Home > News & Media > Lelaki main peranan penting ubah stereotaip jantina, peka cabaran wanita: Indranee Rajah
Lelaki main peranan penting ubah stereotaip jantina, peka cabaran wanita: Indranee Rajah
Last Update on March 14, 2023
This article was originally published by BERITA Mediacorp on 12 March, 2023.
SINGAPURA: Kaum Adam memainkan peranan penting dalam menggalak perubahan pemikiran berhubung peranan lelaki dan wanita, dengan mencabar stereotaip jantina dan memainkan peranan aktif di rumah.
Dengan kesaksamaan jantina dan tanggungjawab bersama di rumah, kaum wanita berupaya mendapat sokongan sewajarnya demi meraih peluang setara di tempat kerja, menikmati keseimbangan dalam kehidupan serta mencapai aspirasi mereka.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah menegaskan demikian di acara Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) sempena meraikan Hari Wanita Sedunia di Wisma Geylang Serai pada Ahad (12 Mac).
Cik Indranee menarik perhatian bahawa sokongan keluarga penting dalam pembangunan wanita.
“Dengan lebih banyak kesaksamaan dan tanggungjawab ibu bapa yang dikongsikan di rumah, wanita mempunyai sokongan sewajarnya untuk memberi tumpuan kepada kerjaya mereka.
“Di rumah, ada peluang setara bagi lelaki dan wanita untuk cemerlang dan budaya mesra keluarga pula menjadikan wanita berasa lebih terjamin untuk mengimbangi komitmen kerja dan kehidupan mereka.
“Ini akan membantu para wanita mengembangkan potensi itu dan mencapai aspirasi mereka, tidak kita secara peribadi, kerjaya mahupun keluarga. Oleh itu, lelaki harus memainkan peranan penting dalam menggalak perubahan pemikiran dengan mencabar stereotaip jantina dan menjadi peran contoh,” tekan Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara.
KENAL PASTI 3 ASPIRASI UTAMA WANITA MUSLIM
Dengan tema ‘Mendakap Kesaksamaan: Mencetus Perubahan Positif’, acara tersebut juga adalah sambutan Hari Wanita Sedunia yang pertama diadakan secara fizikal oleh PPIS sejak tiga tahun lalu.
Dihadiri 280 orang, acara tersebut turut dianjurkan menyusuli dapatan kajian PPIS berhubung Aspirasi Wanita Muslim Singapura (AMWR) yang dikeluarkan bulan Mac tahun lalu.
Kajian itu mengenal pasti tiga aspirasi peribadi utama wanita Muslim – Menjadi muslimah lebih baik, menjadi berdikari secara kewangan serta menjadi sihat dan cergas.
Lantaran itu, acara hari ini menampilkan para penceramah undangan – doktor sakit puan Dr Shilla Mariah Yussof, Ustazah Nurhannah Irwan dan pengasas jenama pakaian Kaifiyyah, Kat Aziz – demi membantu para wanita Muslim mencapai aspirasi-aspirasi tersebut.
Perkongsian ketiga-tiga mereka juga bertujuan membantu wanita menangani kesejahteraan fizikal, mental, kerohanian dan ekonomi.
Presiden PPIS Hazlina Halim berkata: “Kami di PPIS terdorong…untuk melakukan lebih banyak kajian dan tinjauan supaya kita dapat data-data yang dapat menjadi landasan untuk kita menggubal, melakar dan memperbaharui khidmat-khidmat dan inisiatif yang kami tawarkan untuk kekal relevan kerana keperluan wanita ini akan sentiasa berubah.
“Maka itu, bantuan yang ditawarkan itu juga harus berubah.”
Menyusuli dapatan kajian itu, PPIS juga akan melancarkan Women Space atau ruang selamat bagi wanita mendapatkan sokongan dan sumber untuk mencapai aspirasi mereka pada separuh kedua tahun ini.
BAZAR MINI DENGAN KERJASAMA DPPMS
PPIS juga menganjurkan bazar mini yang menampilkan 20 gerai daripada pelbagai industri, termasuk makanan dan minuman, runcit dan perdagangan serta kecantikan.
Antara gerai yang menyertai bazar itu adalah Lemaq Halal Cuisines, JuneBug X The Good Fat dan eNuur.
Bazar itu adalah hasil kerjasama PPIS dengan Dewan Perniagaan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
Pengarah Perusahaan DPPMS Maslina Mohamed berkata: “Kolaborasi antara DPPMS dan PPIS pada Hari Wanita Sedunia memberi isyarat kepada masyarakat kita betapa pentingnya untuk kita memberi sokongan kepada peniaga wanita setempat.
“DPPMS dan PPIS sudah lama bekerjasama untuk mengadakan kursus untuk perniagaan kecil-kecilan untuk mengajar mereka tentang celik kewangan, pemasaran produk dan pendigitalan bagi pemasaran mereka seperti TikTok and Shopee.
“Bazar mini ini untuk membantu para peniaga dan graduan-graduan perniagaan kecil-kecilan itu untuk mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari dan untuk memberi mereka pengalaman secara fizikal untuk mengendalikan perniagaan mereka. Secara tidak langsung, ini juga membantu memberi mereka sorotan kepada segala usaha mereka.”