45 keluarga memerlukan di Eunos Crescent terima habuan Tahun Baru Cina dari PPIS

Home > News & Media > 45 keluarga memerlukan di Eunos Crescent terima habuan Tahun Baru Cina dari PPIS

45 keluarga memerlukan di Eunos Crescent terima habuan Tahun Baru Cina dari PPIS

Last Update on February 3, 2022

45 keluarga memerlukan di Eunos Crescent terima habuan Tahun Baru Cina dari PPIS

This article was originally published by Berita on 29 January, 2022.

SINGAPURA: 45 keluarga berpendapatan rendah dan warga tua yang tinggal di flat-flat sewa di Eunos Crescent hari ini (29 Januari) menerima sedikit keceriaan sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang.

Menerusi inisiatif #mesrabergongxiraya di bawah MESRA Persatuan Rakyat yang disokong Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), pek-pek perayaan berisi makanan seperti buah limau dan kuih bangkit serta pelitup muka dan cecair pembasmi kuman diagihkan.

Pengagihan pek-pek tersebut dilakukan kakitangan PPIS dan para pemimpinnya termasuk Presiden badan itu Hazlina Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tuminah Sapawi. Mereka ditemani Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman.

Inisiatif itu juga sebahagian daripada projek tahunan Raikan Ihsan PPIS yang bertujuan menyumbang kembali kepada masyarakat di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Namun ini kali pertama usaha tersebut diluaskan meliputi golongan pelbagai kaum dan semasa Tahun Baru Cina sejak inisiatif itu dimulakan pada 2019.

“Pusat-pusat perkhidmatan kami ini lazimnya terletak di estet perumahan. Jadi selain menyediakan khidmat, kita juga merupakan jiran. Dan sebagai jiran, kita ingin saling bantu-membantu dan dalam suasana sebegini boleh juga kita bangkitkan lagi semangat kemeriahan dan juga keceriaan,” kata Cik Hazlina kepada BERITAmediacorp.

Tambah beliau lagi, usaha mendekati para penduduk di Eunos Crescent itu dapat meningkatkan kesedaran mereka tentang adanya ruang bantuan yang disediakan PPIS sekiranya mereka perlukan.

Encik Fahmi pula yang turut menyingsing lengan mengagihkan pek-pek perayaan itu berkata bahawa usaha tersebut menunjukkan sikap inklusif yang amat dihargai oleh penduduk-penduduk di Eunos.

“Saya rasa kalau banyak badan kebajikan seperti PPIS ini tampil ke hadapan untuk membantu masyarakat dan golongan yang memerlukan, ini akan memperbaiki masyarakat kita,” tambah beliau.

Sumber : BERITAmediacorp/NF/ha