Home > News & Media > 6 pesakit ginjal baru dikesan setiap hari: Rahayu
6 pesakit ginjal baru dikesan setiap hari: Rahayu
This article was originally published by Berita Harian on 20 February, 2023.
PENYAKIT buah pinggang semakin meningkat dan ini terus menjadi satu kebimbangan bagi rakyat Singapura.
Setiap hari di Singapura, sekitar enam pesakit baru dikesan menghidap kegagalan ginjal. Dari 2017 hingga 2021, bilangan pesakit ginjal yang menjalani dialisis meningkat daripada sekitar 7,000 kepada lebih 8,600.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam berkata demikian di forum, ‘Keseimbangan untuk Kesihatan’, anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) di Perpustakaan Daerah Woodlands pada Ahad.
“Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu bergantung kepada terapi mekanikal seperti dialisis atau menjalani pemindahan buah pinggang untuk mengekalkan fungsi buah pinggang mereka.
“Sekitar 27 peratus pesakit kegagalan buah pinggang pada 2021 adalah Melayu,” kata Cik Rahayu dalam ucapan pembukaan forum tersebut.
Perangkaan ini amat mengkhuatirkan memandangkan masyarakat Melayu hanya membentuk sekitar 14 peratus daripada jumlah penduduk Singapura.
Lebih banyak bantuan disediakan tangani bilangan pesakit ginjal: NKF
Menurut ketua pegawai eksekutif NKF, Encik Tim Oei, Singapura ialah negara yang mempunyai paling ramai pesakit yang menghidapi penyakit ginjal.
“Ini bukan satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) sedang berusaha untuk mengurangkan bilangan pesakit yang menghidapi penyakit ini,” kata Encik Oei yang kemudian menambah bahawa NKF sedang giat melakukan pelbagai jangkauan.
Baru-baru ini, antara jangkauan NKF adalah dengan menubuhkan sebuah Klinik Intervensi bagi Penyakit Kronik Buah Pinggang (CKD). Di situ, ia menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk pesakit berisiko, dan memudahkan pemeriksaan susulan dengan rakan kongsi bagi intervensi yang selanjutnya.
“Kegagalan buah pinggang membawa beban yang besar kepada pesakit, keluarga mereka dan masyarakat. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan mengukuhkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan faktor-faktor risiko, terutamanya kencing manis dan tekanan darah tinggi, yang menyebabkan kegagalan buah pinggang,” tambah Cik Rahayu.
Forum itu dihadiri hampir 80 orang, merangkumi 21 rakan kongsi masyarakat yang juga merupakan pesakit dan penjaga mereka.
Forum itu juga merupakan majlis penghargaan bagi rakan kongsi masyarakat bersama NKF, yang menerima sebuah cenderamata.
Antara rakan kongsi masyarakat yang telah hadir semasa forum itu adalah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Masjid Al-Istiqamah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Tuminah Sapawi berkata:
“Kami sedar kaum wanita memainkan peranan penting dalam keluarga. Sebilangan besar daripada mereka menyediakan hidangan harian dan juga memastikan anak-anak membesar dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan sebagainya. Sebagai persatuan wanita yang berkhidmat untuk memperkasakan wanita dan keluarga, kami akan meneruskan usaha ini menerusi dialog, kegiatan riadah di pusat-pusat keluarga kami dan juga menerapkan gaya hidup sihat di pusat pelajar kami.”
Bagi pegawai dakwah Masjid Al-Istiqamah, Encik Muhammad Hafiz Mohd Yusuf, beliau mendapati bahawa sesi forum itu dapat meningkatkan kesedaran mengenai topik tersebut.
“Kami di masjid akan terus mewujudkan lebih ruang dalam memberi kesedaran kepada jemaah akan kepentingan dalam penjagaan kesihatan kerana ia juga adalah antara salah satu rukun dalam agama kita,” ujar beliau kepada Berita Harian.
Dalam forum tersebut, dua sketsa yang mengetengahkan pemakanan seimbang dan cabaran yang dihadapi sebagai penjaga pesakit telah dipersembahkan.
Salah seorang pelakon dalam sketsa itu ialah Cik Siti Hanim Abdul Rahim, 60 tahun, yang juga merupakan pesakit yang mendapat rawatan di NKF.
Instruktor muzik itu akur bahawa sesi forum sedemikian amat bermanfaat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kegagalan buah pinggang.
Cik Siti Hanim, yang didiagnos dengan tekanan darah tinggi pada 2018, kini sering menasihati rakan-rakan dan juga orang ramai agar tidak endahkan simptom yang muncul.
“Kita harus melaksanakan pemeriksaan badan. Jangan ambil remeh tentang kesihatan, walaupun badan rasa sihat. Itulah kesilapan saya dan setelah mendapati buah pinggang saya gagal, tiada jalan lagi untuk memulihkannya,” ujar beliau yang hanya tinggal pinggang kiri yang berfungsi pada 13 peratus sahaja.