Home > News & Media > Kian ramai wanita kini jadi pemimpin
Kian ramai wanita kini jadi pemimpin
This article was originally published by Berita Harian on 04 March, 2023.
SEMASA membuat liputan Parlimen baru-baru ini saya terpegun melihatkan beberapa tokoh politik wanita memberi hujah di Parlimen – bersungguh-sungguh memberi saranan demi memperbaiki hidup warga atau mempertahankan dasar pemerintah.
Dalam bidang politik, saya teruja kaum Hawa kian ke depan.
Presiden Halimah Yacob misalnya memegang jawatan ketua negara ini. Beliau juga mencatat sejarah sebagai presiden wanita pertama Singapura.
Terdapat sembilan wanita di antara barisan 37 pemegang jawatan politik – kumpulan pemegang jawatan wanita terbesar sejak kebelakangan ini.
Ini termasuk tiga menteri penuh dalam kabinet – Cik Grace Fu, Cik Josephine Teo dan Cik Indranee Rajah.
Cik Rahayu Mahzam pula menyandang jawatan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-undang).
Selain Cik Rahayu, dua lagi wanita Melayu/Islam turut berkhidmat menjadi Anggota Parlimen (AP) – Cik Mariam Jaafar dan Cik Nadia Ahmad Samdin dari Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Wanita terus memainkan peranan penting sepanjang hidup kita – sebagai ibu, isteri, adik, kakak dan anak perempuan kita.
Mereka sering menjadi tunggak kekuatan dalam keluarga kita dan teladan terawal kita dalam hidup.
Kini, wanita turut memainkan peranan penting dalam tenaga kerja dan ekonomi negara.
Terdapat banyak contoh di dalam dan di luar negara tentang kaum wanita yang memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, karyawan, penggubal dasar dan tidak kurang juga yang bergiat sebagai pembela keamanan dan kesaksamaan.
Perangkaan menunjukkan kadar pengambilan pekerja wanita berumur 25 hingga 64 tahun telah meningkat daripada 73 peratus pada 2020 kepada 76 peratus pada 2022, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pendidikan), Cik Gan Siow Huang, semasa berhujah di Parlimen.
“Usaha kolektif oleh rakan kongsi masyarakat telah memainkan peranan penting dalam menyokong wanita di tempat kerja,” tambah beliau.
Sementara itu, kajian tahunan oleh Majlis Bagi Kepelbagaian Lembaga (CBD) yang diterbitkan pada Khamis, menunjukkan lebih ramai wanita dilantik menjadi pengarah syarikat tersenarai, lembaga berkanun dan institusi-institusi Bertaraf Awam (IPC) pada 2022.
Wanita menyumbang hampir 40 peratus daripada semua pelantikan pengarah baru yang dibuat oleh lembaga berkanun dan syarikat tersenarai Bursa Singapura (SGX) yang terbesar.
“Banyak syarikat besar dan lembaga berkanun menunjukkan komitmen mereka untuk mempelbagaikan lembaga mereka bagi memperkukuh keupayaan mereka,” kata Encik Loh Boon Chye, pengerusi bersama CBD dan Ketua Eksekutif SGX Group.
Sejak abad ke-20, wanita di seluruh dunia telah bergerak berkempen bagi kesaksamaan jantina, sama seperti peranan wanita dalam tenaga kerja berkembang pesat dengan membuka pilihan melangkaui peranan memberi jagaan atau melayan suami.
Di Singapura, banyak usaha telah dilakukan untuk memperkasa dan memberi peluang yang sama kepada wanita.
Melalui Piagam Wanita, Singapura telah melembagakan kedudukan sama rata antara lelaki dengan wanita dalam perkahwinan dan mengukuhkan perlindungan wanita di Singapura.
Ia juga telah membuat pelaburan yang besar dalam pendidikan universal bagi semua, membuka jalan bagi anak-anak perempuan menyertai tenaga kerja dan mencapai aspirasi mereka.
Dengan usaha-usaha seperti ini, Singapura baru-baru ini menduduki tempat ketujuh di seluruh dunia bagi kesaksamaan jantina dalam Laporan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021/2022 – satu-satunya negara Asia yang berada di kedudukan 10 ke atas.
Lebih ramai wanita juga memegang peranan kepimpinan dalam sektor swasta dan awam serta memberi sumbangan besar di Singapura.
Antara perintis yang memperjuangkan hak wanita ialah Cik Khatijun Nissa Siraj, pengasas bersama Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
Usaha beliau di barisan hadapan yang akhirnya membawa kepada penubuhan Mahkamah Syariah di Singapura.
Beliau juga menjadi kaunselor wanita pertama di Mahkamah Syariah.
