Home > News & Media > Aturan fleksibel bantu tarik wanita dalam tenaga kerja
Aturan fleksibel bantu tarik wanita dalam tenaga kerja
Last Update on January 26, 2023
This article was originally published by Berita Harian on 16 January, 2023.
PELUANG kerja fleksibel- termasuk pekerjaan sambilan- yang lebih meluas dan tersedia dapat menyumbang terhadap peningkatan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja Singapura.
Aturan seperti ini membuka peluang kepada pekerja mengimbangi peranan di rumah sambil menyumbang secara aktif terhadap ekonomi keluarga dan negara.
Ini terutama sekali dengan masyarakat Singapura yang semakin menua, di mana tanggungjawab penjagaan menjadi antara keprihatinan utama warga, menurut pengarah U SME dan U Women and Family (U WAF) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling dalam responsnya kepada Berita Harian.
Justeru, ketersediaan aturan kerja fleksibel dapat menjadi asas persekitaran kerja inklusif bagi menarik lebih ramai wanita ke alam pekerjaan, katanya.
Menekankan pendirian tersebut, Cik Yeo, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Pasir Ris–Punggol berkata: “Semua pekerja memerlukan amalan dan persekitaran yang membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab penjagaan, jika aturan tersebut sesuai bagi pekerjaan mereka.
“Jika tidak, mereka boleh mencuba aturan alternatif lain. Ini akan menyumbang kepada kadar penyertaan wanita yang lebih tinggi dalam tenaga kerja, kerana peranan seperti ini membolehkan penjaga uruskan tugas di rumah dan menyumbang kepada ekonomi keluarga pada masa yang sama.”
Kadar penyertaan tenaga buruh di kalangan penduduk (LFPR) bagi wanita telah menyaksikan peningkatan sejak beberapa tahun lalu, mencecah 61.2 peratus pada 2020 berbanding 56.5 peratus pada 2010.
Cik Yeo berkata usaha akan terus dijalankan bagi membentuk tempat kerja progresif dan inklusif supaya wanita dapat mencapai potensi penuh mereka.
Sedang lebih ramai wanita kini boleh memanfaatkan peluang pekerjaan sambilan dan FWA lain yang lebih meluas, manfaat turut diraih majikan yang kini berpeluang memilih dari ‘talent pool’ yang lebih besar.
Ini kerana peluang seperti ini dapat menarik individu yang berkelayakan tetapi tidak dapat bekerja sepenuh masa atas sebab-sebab tertentu, menurut Penolong Pengurus, Jabatan Perkhidmatan Keluarga, AMP Singapura, Cik Illy Tahirah Mohamed Rashid.
“Ramai klien dari program perkhidmatan keluarga AMP yang berkelayakan, namun tidak dapat memenuhi jadual kerja sepenuh masa atas tanggungjawab keluarga yang berpelbagai.
“Dengan adanya kerja fleksibel, ia mendatangkan manfaat bagi kedua pihak majikan dan juga pekerja,” ujarnya.
Namun, Cik Illy menambah selain aturan kerja fleksibel, sokongan dari segi penjagaan anak-anak dan orang tua juga perlu dipertingkatkan jika ingin menarik lebih ramai wanita kembali bekerja.
Pada masa yang sama, usaha perlu dipertingkat bagi memastikan wanita tetap diberi peluang untuk maju dalam kerjaya jika memilih aturan kerja fleksibel seperti pekerjaan sambilan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Tuminah Sapawi.
“Satu masalah yang mungkin terkait dengan pekerjaan sambilan adalah ia berpotensi ‘menghukum’ wanita, dari segi gaji dan prospek kerjaya.
“Justeru, penting untuk memastikan pekerjaan sambilan turut menawarkan gaji dan kemajuan kerjaya yang seimbang,” kata Cik Tuminah.
Menurut pengamat ekonomi dan agensi serta portal pekerjaan, jumlah pekerjaan sambilan dijangka terus meningkat tahun ini dengan tawaran gaji yang lebih tinggi dalam pasaran kerja yang lebih ketat.
Ini terutama sekali dengan beberapa sektor ekonomi yang kembali rancak selepas tempoh pandemik, termasuk sektor runcit, makanan dan minuman, hospitaliti serta acara dan pameran.