Pemimpin masyarakat prihatin akan kesan pemansuhan seksyen 377A; sokong tindakan kukuhkan institusi keluarga dan perkahwinan

Home > News & Media > Pemimpin masyarakat prihatin akan kesan pemansuhan seksyen 377A; sokong tindakan kukuhkan institusi keluarga dan perkahwinan

Pemimpin masyarakat prihatin akan kesan pemansuhan seksyen 377A; sokong tindakan kukuhkan institusi keluarga dan perkahwinan

Last Update on August 23, 2022

This article was originally published by BERITA on 22 August, 2022.

SINGAPURA: Para pemimpin masyarakat dan politik menyuarakan keprihatinan masing-masing tentang pemansuhan Seksyen 377A Kanun Keseksaan, namun menyokong pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (20 Ogos) untuk mengukuhkan lagi institusi keluarga dan perkahwinan sedia ada.

“Pemerintah akan terus mengekalkan keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat. Kami tidak akan mengubah dasar-dasar berhubung keluarga dan perkahwinan. Kami juga akan terus mengekalkan norma-norma serta nilai-nilai sosial sedia ada dalam masyarakat kita,” tegas PM Lee.

Beliau juga berkata apa yang sedang disuahakan pemerintah itu adalah permuafakatan politik untuk mengimbangi pandangan-pandangan yang munasabah serta aspirasi dalam kalangan rakyat Singapura.

 

PERLU PERTIMBANGAN TELITI

Mengulas tentang ucapan PM Lee mengenai tindakan pemansuhan tersebut, Pengerusi Bersama Biro Hal Ehwal Melayu MUDA PAP, Cik Nadia Ahmad Samdin akur tentang perkara tersebut yang memerlukan banyak pertimbangan “teliti, terkawal dan secara sensitif”.

Cik Nadia berkata: “Dalam masyarakat di mana terdapat pelbagai kumpulan dengan kepercayaan yang berbeza dan kadang kala mempunyai pandangan yang bertentangan. Lantaran itu, konsensus agak sukar untuk dicari. Jika satu kumpulan menolak secara kuat, pihak yang lain juga mungkin menolak juga.”

“Kita tidak mahu melihat masyarakat yang semakin tegang dan bermusuhan dengan peperangan budaya. PM Lee berkongsi bahawa kepercayaan antara satu sama lain telah dibina dengan bersungguh-sungguh selama ini dan saya harap kami dapat saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” tambah Cik Nadia.

AMP PRIHATIN KESAN PEMANSUHAN SEKSYEN 377A PADA MASYARAKAT

Di samping itu pemimpin masyarakat juga prihatin akan kesan daripada pemansuhan Seksyen 377A itu terhadap masyarakat.

Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid menjelaskan kepada BERITAmediacorp: “AMP prihatin terhadap keputusan pihak pemerintah untuk memansuhkan Seksyen 377A dan kesan jangka pendek dan panjang ke atas masyarakat. Namun begitu kami yakin dan kami menyokong pihak pemerintah untuk melindungi institusi perkahwinan dari segi undang-undang dari pindaan ke perlembagaan Singapura.”

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan AMP hari ini (22 Ogos), pihak AMP menyatakan ia juga menyambut baik jaminan pemerintah untuk melindungi institusi keluarga di Singapura.

Berkenaan hal itu, Encik Mohksin berkata: “Salah satu fokus AMP adalah pengukuhan keluarga dan kami harap pihak pemerintah dapat terus komited dan konsisten dalam mengukuhkan institusi keluarga di Singapura.”

Dalam pada itu, beliau juga menggesa masyarakat Islam agar terus bersatu dan berhikmah dalam membincangkan tentang isu tersebut.

AMP juga berharap bahawa perbincangan akan dilakukan dengan penuh hormat dan juga terbuka kepada pandangan berbeza.

“AMP sedia berganding bahu dengan organisasi Melayu Islam Singapura membantu individu dan keluarga yang mungkin mengalami untuk menangani isu-isu ini,” jelas Encik Mohksin.

PPIS ALU-ALUKAN JAMINAN PEMERINTAH LINDUNGI INSTITUSI KELUARGA DAN PERKAHWINAN

Para pemimpin masyarakat juga berharap perbincangan dan sesi dialog juga terus diadakan bagi lebih memahami kedudukan masing-masing tentang perkara tersebut.

Ini bagi membolehkan mereka memberikan khidmat bantuan yang lebih berkesan, jika perlu.

Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Hazlina Halim berkata: “Untuk menangani kerumitan baru yang mungkin timbul, yang penting ialah bagi mereka yang menyediakan khidmat ini untuk sama-sama berbincang dengan lebih terbuka. Kita perlu memastikan para karyawan yang menawarkan khidmat dapat sokongan untuk juga meningkatkan diri mereka, supaya dapat menawarkan khidmat yang lebih kukuh,”

Beliau menambah: “Perbincangan terbuka penting. Apabila kita sama-sama lebih memahami situasi ini dan dapat kata orang itu menitikberatkan peri pentingnya untuk kita sama-sama pelajari dengan lebih banyak lagi apakah kerumitan dan perubahan yang akan mungkin tercetus.”

Menurut Cik Hazlina, keluarga yang kukuh adalah misi utama PPIS kerana ia merupakan landasan untuk pembangunan dan peningkatan masyarakat.

“Sebagai sesebuah organisasi ataupun badan yang menumpukan sokongan buat keluarga, nescaya itulah agaknya yang penting buat kami untuk memastikan segala khidmat dan program-program yang disediakan dapat mengukuhkan institusi keluarga,” tambah Cik Hazlina.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan PPIS hari ini (22 Ogos), persatuan itu menyatakan bahawa masyarakat memainkan peranan penting untuk mengeratkan fabrik sosial dan mewujudkan satu ekosistem yang saling menyokong serta memberi tumpuan kepada pembangunan dan bukannya berpecah-belah.

Menurut PPIS, untuk mengatasi cabaran dan kerumitan baru yang akan timbul di peringkat rantau dan global, Singapura perlu kekal bersatu.