GEMS Singapore dampingi remaja perempuan bermasalah & bekas pesalah menerusi kegiatan menyeronokkan

GEMS Singapore dampingi remaja perempuan bermasalah & bekas pesalah menerusi kegiatan menyeronokkan

This article was originally published by BERITA Mediacorp (Online) and BERITA Mediacorp (Broadcast) on 31 January, 2023.

BERITAmediacorp: Bukan setakat menarik golongan wanita untuk cergas bersukan tetapi juga mendampingi remaja perempuan yang berisiko serta membantu dalam usaha integrasi semula pesalah dan pesalah bentan.

Itulah usaha masyarakat terbaru kumpulan GEMS Singapore yang memperkasakan kaum hawa melalui pelbagai aktiviti kecergasan.

Sebelum ini, kumpulan itu mendampingi remaja perempuan dan bekas pesalah dadah sejak Ogos 2022 menerusi aktiviti seperti bot naga dan kursus bina keyakinan diri.

Ini dilakukan misalnya menerusi kegiatan seperti yang dianjurkan di Hydrodash di Pulau Sentosa pada pagi Sabtu lalu (28 Jan).

 

Dalam kegiatan itu, 40 anggotanya menaja 40 remaja berisiko dan bekas pesalah wanita dari empat agensi iaitu Rumah Peralihan Rise Above (PPIS), Akademi Agape dan Persatuan Wanita dalam Pemulihan (WIRA).

Aktiviti itu bukan setakat untuk menguji daya ketahanan fizikal mereka tetapi bagi mengeratkan silaturahim dan mengembangkan rangkaian sokongan bagi mereka.

“Kami mahu mereka rasa diterima. Kita dapat membantu mereka dalam usaha mereka untuk integrasi semula dalam masyarakat, memulihkan diri sendiri. Jadi kita mahu mainkan peranan juga dalam proses itu,” kata pengasas GEMS Singapore, Cik Muzdalifah Anuar.

Menurutnya, kedua-dua anggota dan juga para peserta yang dirujukkan agensi-agensi berkenaan pada mulanya berasa ragu-ragu dan kekok untuk beramah mesra tetapi semua itu telah dapat diatasi.

“Ada yang rasa segan ada yang rasa takut tetapi Alhamdulillah ini adalah acara kami yang keempat jadi mereka sudah rasa macam biasa sebab mereka tahu agensi kita menerima mereka seadanya,” tambah Cik Muzdalifah

Usaha ini amat dialu-alukan Akademi Agape membantu wanita yang ingin mengubah kehidupan mereka mendapat pekerjaan.

Mereka melihat inisiatif sebegini boleh bantu mengubah persepsi negatif masyarakat.

“Kami menjalankan program yang memperkasakan golongan wanita. Mereka boleh bercampur dengan orang yang tidak akan menilai latar belakang mereka.

“Untuk aktiviti Hydrodash ini, ada banyak halangan. Dalam hidup kita ini ada halangan. Jadi kalau mereka boleh melaluinya, saya rasa dalam hidup, mereka dapat atasi segala-galanya,” Pengurus Bahagian Jangkauan dan Bimbingan Akademi Agape, Cik Nooren Rabu.

Salah seorang klien Akademi Agape ialah Cik Puteri Marisa Ismail, 29 tahun.

Beliau yang sudah tiga kali ditahan atas kesalahan mengambil dan mengedar dadah teruja diberi peluang menyertai aktiviti tersebut.

“Apa cabaran kita di luar sana, mereka terapkan dalam permainan. Jadi kita tahu sampai tahap mana kita boleh pergi dan buat kita percaya pada diri kita sendiri. Ia memberikan saya motivasi kerana sebelum ini saya rasa orang yang ada kedudukan, tidak akan bercampur dengan saya tetapi mereka sangat ramah,” Cik Puteri Marisa.

Seorang lagi peserta dari Akademi Agape yang turut serta ialah ‘Lisa’, 27 tahun.

Beliau adalah bekas pesalah dadah kali kedua.

“Acara ini membuat saya lebih semangat, lebih berkeyakinan diri sebab mereka lebih berusia daripada saya tetapi mereka boleh buat. Mereka berani untuk cuba benda yang baru, benda yang lain. Jadi pada saya kalau mereka boleh, kenapa saya tidak boleh,” ujar beliau.

GEMS Singapore bakal menganjurkan dua lagi program sokongan serupa pada bulan depan.