Home > News & Media > Bersama kita perkasa, beri peluang saksama kepada wanita di sini
Bersama kita perkasa, beri peluang saksama kepada wanita di sini
Last Update on October 18, 2023
This article was originally published by Berita Harian on 8 December, 2022.
“SAYA gembira berada di sini sempena ulang tahun ke-70 Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
Ini benar-benar rasa seperti perhimpunan keluarga dan saya rasa senang dapat berjumpa dengan ramai teman lama di sini.
Tahniah PPIS atas ulang tahun anda yang ke-70!
PPIS mainkan peranan penting memperkasa wanita dan keluarga di Singapura.
Daripada sebuah badan kecil, PPIS berkembang menjadi salah satu badan utama berkhidmat untuk masyarakat Islam hari ini.
Dengan kerjasama erat, banyak yang telah kita capai untuk bantu wanita Islam Singapura maju. Dan saya yakin, banyak lagi yang boleh kita lakukan.
Saya sokong sepenuhnya visi PPIS untuk membentuk ‘Masyarakat Wanita Berjaya dan Keluarga Berkembang Maju’. Ini akan perlukan usaha seluruh masyarakat.
Oleh itu, mari kita terus berganding bahu untuk jadikan ia satu kenyataan.
Bersama, kita boleh bina sebuah masyarakat yang lebih adil dan inklusif.
Wanita memainkan peranan penting sepanjang hidup kita – sebagai ibu, isteri, adik, kakak dan anak perempuan kita.
Mereka sering menjadi tunggak kekuatan dalam keluarga kita dan teladan terawal kita dalam hidup.
Saya boleh mengaitkan perkara ini dengan pengalaman peribadi saya, khususnya apabila berfikir tentang ibu saya sendiri yang kini berusia 82 tahun.
Semasa beliau membesar, ketika keluarga saya dahulu tinggal di Kampong Amber, datuk saya merasakan bahawa hanya anak lelaki yang memerlukan pendidikan.
Ramai daripada anda mungkin juga boleh ingat tentang waktu itu dari zaman ibu bapa anda.
Ibu saya disuruh melakukan kerja-kerja rumah dan membantu menjaga anak-anak lebih kecil dalam keluarga besar di kampung.
Tetapi ibu saya tidak dapat terima diperlaku secara tidak adil seperti itu dan beliau membantah hingga datuk saya tiada pilihan lain lalu menghantarnya ke sekolah.
Ketika itu, beliau sudah ketinggalan dua tahun di belakang rakan-rakan sekolahnya.
Beliau dua tahun lebih tua berbanding murid lain di sekolah tetapi beliau menghargai peluang mendapatkan pendidikan itu.
Beliau belajar dengan bersungguh-sungguh dan beliau bekerja pada masa yang sama… kerana keluarganya memerlukan wang.
Akhirnya, beliau dapat mencapai tahap yang sama dengan rakannya dan berkhidmat sebagai guru kemudian.
Sebelum bersara, beliau adalah seorang wanita yang luar biasa.
Bagi beliau, ia bukan satu pilihan antara bekerja dengan keluarga. Beliau melakukan semua itu – mengurus kerja sebagai guru, menjaga keluarganya, mengurus kerja rumah, semuanya tanpa bantuan pembantu rumah.
Layanan tidak adil seperti yang ibu saya hadapi tentunya bukan unik.
Ramai wanita segenerasi dengannya melalui perkara yang sama.
Di Singapura, dalam tahun-tahun awal, ramai ibu bapa rasa keberatan untuk menghantar anak perempuan mereka ke sekolah, dan wanita kebanyakannya menguruskan kerja rumah.
Malah, hanya satu pertiga wanita yang berpendidikan ketika itu.
Namun tahun demi tahun, kita telah menjalankan banyak usaha untuk memperkasa dan memberi peluang yang sama kepada wanita.
Melalui Piagam Wanita, kita telah melembagakan kedudukan sama rata antara lelaki dengan wanita dalam perkahwinan dan mengukuhkan perlindungan wanita di Singapura.
Kita juga telah membuat pelaburan yang besar dalam pendidikan universal bagi semua, membuka jalan bagi anak-anak perempuan menyertai tenaga kerja dan mencapai aspirasi mereka.
