Home > News & Media > Terima cabaran dengan minda terbuka, pilih pendekatan penuh ihsan
Terima cabaran dengan minda terbuka, pilih pendekatan penuh ihsan
Last Update on October 18, 2023
This article was originally published by Berita Harian on 28 August, 2022.
SINGAPURA telah mengambil pendekatan berbeza dari negara lain yang memansuhkan undang-undang serupa Seksyen 377A – yang menyifatkan hubungan seks antara lelaki satu jenayah.
Di negara lain tindakan tersebut biasanya membawa kepada langkah membolehkan pernikahan sama jantina.
Namun, pemerintah Singapura tetap berpegang teguh pada komitmennya bagi mengukuhkan institusi keluarga, meskipun mengambil tindakan memansuhkan Seksyen 377A.
Pendirian itu jelas diutarakan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang berkata definisi perkahwinan, sebagai antara lelaki dan wanita, tidak akan berubah di bawah pengawasannya sekiranya Parti Tindakan Rakyat (PAP) dipilih semula pada Pilihan Raya Umum (GE) akan datang.
Berkata demikian dalam sesi perbincangan pasca Rapat Hari Kebangsaan yang dianjurkan Berita Harian (BH) bagi membincangkan isu pemansuhan Seksyen 377A, pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sorip, menambah langkah meminda Perlembagaan akan memelihara takrif perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dan seorang wanita dan mencegah sebarang cabaran di mahkamah ke atas takrif tersebut pada masa depan.
Dalam Rapat Hari Kebangsaan baru-baru ini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mengumumkan bahawa pemerintah akan meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dengan seorang wanita.
Ini merupakan sebahagian usaha pemerintah untuk melindungi takrif itu, yang terkandung dalam Akta Terjemahan dan Piagam Wanita, daripada dicabar dari segi Perlembagaan di mahkamah.
“Memang ramai orang tak tahu apa kena mengena (Seksyen) 377A ini dengan perkahwinan, jauh sekali kerana ia berkaitan seks antara dua lelaki, jadi orang bingung.
“Sebenarnya, selepas undang-undang ini dimansuhkan, tujuannya (pihak tertentu) adalah untuk mendapatkan lebih banyak hak-hak termasuk pernikahan sama jantina dan dibenarkan untuk mengambil anak angkat…
“Di negeri lain, bila undang-undang itu dimansuhkan, mereka terus sahkan perkahwinan sama jantina, tapi di Singapura, undang-undang kita berbeza,” katanya.
Sesi perbincangan yang berlangsung di pejabat SPH Media di Toa Payoh North itu baru-baru ini disertai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Timbalan Pengarah Pejabat Mufti, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy; Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Kalthom Muhammad Isa; pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sorip, dan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim.
Menyentuh tentang takrif perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dengan wanita, Encik Rohim berkata definisi ini jelas terkandung dalam Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dan Piagam Wanita, dan jika definisi itu tidak ditepati, pernikahan tersebut dikira tidak sah.
Pemerintah akan mengambil langkah untuk menguatkan lagi definisi ini supaya ia tidak boleh dicabar di mahkamah, tambahnya.
“…Perlembagaan ini akan diubah untuk lindungi definisi perkahwinan, itu jelas dan terang.
“Dan semua isu dan dasar akan mengikut Perlembagaan itu, iaitu perlu hormati institusi keluarga dan bahawa perkahwinan itu adalah antara lelaki dengan wanita,” ujarnya.
Namun, sama ada definisi pernikahan yang termaktub dalam Piagam Wanita boleh diubah pada masa akan datang bergantung kepada dasar-dasar pemerintah serta keputusan rakyat, kata Encik Rohim.
Pada masa yang sama, anggota masyarakat perlu diberi ruang dan peluang untuk memahami secara mendalam aspek-aspek berbeza isu tersebut, terutama sekali kesan pemansuhan Seksyen 377A serta pindaan Perlembagaan itu terhadap individu dan keluarga, menurut Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim.
Justeru, forum-forum perbincangan terbuka amat penting dalam usaha menjelaskan lagi maksud perubahan ini serta tindakan selanjutnya oleh pemerintah, tambahnya.
“Yang menjadi kekhuatiran (bagi anggota masyarakat) adalah kesan pemansuhan ini kepada mereka, keluarga dan juga generasi masa depan.
“(Pemansuhan Seksyen 377A dan pindaan Perlembagaan) penting diumumkan pada masa yang sama, kerana dengan itu, masyarakat umumnya mempunyai sedikit kepercayaan bahawa pemikirannya (adalah untuk jangka masa) panjang, bukan setakat masa ini sahaja.
“Ini kerana langkah (yang diambil pemerintah) akan mendatangkan perbezaan pada masa depan dan setiap perubahan itu memerlukan sedikit masa untuk kita fahami bersama, apa sebenarnya yang akan timbul dari perubahan tersebut,” kata Cik Hazlina.
Menurut beliau, melalui forum perbincangan terbuka, masyarakat dapat memahami apakah maksud pemansuhan Seksyen 377A, kesan pindaan Perlembagaan yang bakal berlaku, serta apa tindakan selanjutnya menyusuli perubahan tersebut.
“Salah satu komitmen (pemerintah) dalam mengekalkan dasar-dasar, tidak kira perumahan, pendidikan dan sebagainya, meredakan sedikit keprihatinan orang ramai kerana ia jelas menunjukkan bahawa dalam melaksanakan pemansuhan ini, (pemerintah) telah memikirkan bahawa terdapat langkah yang perlu dilakukan demi mengekang cabaran masa depan,” katanya.
Tambah Cik Hazlina, beliau berharap masyarakat dapat menerima cabaran dengan minda yang terbuka serta memilih pendekatan yang penuh rahmah dan ihsan bila timbulnya kerumitan serta cabaran baru.
DASAR YANG TIDAK BERUBAH
1) PENDIDIKAN DAN KURIKULUM
- Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), dasar-dasar pendidikan dan kurikulum akan kekal berlandaskan nilai-nilai keluarga dan norma-norma sosial Singapura yang lazim dan sesuatu yang majoriti rakyat Singapura ingin tegakkan.
- Ini termasuk keluarga sebagai asas fabrik sosial Singapura, dan perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita.
- Pendidikan keseksualan yang diajar di institusi pendidikan akan kekal sekular, berdasarkan nilai-nilai tradisional, dan sensitif terhadap warga berbilang kaum dan agama dalam masyarakat.
- Para pelajar akan belajar dan mengamalkan nilai-nilai seperti saling memahami, menghormati, dan mempunyai empati untuk semua orang.
2) KANDUNGAN MEDIA
- Menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI), kandungan media lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan terus tergolong dalam rating usia lebih tinggi.
- Pihak berkuasa mengawal kandungan media untuk melindungi khalayak yang lebih muda daripada kandungan yang tidak sesuai dengan umur, dan pada masa yang sama, membolehkan khalayak yang matang membuat pilihan termaklum.