Kanak-kanak 12 tahun ini jadi Duta PPIS untuk kumpul S$150,000 bagi kebajikan

Home > News & Media > Kanak-kanak 12 tahun ini jadi Duta PPIS untuk kumpul S$150,000 bagi kebajikan

Kanak-kanak 12 tahun ini jadi Duta PPIS untuk kumpul S$150,000 bagi kebajikan

Last Update on January 7, 2022

Kanak-kanak 12 tahun ini jadi Duta PPIS untuk kumpul S0,000 bagi kebajikan

This article was originally published by Berita on 05 January, 2022.

SINGAPURA: Baru berusia 12 tahun, tapi Shan Ehan Sofian, sudah dipilih sebagai Duta Kempen kebajikan bagi Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Dengan menampilkan Shan selaku duta, PPIS berharap kanak-kanak itu akan dapat membantunya mengumpulkan sebanyak S$150,000 bagi pusat jagaan pelajar 7oaks di Bedok dan Jurong.

Menurut PPIS, Shan dipilih menjadi wajahnya bagi kempen mengumpul dana ‘Shaping Futures with PPIS’ itu kerana sikap baik hati serta  nilai-nilai memberi yang ditonjolkannya.

(Gambar: PPIS)

Ini setelah dia didapati berkongsi wang sakunya dengan rakan sekelas yang tidak mampu membeli makanan sendiri pada November tahun lalu.

Jasa murni ini dirahsiakan daripada keluarganya sehingga diketahui oleh ibu bapanya.

Kini dengan peluang sebagai duta, Shan akan dapat menyumbang dengan lebih besar lagi kepada masyarakat pada Januari ini.

“Saya memutuskan untuk membuka sendiri laman giving.sg saya kerana saya ingin kawan-kawan saya (di pusat jagaan pelajar) untuk terus menerima kebajikan sebelum dan sesudah sekolah,” menurut Shan menerusi satu kenyataan media PPIS.

(Gambar: PPIS)

Shan merupakan anak kepada pelakon Nurul Aini. Menurut Nurul, yang bangga dengan pemilihan anaknya sebagai duta kempen, beliau berharap agar Shan dapat meneruskan usahanya ini untuk membantu masyarakat dalam caranya sendiri.

“Kami berharap dia boleh mendapatkan lagi lebih ramai daripada kita untuk menjadi lebih aktif dalam membantu golongan yang tidak bernasib baik,” kata Nurul.

KEMPEN SOKONG KANAK-KANAK SEPERTI UMAYRAH, ERLYNA DAN QURAISY…

Dilancarkan pada 6 Disember tahun lalu, kempen ‘Shaping Futures with PPIS’ menyokong anak-anak dari pusat jagaan pelajar 7oaks yang menyediakan khidmat jagaan sebelum dan selepas sekolah. Sekitar 60 peratus daripada mereka memerlukan sokongan kewangan.

Anak-anak di pusat jagaan itu berusia antara 7 hingga 14 tahun.

“Amal dan sikap murah hati harus bermula bukan sahaja di rumah, tetapi pada usia yang muda,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PPIS, Tuminah Sapawi.

“Jika kita mengamalkan nilai-nilai ini pada usia yang muda, kita boleh menjangkakan masyarakat yang ambil peduli bagi memastikan kita berdiri teguh bersama-sama dan tidak membiarkan sesiapa ketinggalan.”

(Gambar: PPIS Singapore Muslim Women’s Assn/Facebook)

Kempen ini diharap dapat membantu kanak-kanak seperti Umayrah, Erlyna and Quraisy – tiga beradik yang datang dari keluarga ibu tunggal dan mempunyai masalah kewangan.

Ibu mereka, Cik Farhana, yang dibuangkan kerja pada mulanya mendapati sukar mencari kerja baru. Namun, selepas menghantar anak-anaknya itu ke pusat jagaan pelajar 7oaks Jurong, dia dapat menumpukan perhatian untuk mencari kerja tetap.

Cik Farhana kini hanya perlu membayar yuran nominal bagi ketiga-tiga anaknya, sekali gus dapat meringankan bebannya.

Kempen PPIS itu akan berlangsung sehingga 31 Januari 2022 dan oang ramai boleh menyumbang melalui laman ini.

Sumber : BERITAmediacorp/nj