Badan Melayu/Islam pertingkat bantuan bagi penerima sempena Ramadan

Home > News & Media > Badan Melayu/Islam pertingkat bantuan bagi penerima sempena Ramadan

Badan Melayu/Islam pertingkat bantuan bagi penerima sempena Ramadan

Last Update on April 13, 2023

This article was originally published by Berita Harian on 22 March, 2023.

SEBAHAGIAN pertubuhan Melayu/Islam (MMO) setempat berkata bilangan pemohon bantuan telah bertambah dalam tempoh sekitar tiga tahun sejak pandemik melanda.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), beberapa MMO berkata mereka juga menjangka permohonan bagi bantuan terus bertambah, terutama menjelang Ramadan ini.

Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain, berkata daripada sekitar 250 keluarga yang tampil dapatkan bantuan pada 2019, angka tersebut meningkat kepada 400 keluarga pada 2023 – atau sekitar 60 peratus peningkatannya.

Selain bantuan kewangan dan makanan, pemohon bantuan juga akan diberi sokongan daripada segi pengayaan diri dan pendidikan, kata beliau menambah.

“Penerima bantuan akan turut dilibatkan dalam kegiatan seperti bengkel peningkatan diri untuk celik digital, mendampingi warga senja, perjalanan pembelajaran, dan kegiatan bersama keluarga.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan Kelab Heal untuk mengadakan bengkel kesihatan ginjal dan mental untuk para penerima bantuan kami,” katanya, yang turut menganggarkan jumlah kos projek pada 2023 melebihi $250,000.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, pula berkata sebelum wabak Covid-19 melanda, pihaknya membantu sekitar 580 penerima bantuan semasa Ramadan dan Syawal, namun angka tersebut meningkat kepada lebih 630 penerima pada 2023.

Pengurus, Divisyen Perkhidmatan Sosial AMP, Cik Illy Tahirah Mohamed Rashid, menjangkakan bilangan pemohon bantuan akan meningkat daripada 140 keluarga kepada 150 keluarga pada 2023.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Tuminah Sapawi berkata pihaknya menerima sehingga 610 permohonan bagi mendapatkan habuan Ramadan pada 2019.

Pada 2022, PPIS mengagihkan sajian panas dan hamper barangan dapur kepada 360 keluarga, selain barangan derma kepada 400 keluarga dan 200 sukarelawan, katanya.

“Untuk Ramadan kali ini, PPIS menyasarkan 30 penghuni Rumah Peralihan Rise Above (kendalian PPIS), 120 keluarga titipan dan keluarga memerlukan, serta 400 keluarga (daripada semua pusat kendaliannya) untuk meraih manfaat daripada kami,” katanya.

 

GUNAKAN TENAGA LEBIH RAMAI RELAWAN

Dalam pada itu, sebagai persiapan memberi bantuan kepada lebih ramai benefisiari pada Ramadan ini, beberapa MMO telah pergiat usaha menarik lebih ramai relawan.

Ini termasuk relawan bukan Melayu/Islam.

Sebagai contoh, Encik Nassar menganggarkan pihaknya akan menerima lebih 600 sukarelawan untuk membantu dalam salah satu program pertubuhan itu – Ramadan On Wheels (ROW).

“Kami mempunyai sukarelawan tegar yang menyokong ROW saban tahun, termasuk penyelaras, pemandu, pendamping, mereka yang membantu membungkus, ataupun sebagai jawatankuasa penganjur.

“Semasa pelancaran ROW baru-baru ini, lebih 30 para pelajar daripada Sekolah Tinggi Nan Chiau mendirikan gerai aktiviti untuk para penerima bantuan kami,” jelasnya.

Jurucakap Jamiyah memberitahu BH sekatan Covid-19 yang dilonggarkan menyaksikan lebih ramai sukarelawan tampil menyertai mereka.

“Berbanding dengan tahun-tahun yang lalu, ramai lagi masyakarat kita lebih senang menyumbang tenaga mereka tahun ini kerana kelonggaran tersebut. Kami nampak lonjakan angka sukarelawan daripada syarikat swasta yang memberi masa kepada pekerja mereka melakukan kerja sukarelawan bersama kami,” jelasnya.

Cik Tuminah pula berkata pada 2021, pihaknya meraih antara 25 hingga 30 sukarelawan yang terlibat dalam kegiatan Ramadan. Pada 2022 angkanya meningkat kepada 43 relawan.

AMP Singapura (AMP) dan Persatuan Ain turut berkata jumlah sukarelawan yang tampil untuk menyumbang khidmat kepada pertubuhan masing-masing telah bertambah.

Encik Yusof berkata ia terus mendapat sokongan relawan berbilang usia, daripada golongan pekerja dewasa dan mereka yang masih menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IHL).

 

ANTARA KEGIATAN MMO

AMP

  • Membungkus Habuan Perayaan AMP
  • Bengkel Keluarga ‘Ramadan Recharge’ dan acara Berbuka Puasa Bersama
  • Pengagihan Habuan Perayaan AM

 

PPIS

  • Sesi iftar Ramadan bersama 30 penghuni Rumah Peralihan Rise Above
  • Membungkus dan mengagih sajian sedia dimakan serta barangan dapur kepada 120 keluarga

 

Persatuan Ain

  • Pengagihan wang tunai dan habuan makanan kering kepada penerima

 

Jamiyah

  • Jamuan iftar dan sahur
  • Nuzul Quran
  • Pengagihan sajian berbuka dan set bahan mentah dan rempah ratus

4PM

  • Pengagihan habuan ke rumah penerima bantuan
  • Beli belah barangan dapur bersama keluarga penerima bantuan
  • Bengkel cara membeli barangan runcit dalam talian
  • Bengkel memilih barangan yang diperlukan