05 May ‘Bekas pesalah wanita perlu sokongan masyarakat tidak setakat rumah peralihan’
This article was originally published by Berita Harian on 25 April, 2023.
WANITA merupakan anggota masyarakat penting yang memikul pelbagai peranan, baik dalam sekitaran rumah mahupun di luar.
Justeru, masyarakat perlu sentiasa memberi sokongan kepada golongan ini agar semangat mereka dapat kembali pulih dalam jangka masa panjang, lantas membolehkan mereka memikul tanggungjawab mereka.
Demikian menurut pengurus pusat di Rumah Peralihan Rise Above, Cik Saleha Rashidi.
Justeru, tempat seperti rumah peralihan yang diurusnya itu menyediakan wadah yang membolehkan bekas pesalah wanita untuk menjalani program pemulihan serta mendapat sokongan sebelum mereka tamat tempoh hukuman mereka dan kembali berintegrasi semula dalam masyarakat.
Rumah peralihan Rise Above, yang merupakan rumah peralihan sekular khusus buat wanita yang pertama di Singapura, menawarkan program yang berunsur terepeutik.
Ia turut memudahkan lawatan keluarga, dan turut menyiapkan bekas pesalah bagi dunia pekerjaan serta mendapatkan pekerjaan yang dapat meningkatkan diri.
Khususnya bagi bulan Ramadan, rumah peralihan itu menerima banyak sumbangan daripada penaja bagi makanan berbuka, manakala bagi sahur, penghuni mendapat makanan yang sudah siap dimasak.
Menurut Cik Saleha, ini merupakan pengecualian yang diberikan bagi memudahkan penghuni di sana memandangkan pada hari-hari biasa, mereka perlu memasak sendiri.
Menjelang Syawal pula, mereka menghiasi rumah peralihan itu untuk menyuntik semangat dalam diri-diri penghuni serta memberi ruang kepada bekas pesalah untuk pulang ke pangkuan keluarga untuk menyambut Raya bersama.
Buat masa ini, rumah peralihan tersebut mempunyai lebih 20 penduduk. Ia boleh menampung sehingga 30 penduduk berusia 20an tahun hingga 60an tahun pada setiap masa.
Cik Saleha berkata sokongan bagi bekas pesalah perlu melebihi usaha rumah peralihan sahaja dan memerlukan seluruh masyarakat.
“Sokongan dari masyarakat itu penting. Seperti sokongan dari keluarga – kata-kata perangsang yang diberikan, cara kita berinterkasi, adakah ia membinakan semangat atau kita bersyakwasangka?
“Dari segi perkerjaan pula, majikan boleh pertimbangkan – adakah pekerjaan yang diberi ini mendorong pertingkatkan diri mereka?
“Adakah ia memberi wanita-wanita dan keluarga mereka masa depan lebih cerah? Adakah kita juga tidak asingkan diri mereka dan kita, kita anggap mereka dan kita sama sahaja?,” jelasnya.” – NUR HUMAIRA SAJAT