Home > News & Media > 40 keluarga penerima bantuan diberi baucar beli pakaian sempena Syawal
40 keluarga penerima bantuan diberi baucar beli pakaian sempena Syawal
This article was originally published by Berita Harian on 14 April, 2023.
DAYA USAHA Ihsan Ramadan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) merupakan sebuah kempen pengumpulan dana tahunan PPIS bagi membiayai pelbagai program dan perkhidmatan kebajikan badan itu. Ia merupakan kempen tahunan yang diusahakan sejak hampir 10 tahun lalu.
Kempen Ihsan Ramadan yang sedang berlangsung ini bakal berakhir pada 31 Mei ini. PPIS menyasarkan mengumpul sebanyak $350,000 melalui derma umum serta melalui zakat.
Dana ini akan dimanfaatkan bagi program dan khidmat di Pusat Penjagaan Pelajar di Bedok dan Jurong yang menempatkan seramai 180 pelajar selepas waktu sekolah. Dana ini juga akan menampung keperluan di Rumah Peralihan Rise Above bagi membantu kaum wanita memperkasa diri mereka agar dapat pulang ke pangkuan keluarga dan masyarakat.
Bertemakan Kembalikan Sinar, PPIS ingin menerangi kehidupan benefisiari menjelang Hari Raya ini.
Tahun ini begitu istimewa kerana seramai 40 keluarga yang menerima bantuan sosial PPIS diberikan baucar pakaian bagi mereka membeli-belah. Keluarga tersebut dipilih oleh pengurus di pusat-pusat khidmat sosial dan keluarga PPIS.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Tuminah Sapawi, berharap dengan pemberian baucar itu ia mampu meringankan beban mereka, sekali gus memberikan kegembiraan penerima tersebut.
“Kami berharap dengan baucar yang diberikan, ia dapat meringankan kos persediaan Hari Raya yang semakin meningkat. Ia dapat sedikit sebanyak menimbulkan keceriaan pada keluarga tersebut,” kata Cik Tuminah.
Baucar pakaian ini diilhamkan daripada perbincangan PPIS dengan para ibu yang mengharapkan agar sambutan Hari Raya tahun ini lebih meriah.
Tambah Cik Tuminah “Sekurang-kurangnya, mereka juga dapat merasai keseronokan beraya, sama seperti keluarga lain. Hasil perkongsian rezeki ini bukan sahaja dianggap sebagai satu amal jariah, malah ia dapat meringankan beban keluarga yang kurang bernasib baik. Kami berharap dapat terus mengadakan kempen yang bermakna ini, baik bagi penderma mahupun benefisiari kami supaya lebih ramai insan yang dapat membantu dan dibantu kelak.”
Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau memberikan sumbangan, sila kunjungi laman www.ppis.sg/pir.