Dengan usaha-usaha seperti ini, Singapura baru-baru ini menduduki tempat ketujuh di seluruh dunia bagi kesaksamaan jantina dalam Laporan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – satu-satunya negara Asia yang berada di kedudukan 10 di atas.
Wanita juga telah mencapai kejayaan baik di Singapura selama ini.
Di sekolah-sekolah kita hari ini, lelaki dan perempuan mempunyai pencapaian pendidikan yang setanding.
Malah, perempuan lebih cenderung mencapai prestasi lebih baik berbanding lelaki kerana mereka matang lebih awal manakala lelaki lebih suka bermain, jadi perempuan mencatat prestasi lebih baik di sekolah kini.
Kita juga melihat lebih ramai wanita memegang peranan kepimpinan dalam sektor-sektor swasta dan awam, dan memberi sumbangan yang besar di Singapura.
Semua ini adalah hasil daripada perkongsian yang kukuh antara pemerintah dan pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan di Singapura.
Khususnya, PPIS yang telah memainkan peranan penting bagi memperkasa wanita dan memperkukuh keluarga di Singapura sepanjang 70 tahun lalu.
PPIS telah melalui suatu tempoh yang lama sejak ditubuhkan sebagai sebuah pertubuhan yang kecil.
Dalam tahun-tahun awalnya, PPIS membantu wanita Islam memupuk sifat berdikari dari segi peribadi dan kewangan melalui kemahiran seperti memasak, menjahit serta kursus agama dan keilmuan.
PPIS juga memperjuang lebih banyak perlindungan undang-undang bagi kaum wanita dalam hal-hal perkahwinan dan perceraian.
Khususnya, Puan Khatijun Nissa Siraj, pengasas bersama PPIS, berada di barisan hadapan dalam usaha-usaha ini, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Mahkamah Syariah di Singapura.
Beliau juga menjadi kaunselor wanita pertama di Mahkamah Syariah.
Hari ini, PPIS telah banyak berkembang dan terus memberikan sokongan kepada kaum wanita dalam pelbagai cara.
Ia kini mengendalikan 17 pusat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan sosial untuk membantu bukan saja wanita dan keluarga Melayu/Islam, tetapi juga rakyat Singapura daripada semua kaum dan agama.
Perkhidmatan ini termasuk Pusat Perkhidmatan Keluarga, perkhidmatan prasekolah dan keluarga titipan, sekadar menyebutkan beberapa di antaranya.
PPIS juga mengendalikan rumah peralihan wanita sekular yang pertama di Singapura untuk membantu pesalah wanita bersepadu semula dengan masyarakat.
Oleh itu sempena ulang tahun (PPIS) yang ke-70, saya ingin mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada semua di PPIS bagi khidmat anda yang kukuh selama ini dan bagi pelbagai sumbangan penting anda terhadap pembangunan wanita di Singapura.
Tentunya, walaupun wanita di Singapura telah mencapai banyak kemajuan, masih banyak lagi usaha perlu dijalankan dalam masyarakat kita.
Kita semua ketahui bahawa jurang jantina masih ada dalam masyarakat kita dan masih banyak usaha perlu dijalankan.
Wanita masih lagi memikul tanggungjawab mengurus rumah tangga yang tidak seimbang, sama ada mengasuh anak-anak atau menjaga ibu bapa yang lanjut usia.
Wanita juga terus menghadapi kekurangan di tempat kerja, di mana mereka mungkin dilihat sebagai kurang berkebolehan, terutama dalam industri yang dikuasai kaum lelaki seperti dalam bidang sains, teknologi atau kejuruteraan.
Semua itu boleh menghalang wanita daripada menceburi minat atau mengejar aspirasi kerjaya mereka.
Kita boleh dan harus menjalankan lebih banyak usaha di Singapura demi menyokong wanita.
Kita perlu berusaha mencapai kerjasama yang lebih setara antara lelaki dan wanita dalam keluarga kita.
Kaum lelaki juga perlu memainkan peranan untuk menyokong wanita mencapai kerjasama lebih setara dalam keluarga kita.
Ini kerana keluarga adalah tempat di mana perkongsian ini dapat disemai dan kaum bapa boleh lebih terlibat dalam mengasuh anak-anak dan lebih terlibat dengan kerja rumah.
