Dermasiswa beri peluang pelajar dapat kelayakan jadi asatizah

Dermasiswa beri peluang pelajar dapat kelayakan jadi asatizah

This article was originally published by Berita Harian on 04 April, 2023.

BUAT julung kalinya pada akhir 2022, Perdaus telah menganugerahkan biasiswa kepada sembilan bekas pelajar belia Perdaus yang ingin dan sedang melanjutkan pengajian Islam mereka.

Ini adalah antara usaha Perdaus dalam mengembangkan impak daripada pembahagian pungutan zakat harta Perdaus.

Istimewanya, dermasiswa ini menggalakkan dan memberi peluang bekas pelajar mingguan melanjutkan pengajian Islam secara formal setelah selesai melalui jaluran pendidikan kanak-kanak serta belia di Perdaus. Ini sekali gus memberi peluang kepada pelajar-pelajar ini mendapatkan kelayakan bekerja sebagai asatizah berkelayakan.

Pengurus Kanan Perdaus Cik Noorulhuda Sharun, menjelaskan: “Kami berbesar hati menyokong pelajar kami yang memutuskan mahu menyambung pengajian Islam mereka. Kami berharap dermasiswa ini akan mendorong pelajar kami mencapai matlamat mereka, insya-Allah, dan memberi ilham kepada ramai lagi untuk ikut serta.”

Antara penerima dermasiswa sebanyak $500 ini ialah Encik Ilham Luhur Sujadi, 22 tahun. Beliau merupakan pelajar Perdaus daripada peringkat rendah dan menengah, kemudian menyambung ke program sijil belia Perdaus.

“Semasa menuntut di Perdaus, asatizah saya sering mengingatkan bahawa mempelajari ilmu Islam adalah usaha sepanjang hayat. Saya juga mendapat ilham daripada ulama kita yang menghabiskan sebagian besar masa muda mereka untuk belajar. Dengan itu, keputusan saya mahu menyambung pengajian agama adalah wajar, dan pintu masuk untuk saya membangun keperibadian saya dengan harapan menjadi seorang Muslim yang lebih baik.”

Beliau, yang juga seorang lulusan politeknik dalam kejuruteraan aerospace, kini menuntut sambilan di Pergas dalam program Sijil Lanjutan Pengajian Islam dan bakal selesai pada 2025 nanti.

Encik Ilham bercadang mengajar pengajian agama secara separuh masa, dan menyasarkan untuk mendapatkan kelayakan Skim Pengiktirafan Asatizah atau ARS pada masa hadapan.

Seorang lagi penerima dermasiswa ialah Cik Nur Radhiah Jasni, yang barubaru ini menamatkan pengajian separuh masa bagi Sijil Pengkhususan Guru Al-Quran, di Darul Quran, Masjid Kampung Siglap, dengan harapan dapat menajamkan lagi ilmu Al-Quran.

Cik Nur Radhiah, 22 tahun, juga merupakan bekas pelajar madrasah mingguan Perdaus daripada peringkat rendah. Beliau, lulusan politeknik dalam bidang komunikasi visual dan reka bentuk media, kini bekerja sepenuh masa di sebuah masjid sebagai Penolong Komunikasi Pemasaran.

Sebagai badan agama dan pendidikan Islam, Perdaus sedia menerima zakat harta dan derma daripada masyarakat, demi mencapai visi badan ini ke arah masyarakat yang soleh.

Selain asnaf fi sabilillah, Perdaus juga mengagihkan kutipan zakat kepada asnaf lain, pihak yang layak menerimanya. Ini juga termasuk bengkel latihan asatizah, baucar habuan bagi asatizah separuh masa, melunaskan hutang yuran madrasah bagi keluarga berpendapatan rendah dan menyediakan perbelanjaan barangan dapur bagi keluarga benefisiari daripada kelabkelab masyarakat dan lain-lainnya.