Home > News & Media > Rumah peralihan PPIS mula beroperasi akhir September
Rumah peralihan PPIS mula beroperasi akhir September
This article was originally published by Berita Harian on 7 September, 2022.
RUMAH peralihan Rise Above – rumah peralihan sekular pertama bagi pesalah wanita di Singapura – akan menerima kumpulan sembilan penghuni pertamanya menjelang hujung bulan ini.
Program dan perkhidmatan disediakan Rumah Peralihan Rise Above, kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), adalah berdasarkan kajian trauma dan ditawar kepada pesalah wanita tidak kira bangsa dan agama.
Ia merangkumi aktiviti pemulihan, rekreasi dan acara mendekati masyarakat bermatlamat menegaskan keinginan pesalah membina gaya hidup bertanggungjawab dari segi sosial, kata PPIS dalam kenyataannya semalam.
Rumah peralihan di 1 St George’s Lane itu dibuka kepada media buat pertama kali semalam selepas kerja ubah eloknya dijalankan sejak April lalu siap baru-baru ini.
Acara semalam, di mana logo rumah peralihan itu turut dirasmikan, dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; Anggota Parlimen dan penasihat akar umbi GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; Pesuruhjaya Penjara, Cik Shie Yong Lee dan Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim.
Berupaya menampung sehingga 30 penghuni setiap masa, rumah peralihan itu dilengkapi, antara lain, kemudahan bilik kaunseling bagi keluarga dan penghuni, bilik bagi pekerja kes, tempat penginapan dan tandas yang mempunyai ruang peribadi untuk mandi, kemudahan melakukan urusan seharian seperti dapur studio, gelanggan serba guna, makmal komputer dan sebuah tempat makan.
Dalam ucapannya, Dr Muhammad Faishal berkata dengan mengadakan sebuah rumah peralihan wanita dan sekular seperti itu, ia satu orak langkah penting dalam menawarkan bimbingan pemulihan kepada pesalah wanita.
“Pesalah wanita sering menghadapi beberapa cabaran tambahan unik seperti membina semula hubungan dan peranan mereka sebagai anak, isteri, ibu dan juga penjaga.
“Program di Rise Above, dihasilkan berasakan keluarga da memenuhi keperluan unik pesalah wanita.
“Ia akan menawarkan sebuah sekitaran selamat dan berstruktur bagi pesalah wanita mengamalkan kemahiran dan pengajaran diraih daripada pelbagai program pemulihan semasa di penjara,” ujar beliau.
Program yang ditawar rumah peralihan itu merangkumi sesi muhasabah secara berkumpulan dan kaunseling seraca individu, penulisan jurnal bagi perkembangan diri dan kaunseling keluarga, latihan kemahiran hidup seharian dan hidup berdikari seperti memasak, membuat roti, membasuh baju dan lain-lain lagi dan kegiatan rekreasi.
Ini termasuk program digital asas seperti menyediakan akaun Singpass, alamat e-mel dan akaun bank memandangkan kebanyakan urusan seharian dan kerja telah beralih ke alam maya.
Penghuni juga akan menerima sebuah kit menyambut kedatangan mereka ke rumah peralihan itu, termasuk jurnal bagi mencatat perjalanan pemulihan mereka.
Rumah peralihan itu juga akan menyediakan kerjasama dengan rakan masyarakat seperti perkongsian cilik kewangan, kebaikan diri, perancangan keluarga, program kemasyarakatan dan bengkel serta kelas kerohanian dan kesejahteraan.
Cik Hazlina, berkata sekitaran, khidmat dan program Rise Above, adalah pendekatan berasaskan keluarga dan respons campur tangan berdasarkan keperluan khusus jantina.
“Risiko kebentanan teramat penting untuk kami menanganinya terutamanya bagi wanita kerana mereka memikul pelbagai tanggungjawab daripada menjadi seorang penjaga, ibu, teman pasangan, isteri, seorang kakak atau anak perempuan. Kami harus membantu penghuni kami membina diri mereka dan memberi tumpuan kepada menguatkan hubungan antara keluarga – satu kunci utama bagi mencegah daripada mengulangi kesalahan,” tambahnya.
Program di Rise Above juga akan memastikan keluarga berkomited dan terlibat dalam proses pemulihan penghuninya.
Menyusuli itu, Dr Wan Rizal mengalu-alukan usaha Rise Above yang memberi tumpuan kepada keluarga dan pihaknya di Kolam Ayer sentiasa bersedia menyokongi mereka.
“Saya harap masyarakat sekeliling, terutamanya di Divisyen Kolam Ayer ini dapat menyokong program-program mereka dan bekerjasama mendamping penduduk di rumah ini.”