Home > News & Media > Lebaran berhemah, saling hormat dan penuh ihsan
Lebaran berhemah, saling hormat dan penuh ihsan
This article was originally published by Berita Harian on 1 May, 2022.
SETELAH dua tahun meraikan Lebaran secara digital dan terhad, kini kita bakal kembali bersalam-salaman, berkunjung-kunjungan, dan bermaaf-maafan di alam yang nyata.
Nah, mungkin ini membuat sebilangan orang berasa agak gementar – maklumlah sudah lama tidak ada peluang sedemikian.
Ada juga segelintir yang barangkali telah terbiasa akan norma kehidupan sewaktu pandemik dan kini lebih selesa berinteraksi pada skala yang lebih kecil.
Dan juga pasti, ada yang tidak sabar-sabar mengenakan pakaian sedondon dan menaiki bas mini untuk menerjah rumah-rumah sanak saudara, seperti yang biasa dilakukan sebelum Covid-19.
Pokoknya, sedang kita semua berdepan dengan Singapura yang kini bersedia menjadi lebih terbuka ekoran peraturan jarak selamat yang kian dilonggarkan, penting untuk kita semua terus bertolak ansur dan menitikberatkan sikap toleransi.
Setiap orang mempunyai tahap keselesaan dan keyakinan yang berbeza, malah ada yang mungkin mengalami cabaran berdepan dengan kelonggaran sedemikian, terbit daripada perasaaan canggung kerana sudah sekian lama tidak berinteraksi secara fizikal.
Jadi, apakah antara langkah yang boleh kita ambil untuk bersiap sedia menjelang Lebaran kali ini?
Apa kata kita mulakan dengan memasang niat agar lebih peka terhadap orang di sekeliling kita – daripada sanak saudara terdekat, jiran tetangga, sehinggalah tetamu yang kita undang, ataupun tuan rumah yang kita kunjungi.
Dengan memerhati, kita mungkin dapat lebih memahami.
PEKA DAN SEDAR
Dewasa kini, kian menular konten media sosial satira yang memaparkan keadaan kurang menyelesakan yang kerap berlaku pada Hari Raya, seperti bertanyakan seorang wanita bilakah beliau akan mendirikan rumah tangga ataupun bertanya kepada seorang isteri bilakah beliau akan menimang cahaya mata hinggalah menegur seseorang wanita kerana kelihatan lebih ‘sihat’.
Sudah jelas video-video demikian bertujuan menghibur.
Bagaimanapun, sindiran tersebut seharusnya mengingatkan kita untuk memastikan sketsa komedi itu tidak menjadi kebiasaan atau realiti.
Jangan sampai gurau-senda dan gelak ketawa kita membawa padah dan duka kerana mengguris hati yang lain walaupun tidak sengaja.
Kita harus lebih prihatin terhadap reaksi seseorang, lebih-lebih lagi wanita yang mungkin lebih kerap mengalami keadaan sedemikian.
Jika kita harus mencelah untuk membantu dan menyokong seseorang wanita di dalam keadaan tersebut, beranikan diri kerana benar untuk bangkit dan menegur, dengan cara berhemah.
Namun, pada masa yang sama berpegang pada ‘husnuzon’ (sangka baik) kerana lazimnya, niat di sebalik melontarkan kata-kata yang mungkin menyinggung perasaan tidak dihujah dengan sengaja, tidak disedari ataupun bertujuan menyakiti.
HORMAT DAN TOLERANSI
Justeru, cuba melaburkan sedikit lebih masa untuk menyusun kata-kata yang ingin kita utarakan supaya lebih menghormati dan lebih membina.
Bak istilah Inggeris ‘There is always a kinder way to say things’. Cari kekata lebih baik yang berlandaskan keihsanan yang boleh menjadi pilihan.
Pastinya ini bukan sesuatu perkara yang mudah dituruti.
Kadangkala, kita harus mengeluarkan kata-kata yang kritikal kerana ia perlu untuk membangkitkan kesedaran dan menjana semangat memperbaiki diri.