Satu lagi pemimpin yang mengukir sejarah ialah perlantikan Cik Guy Ghazali sebagai Presiden Kanan Mahkamah Syariah.
Kehadiran kaum wanita dalam kepimpinan organisasi, yang selama ini sering didominasi anggota lelaki, juga kian ketara.
Yayasan Mendaki misalnya, sejak beberapa tahun lalu mempunyai wanita di terajunya.
Ia termasuk Cik Moliah Hashim (kini anggota Lembaga Pengarah SMRT); disusuli Cik Tuminah Sapawi (kini CEO PPIS); dan yang terkini Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah.
Selain itu, kita ada pemimpin seperti Cik Hazlina Abdul Halim, Presiden PPIS; Cik Rahayu Buang, CEO KidStart Singapore Limited; Cik Shahrany Hassan, anggota lembaga pengarah Masjid Sultan dan Pengerusi Casa Raudha selain menjadi pengasas.
Tidak kurang juga kaum Hawa dalam bidang akademik seperti Dr Hadijah Rahmat, mantan Ketua Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE)/Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Di tempat kerja saya pula, empat di antara 12 pemimpin di Berita Harian (BH) juga adalah kaum wanita.
Di antaranya ialah Cik Hanim Mohd Saleh dan Cik Norhaiza Hashim sebagai Penolong kepada Editor.
Cik Suhana A. Samat pula menggalas tugas Ketua Penyunting; dan Cik Hasleen Bachik pula timbalannya.
Dua lagi teman saya di BH Cik Shahida Sarhid Cik Rubiah Mohd, masing-masing memegang jawatan Editor Podcast dan Penerbit Video.
Tidak dinafikan kita juga melihat ramai wanita lebih berpendidikan dan berkecimpung dalam bidang kerjaya yang mungkin dahulunya dilakukan hanya oleh kaum lelaki; misalnya bidang kejuruteraan dan sains.
Jelas usaha pemerintah memberi lebih banyak peluang dan ruang bagi kaum wanita mengembangkan potensi mereka dalam pelbagai bidang telah membuahkan hasil.
Pelbagai usaha juga telah diperkenal termasuk cuti bapa untuk menggalak ibu bapa berkongsi tanggungjawab menjaga anak manakala syarikat pula digalak menawarkan aturan kerja fleksibel bagi ibu bapa.
Pemerintah telah menerbitkan Kertas Putih Mengenai Pembangunan Wanita di Singapura pada awal 2022 dan ia bertujuan memberi sokongan lebih baik kepada wanita dan keluarga mereka di Singapura.
Jelas, wanita mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan sama-sama berjuang dengan kaum lelaki dalam apa jua bidang.
Namun, kaum wanita terus menghadapi cabaran memainkan pelbagai peranan.
Ini kerana, usaha-usaha pemerintah saja tidak mencukupi dan terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki.
Contohnya, masih banyak boleh dilakukan untuk menyokong wanita kembali bekerja selepas melahirkan anak, merapatkan jurang pendapatan antara lelaki dengan wanita, atau mengurangkan had atau halangan kepada wanita untuk menyandang kedudukan selaku pemimpin.
Berdasarkan pengalaman sendiri, wanita masih lagi memikul tanggungjawab mengurus rumah tangga yang tidak seimbang, sama ada mengasuh anak-anak atau menjaga ibu bapa warga emas.
Stereotaip jantina yang mendalam dan berakar umbi juga masih wujud.
Dan usaha menangani semua itu memerlukan usaha seluruh masyarakat.
Lelaki harus melakukan lebih banyak lagi, untuk memikul tanggungjawab penjagaan dan tidak menganggap bahawa wanita lebih sesuai melaksanakan peranan itu.
Majikan pula perlu memupuk amalan mesra keluarga dan amalan tempat kerja yang progresif.
Bos di tempat kerja juga perlu melakukan yang lebih baik untuk mengurangkan stigma yang dihadapi lelaki apabila mengambil cuti untuk menjaga anak-anak mereka, dan lakukan lebih banyak lagi untuk memperkasakan wanita demi merealisasikan potensi mereka dan memegang jawatan kepemimpinan dalam pertubuhan.
Menjelang Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac, saya berharap akan dapat hidup dalam masyarakat yang lebih adil dan lebih sama rata di Singapura dan di serata dunia.
Dengan semua pihak termasuk individu, pertubuhan masyarakat, majikan dan pemerintah memainkan peranan melindungi hak wanita.
Semoga generasi baru kaum Hawa di masa depan dapat menikmati peluang yang lebih baik, lebih cerah berbanding kaum Hawa hari ini.