat melaksanakan intervensi yang lebih responsif.
“Apabila penjagaan berasaskan trauma disepadukan secara harmoni dengan pendekatan yang responsif kepada budaya, campur tangan dapat disesuaikan dengan latar belakang dan pengalaman unik klien. Pendekatan holistik ini meningkatkan komunikasi dan kepercayaan, yang akhirnya membawa kepada hasil yang lebih baik untuk klien dan keluarga mereka,” jelasnya.
Profesor Madya Razwana berkata trauma meninggalkan kesan emosi dan psikologi jangka panjang.
“Trauma bukan sahaja melibatkan kesan emosi, tetapi juga dapat mempengaruhi tingkah laku seseorang dalam kehidupan seharian. Dalam menangani isu ini, kita perlu mendekati setiap individu dengan penuh empati dan memahami konteks budaya mereka. Hanya dengan pendekatan yang sensitif terhadap budaya, kita dapat memberikan sokongan yang lebih berkesan dan bermakna,” kata beliau.
PPIS berharap forum tersebut dapat memperkukuhkan peranan mereka serta menggalak pelibatan masyarakat dalam menangani isu trauma.
Dalam pada itu, PPIS turut menekankan komitmen mereka untuk terus peka dengan trend dan isu terkini yang berkaitan dengan trauma, serta berlandaskan data dan bukti dalam merangka program-program yang relevan.
“Kami berbesar hati atas kejayaan forum ini dan kami percaya bahawa ia telah menyatukan ramai pihak untuk sama-sama berusaha meningkatkan kesedaran tentang intervensi berasaskan trauma,” tambah Profesor Madya Razwana.