95 keluarga dapat habuan Ramadan PPIS OASIS

Home > News & Media > 95 keluarga dapat habuan Ramadan PPIS OASIS

95 keluarga dapat habuan Ramadan PPIS OASIS

Last Update on April 13, 2023

This article was originally published by Berita Harian on 08 April, 2023.

BERITAmediacorp: Buat julung-julung kalinya, keluarga dengan anak titipan menyertai usaha kakitangan dan sukarelawan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) untuk mengagihkan habuan Ramadan.

Inisiatif sulung ‘Oasis Gives Back’ itu adalah inisiatif pusat titipan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Oasis

Kakitangan dan sukarelawan PPIS serta tujuh keluarga dengan anak titipan di bawah naungan PPIS Oasis bertungkus lumus menyiapkan 110 hamper di Wisma Geylang Serai pagi tadi (8 Apr).

Sebanyak 1,980 barangan telah disumbangkan kakitangan dan sukarelawan PPIS serta badan amal Free Food For All’ untuk usaha murni ini.

Ia termasuk barangan dapur seperti minyak masak, kicap dan biskut dan keperluan asas lain.

 

Setiap hamper bernilai S$65 diagihkan kepada 95 keluarga kandung anak titipan dari empat agensi dan juga keluarga penghuni sebuah rumah peralihan untuk belia.

“Idea ini tercetus sebenarnya untuk meluaskan lagi jaringan sokongan, menjangkaui anak titipan kerana kami percaya keluarga kandung mereka ini perlukan bantuan dan kami ingin supaya dapat meringankan mungkin sedikit beban dan juga cabaran yang mereka hadapi.

“Kami berharap inisiatif hari ini dapat menerapkan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak titipan kami supaya mereka dapat memberi dan membantu, bermula dengan keluarga kandung mereka sendiri,” kata Presiden PPIS Cik Hazlina Halim.

Salah seorang ibu titipan yang tampil menyumbang tenaga bersama suami dan anak-anaknya ialah Cik Nooraslinda Rahim.

“Kami mendaftarkan anak-anak, anak kandung dan anak titipan kami untuk acara ini dan secara tidak langsung ingin memupuk nilai-nilai memberi dan berkongsi rezeki di dalam bulan Ramadan^terutama sebagai satu daripada amal jariah yang boleh mereka lakukan,” kata beliau.

34 pemandu, pekerja penghantaran makanan Grab dan sukarelawan turut berkorban masa dan tenaga untuk menghantar hamper-hamper tersebut.