Home > News & Media > PPIS lancar kempen ‘Berjalan Bersama Wanita’ dengan sasaran S$100,000; Rahayu Mahzam dilantik penaung
PPIS lancar kempen ‘Berjalan Bersama Wanita’ dengan sasaran S$100,000; Rahayu Mahzam dilantik penaung
This was originally published by BERITA Mediacorp on 14 December 2024
SINGAPURA: Sekitar 50 peserta menyertai kempen ‘Walk with Women’ atau ‘Berjalan Bersama Wanita’ anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pagi tadi (14 Dis).
Dilancarkan buat julung kalinya, kempen itu berlangsung dari 1 Disember hingga 1 Februari 2025.
Sempena pelancarannya hari ini, satu acara berjalan kaki diadakan di bangunan prasekolah 7oaks di Bukit Batok East Avenue 6.
“Acara ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan menyokong usaha kami dalam memperkasakan wanita dan keluarga. Kami ingin menyediakan platform bagi masyarakat untuk menyertai misi kami, khususnya dalam menyokong wanita yang berdepan pelbagai cabaran hidup.
“Ia unik kerana ia menanamkan semangat kehidupan menyumbang — untuk wanita memberi impak kepada wanita lain, kanak-kanak, dan keluarga,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS Cik Aidaroyani Adam.
PESERTA BOLEH SERTAI PADA BILA-BILA MASA
Peserta boleh menghubungkan profil mereka ke aplikasi Strava atau menghantar kemajuan mereka secara manual untuk merekodkan jarak yang ditempuh.
Sumbangan minimum sebanyak S$50 melayakkan peserta untuk menyertai kempen ini, di mana mereka juga akan menerima barangan edisi khas sebagai tanda penghargaan.
RAHAYU MAHZAM PENAUNG BAHARU PPIS
Cik Rahayu Mahzam telah diumumkan sebagai penaung baharu PPIS.
“Sememangnya PPIS telah banyak menjalankan inisiatif dan program. Ini adalah satu legasi PPIS. Namun, dalam masa yang sama, kita juga perlu mengumpul dana untuk terus melakukan perkara-perkara yang bermakna untuk keluarga dan masyarakat. Jadi, saya rasa program sebegini (Kempen Walk with Women) adalah penting kerana ia memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap usaha PPIS,” ujar beliau.
Sebagai penaung baharu, beliau melihat peluang tersebut sebagai platform untuk memperkukuhkan usaha PPIS dalam memperkasa wanita.
“Saya harap PPIS dapat terus berkembang mengikut keperluan wanita hari ini. Ramai wanita bekerja menghadapi cabaran mengimbangi kerjaya dan keluarga. Dengan demografi yang berubah, kita perlukan sumber-sumber mencukupi untuk terus menjalankan program-program bermakna,” jelas Cik Rahayu.
Beliau turut menekankan perlunya kajian berterusan bagi memastikan khidmat PPIS kekal relevan dengan keperluan dan kemahuan wanita masa kini.