Tumpuan Belanjawan 2022 seiring usaha PPIS sokong kaum hawa, kukuhkan keluarga

Tumpuan Belanjawan 2022 seiring usaha PPIS sokong kaum hawa, kukuhkan keluarga

Tumpuan Belanjawan 2022 seiring usaha PPIS sokong kaum hawa, kukuhkan keluarga

This article was originally published by Berita on 20 February, 2022.

 

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) menghargai tumpuan dalam Belanjawan 2022, khususnya untuk melabur dalam modal insan, memperkasa pekerja bergaji rendah, meningkatkan kecukupan persaraan di samping membina sebuah masyarakat inklusif lagi penyayang.

Dalam kenyataan medianya pada Sabtu (19 Feb), PPIS menyatakan usaha yang menjurus ke arah memperkukuhkan kontrak sosial masyarakat pasca pandemik itu adalah seiringan dengan daya upaya bersepadu persatuan tersebut untuk menyokong kaum hawa dan mengukuhkan keluarga.

PPIS juga mengalu-alukan bantuan tambahan yang ditawarkan kepada badan amal, termasuk tokokan S$26 juta kepada Dana Keupayaan Badan-badan Amal Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO).

“Kami merancang untuk menggunakan dana ini untuk mengukuhkan lagi proses pentadbiran, pengurusan dan keupayaan digital persatuan. Selain itu, tokokan S$100 juta kepada Program Mengumpul Dana yang Dipertingkat akan membolehkan kami untuk membiayai program-program bagi memenuhi dengan lebih baik keperluan kaum wanita serta keluarga mereka,” menurut PPIS.

Pakej Jaminan GST Dipertingkat bernilai S$6.6 bilion, bertujuan mengurangkan kesan kenaikan bertahap-tahap GST adalah satu langkah ke arah yang betul, menurut PPIS, terutamanya bagi segmen masyarakat lebih mudah terjejas.

Begitu juga dengan Pakej Bantuan Keluarga Tambahan bernilai S$560 juta, yang akan membantu keluarga menampung harga lebih tinggi dek inflasi sejagat yang meningkat.

“PPIS menyokong langkah-langkah bersasar seumpama itu yang menangani cabaran dihadapi segmen masyarakat mudah terjejas termasuk keluarga berpendapatan rendah, pekerja bergaji rendah dan warga emas,” menurut PPIS dalam kenyataannya.

Selaku rakan kongsi Program KidStart, PPIS turut melahirkan rasa besar hati terhadap peluasan Rangkaian Masyarakat UPLIFT.

“Turut menggembirakan adalah langkah untuk meningkatkan usaha bagi membantu syarikat melatih pekerja dan membantu individu meningkatkan kemahiran, khususnya pekerja pertengahan kerjaya, yang kebanyakannya mungkin wanita yang sudahpun meninggalkan tenaga kerja kerana memikul tanggungjawab sebagai penjaga,” menurut PPIS.

Persatuan itu gembira mendapat tahu pemerintah akan memperuntukkan sumber dan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi bagi menghasilkan idea yang terbit daripada Perbincangan mengenai Pembangunan Wanita Singapura. Misalnya, cara untuk memastikan bantuan lebih baik kepada penjaga dan langkah-langkah lebih kukuh terhadap diskriminasi di tempat kerja dapat membuahkan hasil.

“#OnePPIS juga bertekad untuk menggembleng sumber, membina keupayaan, mendigitalkan proses dan melakukan terbaik untuk menyediakan sokongan kepada klien serta penerima melalui 17 pusat kami di serata negara,” tambahnya.

 

Sumber : BERITAmediacorp/FZ/fz