28 Feb Fokus Belanjawan letak SG dalam kedudukan kukuh hadapi masa depan
This article was originally published by Berita Harian on 27 February, 2022.
LANGKAH dalam Belanjawan tahun ini, sama ada perubahan struktur cukai mahupun usaha yang dipergiat untuk melatih pekerja, bertujuan meletakkan Singapura dalam kedudukan kukuh untuk menghadapi peralihan dan masa depan.
Ini sedang negara ini berada dalam peralihan bukan sahaja daripada pandemik Covid-19, bahkan daripada keadaan dunia yang berbeza serta perubahan struktur dalam ekonomi.
Demikian menurut panelis dalam sesi perbincangan Pasca-Belanjawan anjuran Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM) baru-baru ini.
Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat, berkata selain perubahan ketara kepada rangka kerja cukai, Belanjawan kali ini juga memberi rangsangan kepada perusahaan, pekerja dan keluarga.
“Kita perlu juga fahami bahawa Singapura sekarang di dalam situasi peralihan, bukan saja peralihan dari Covid, malah peralihan daripada dunia global yang berbeza, dan juga peralihan ekonomi Singapura secara struktur,” ujar beliau, yang juga Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh.
Beliau memberi contoh pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran. Antaranya, pemerintah memperuntukkan sekitar $100 juta untuk menyokong Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dalam usahanya memperluaskan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC).
“Kita perlu ambil peluang ini. Pekerja dan pelajar perlu merancang ke depan untuk mempunyai landasan lebih baik bagi mengecapi peluang yang mungkin akan datang,” ujarnya.
Seorang lagi panelis, Naib Presiden Kesatuan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, berkata geran baru untuk meningkatkan program CTC akan mendorong syarikat melaksanakan program latihan dan transformasi yang konkrit demi memastikan ia dapat terus maju.
“CTC ini bukan setakat jawatankuasa latihan syarikat yang biasa kerana ia adalah satu jawatankuasa yang berbentuk transformasi. Bukan latihan di masa kini sahaja, tetapi latihan untuk memperdalam dan meluaskan kemahiran kita,” ujarnya.
Dalam Belanjawan, pemerintah turut mengumumkan langkah menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) daripada 7 peratus kepada 8 peratus bermula 1 Januari 2023, dan seterusnya 8 peratus kepada 9 peratus pada 1 Januari 2024.
Bagi membantu warga mengatasi kesan kenaikan GST, pemerintah menyediakan langkah sokongan di bawah Pakej Jaminan bernilai $6.6 bilion, yang termasuk bayaran wang tunai, rebat GST-U Save, baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) serta tokokan Medisave.
Mengenai apakah bantuan itu mencukupi, seorang lagi panelis perbincangan, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, menyarankan agar usaha dijalankan untuk mendekati golongan berpendapatan rendah dan menerangkan kepada mereka mengenai skim bantuan itu.
“Bagaimanakah kita mendekati golongan yang memerlukan, golongan yang kurang memahami dan kurang mengetahui langkah-langkah yang terbaik untuk memanfaatkan apa yang diberikan,” ujarnya.
Bantuan yang diberikan itu bukan sahaja untuk menanggung perbelanjaan sementara, malah untuk meletakkan mereka dalam keadaan lebih kukuh untuk masa depan.
Sesi perbincangan yang dipengerusi Penolong Kepada Editor BH/BM, Cik Norhaiza Hashim, itu turut menyentuh tentang pelbagai topik termasuk sokongan untuk pekerja gaji rendah, langkah mengawal kemasukan pekerja asing serta kenaikan jumlah Persaraan Asas (BRS) Tabung Simpanan Pekerja (CPF).