Namun, usaha ini penting untuk menanam sikap saling menghormati dan mempertahan adab yang bernilai tinggi dalam kalangan masyarakat kita.
Bertimbang rasa serta hormat juga penting semasa menziarah. Meskipun had angka sudah tiada, cuba hubungi tuan rumah terdahulu ketika ingin berkunjung-kunjungan.
Masih ada antara kita yang mungkin tidak selesa menerima kunjungan tetamu tanpa janji temu terlebih dahulu, kerana keadaan tidak mengizinkan ataupun ingin berhati-hati.
SABAR, SEPARUH DARI IMAN
Buat ramai keluarga, persiapan Syawal merupakan usaha yang menyeluruh, apatah lagi sedang Singapura melangkah ke hadapan, sebahagian usaha untuk memastikan keaadan pulih seperti sediakala.
Secara amnya, kaum wanita yang lazimnya menggalas tanggungjawab memastikan keperluan Lebaran untuk seisi keluarga cukup dan lengkap.
Maka bertambahlah lagi satu amanah yang harus dikendalikan oleh kaum wanita yang mungkin juga turut bertanggungjawab memastikan tugas di pejabat tidak terjejas. Mujur, kini lebih ramai “male allies” (sekutu) yang turut menyingsing lengan untuk mengendalikan tugasan-tugasan bersama.
Tetapi tidak semua wanita mempunyai ekosistem yang kukuh untuk mereka manfaatkan. Jadi, hulurkan bantuan kepada mereka yang mungkin bersendirian.
Kita juga seringkali tidak dapat membayangkan apakah yang dialami dan dilalui oleh seseorang – cabaran, tekanan dan sebagainya.
Maka itulah, berusaha agar lebih bersabar dan lebih saling memahami pada musim perayaan ini sedang kita semua membiasakan diri semula untuk megimbangi tanggungjawab masing-masing.
SAMBUT LEBARAN DENGAN PENUH IHSAN
Masyarakat Islam di Singapura rataratanya menghela nafas panjang ekoran pengumuman pemerintah baru-baru ini untuk memansuhkan had saiz kumpulan – buat kali pertama dalam masa dua tahun.
Peluang menjalin dan memupuk semula silaturahim ini harus dihargai dan jangan disia-siakan.
Dan baik seandainya penghargaan ini bermula dalam kalangan keluarga terdekat dahulu, yang duduk bersama di bawah satu bumbung.
Galas peluang ini untuk mengukuhkan pertalian kekeluargaan dengan saling membantu dan saling mendukung.
Jangan lepaskan peluang menjadi versi terbaik diri sendiri dan sekali gus, membantu ahli keluarga mencapai tahap yang sama.
Jadi, mulakan sambutan Hari Raya dengan bersyukur dan berterima kasih. Hargai dan sokongilah wanita dalam hidup anda yang berhempas-pulas berusaha supaya Lebaran kali ini sememangnya lebih bermakna.
Ingat jugalah pada mereka yang tiada dan pada golongan yang kekurangan.
Kongsilah rezeki dan kemeriahan Syawal bersama mereka yang memerlukan serta jiran tetangga yang berbilang bangsa.
Buat semua umat Islam Singapura, terutama sekali wanita yang kami kasihi, Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.
• Penulis presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
“Masyarakat Islam di Singapura rata-ratanya menghela nafas panjang ekoran pengumuman pemerintah baru-baru ini untuk memansuhkan had saiz kumpulan – buat kali pertama dalam masa dua tahun.
Peluang menjalin dan memupuk semula silaturahim ini harus dihargai dan jangan disia-siakan.
Dan baik seandainya penghargaan ini bermula dalam kalangan keluarga terdekat dahulu, yang duduk bersama di bawah satu bumbung.”
“Ingat jugalah pada mereka yang tiada dan pada golongan yang kekurangan.
Kongsilah rezeki dan kemeriahan Syawal bersama mereka yang memerlukan serta jiran tetangga yang berbilang bangsa.”
– Penulis.