29 Apr Dapatan kajian aspirasi wanita Muslim S’pura akan dikongsi dengan PBB
This was originally published by Berita Harian on 27 April, 2024.
Dapatan Kajian Wanita Muslim Singapura (AMWR) yang dijalankan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) bagi mengetahui aspirasi wanita Muslim di sini bakal dikongsi dalam satu persidangan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada pertengahan Mei, umum Presiden PPIS, Cik Hazlina Halim.
Cik Hazlina menambah PPIS juga akan membentangkan kepada PBB beberapa saranan dalam memastikan mutu kehidupan wanita di Singapura terus dipertingkat.
Membuat pengumuman itu ketika berucap dalam sambutan Harmoni Raya PPIS di Rumah Peralihan Rise Above pada 27 April, Cik Hazlina berkata beliau rasa terdorong dan bersyukur dengan peluang untuk berkongsi dapatan persatuannya di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap dunia dapat mempelajari daripada satu sama lain bagaimana kita dapat memastikan wanita boleh menyokong sesama sendiri, memandangkan kita mempunyai lensa dan identiti budaya yang unik,” ujarnya lagi.
AMWR telah dilancarkan pada 2022 sempena Hari Wanita Sedunia.
Dalam ucapannya, Cik Hazlina juga berkongsi bahawa 33 penghuni Rumah Peralihan Rise Above telah menjalani kehidupan mereka sendiri.
Sejak dibuka pada September 2022, ia telah menyambut kedatangan 76 wanita.
Acara itu turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin, bersama sekitar 40 pemimpin wanita yang mewakili pelbagai pertubuhan berasaskan agama dan sekular, pihak berkepentingan, dan rakan kongsi masyarakat.
Ini merupakan kali pertama sambutan tahunan Lebaran PPIS diadakan di rumah peralihan itu.
“Pemimpin wanita ini dapat melihat sendiri apakah kesan daripada segala usaha kami untuk memastikan wanita bersama-sama maju dan tidak ada yang tertinggal.
“Pintu kami juga terbuka untuk mereka menyantuni kami dalam usaha ini,” tambah Cik Hazlina.
Tema sambutan tahun ini adalah ‘Wajah Berbeza, Satu Kepercayaan’, yang bertujuan untuk merapatkan jurang budaya dan memupuk komuniti yang lebih inklusif, dan mengetengahkan peranan yang dapat dimainkan wanita dalam mencapai matlamat ini.
Antara pemimpin yang ditemui Berita Minggu (BM) ialah Cik Hanim Yahya, Timbalan Pengurus Besar Darul Arqam Singapura.
Menyambut baik usaha PPIS, beliau berkata: “Acara hari ini memberi inspirasi dan juga penting dalam meraikan kepelbagaian dan keterangkuman. Saya juga berasakan ia dapat menyerlahkan kepentingan memperkasakan wanita.”
Satu perbincangan panel mengenai mewujudkan persefahaman dalam kepelbagaian budaya antara kaum dan agama juga diadakan. Panel itu terdiri daripada pengasas dan ketua jurulatih eksekutif COMB (Menghubungkan Minda & Badan), Cik Cassandra Nadira Lee dan anggota Rangkaian Belia Asatizah, Ustazah Marhamah Senewi.