Kita juga harus memberi sokongan yang lebih baik kepada pengasuh ini, kebanyakannya wanita, supaya mereka boleh terus menjaga orang-orang yang dikasihi.
Kita harus mengurangkan halangan yang terus menyekat wanita kembali bekerja seperti amalan-amalan diskriminasi.
Untuk mengatasi semua isu ini, pemerintah telah menerbitkan Kertas Putih Mengenai Pembangunan Wanita di Singapura pada awal tahun ini, selepas berbincang mengenainya di peringkat negara sepanjang tahun.
Kertas Putih itu dibangunkan bersama orang awam dan rakan kerja masyarakat termasuk PPIS dan ia menetapkan satu hala tuju bagi dekad akan datang, tentang bagaimana kita boleh memberi sokongan yang lebih baik kepada wanita dan keluarga mereka di Singapura.
Bagaimanapun, usaha-usaha pemerintah saja tidak mencukupi.
Ini kerana, seperti yang kita ketahui, apa yang menghalang usaha memajukan perjuangan wanita di Singapura bukan dasar pemerintah atau amalan korporat majikan.
Sebaliknya, ia stereotaip jantina yang mendalam dan berakar umbi. Dan usaha menangani semua itu memerlukan usaha seluruh masyarakat.
Lelaki harus melakukan lebih banyak lagi, untuk memikul tanggungjawab penjagaan dan tidak menganggap bahawa wanita lebih sesuai melaksanakan peranan itu.
Majikan pula perlu memupuk amalan mesra keluarga dan amalan tempat kerja yang progresif.
Mereka perlu melakukan yang terbaik bagi mengurangkan stigma yang dihadapi lelaki apabila mengambil cuti untuk menjaga anak-anak mereka, dan lakukan lebih banyak lagi untuk memperkasakan wanita demi merealisasikan potensi mereka dan memegang jawatan kepemimpinan dalam pertubuhan.
Ibu bapa dan guru-guru mempunyai peranan penting juga.
Mereka perlu menggalakkan anak-anak lelaki dan perempuan supaya menghormati satu sama lain, dan tidak dibataskannya atas dasar stereotaip jantina, termasuk dalam memilih kerjaya.
Pertubuhan kemasyarakatan seperti PPIS kekal penting dalam semua usaha ini.
Inilah sebabnya saya gembira, kerana pada ulang tahun ke-70, anda memutuskan untuk melancarkan program baru untuk terus menyokong wanita di Singapura.
Khususnya, PPIS melancarkan biasiswa pertamanya bagi wanita, dengan kerjasama Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud, untuk wanita melanjutkan pengajian di peringkat possiswazah.
Biasiswa ini bertujuan membangunkan pemimpin wanita dalam masyarakat Melayu/Islam – bukan sahaja dalam bidang kerja kemasyarakatan dan sosial, tetapi juga kursus-kursus yang secara tradisinya dikuasai oleh kaum lelaki, seperti sains, teknologi dan kejuruteraan.
Menerusi usaha ini, saya berharap kita dapat terus meningkatkan lagi bilangan wanita teladan bagi masyarakat Melayu/Islam dan menunjukkan bahawa tiada had terhadap apa yang boleh dicapai oleh wanita di Singapura.
Usaha baik yang dikerjakan oleh PPIS ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sumbangan para penderma dan sukarelawan.
Ada di antaranya yang telah menyumbang buat tempoh yang lama dan ada juga yang telah berbakti secara sukarela dengan PPIS selama bertahun-tahun, malah lebih sedekad.
Kemurahan hati dan sokongan padu anda untuk pembangunan wanita dan mengukuhkan keluarga, memberi inspirasi.
Akhirnya, untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil dan sama rata, kita semua – individu, pertubuhan masyarakat, majikan dan pemerintah – harus memainkan peranan.
Ini adalah tanggungjawab bersama.
Saya memuji PPIS atas sumbangan yang penuh dedikasi selama 70 tahun bagi tujuan yang amat penting ini dan saya mengalu-alukan kerjasama berterusan bersama anda.
Bersama-sama kita boleh membina masa depan yang lebih baik dan lebih berdaya tahan, untuk wanita dan keluarga di Singapura.”