23 Sep PPIS lantik Prof Madya Razwana Begum sebagai Presiden baharu
Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengumumkan pelantikan Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, 50 tahun, sebagai Presiden untuk Lembaga Tadbir Urus yang ke-27 pada Sabtu, 21 September.
Perubahan pucuk pimpinan itu dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunannya yang ke-53 yang berlangsung di Hotel Grand Mercure Roxy, pagi tadi.
Cik Hazlina bagaimanapun akan terus berkhidmat sebagai Mantan Presiden Terkini.
Profesor Madya Razwana kini bertugas sebagai Ketua Program Keselamatan dan Keselamatan Awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Pengalamannya di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah memberikannya pemahaman mendalam tentang kompleksiti dasar dan amalan sosial.
Selain itu, beliau juga merupakan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang mewakili PPIS di LBKM.
“Saya gembira dilantik sebagai Presiden PPIS. Dengan sokongan Lembaga kami yang berdedikasi, serta staf dan sukarelawan yang luar biasa, saya yakin PPIS akan terus menyokong dan memperkasa (golongan) wanita, kanak-kanak, dan keluarga di seluruh Singapura,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa tumpuannya dalam masa terdekat adalah memastikan peralihan kepimpinan berlangsung dengan lancar.
“Saya akan membina atas kejayaan yang telah dicapai oleh Cik Hazlina. Keutamaan saya adalah untuk memperluaskan jangkauan PPIS, serta meningkatkan perkhidmatan kami untuk memenuhi keperluan wanita dan keluarga yang semakin berkembang. Saya akan terus memperjuangkan pemerkasaan wanita dalam semua bidang – dari segi kepimpinan, penjagaan dan pembangunan diri,” kata beliau kepada BERITA Mediacorp.
Beliau juga akan memanfaatkan pengalaman dalam pelbagai disiplin untuk memajukan PPIS ke arah yang lebih baik.
“Di PPIS, kami komited membina komuniti yang berdaya tahan, dan saya berharap dapat membawa pandangan holistik ini ke dalam inisiatif-inisiatif kami,” kata beliau.
Beliau juga berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memperjuangkan dasar yang menyokong kesaksamaan jantina dan bantuan kepada keluarga.
“Saya berharap untuk meneroka cara-cara baru dan kreatif bagi melibatkan masyarakat dan bekerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS Cik Aidaroyani Adam serta pasukan hebat di setiap pusat PPIS Ini akan memastikan PPIS bukan sahaja memenuhi keperluan penerima, tetapi juga membantu pertumbuhan dan kekuatan untuk jangka yang panjang,” ujar beliau
Profesor Madya Razwana mengucapkan terima kasih kepada Cik Hazlina atas sumbangannya kepada PPIS selama bertahun-tahun.
Cik Hazlina telah berkhidmat selama lebih dari satu dekad dalam pelbagai kapasiti.
“Saya rasa bersyukur mendapat peluang menerajui PPIS tatkala dunia sedang memerangi pandemik global. Dan PPIS pada waktu itu dengan tangkas dan pantas dapat memastikan setiap khidmat yang Kami sediakan berjalan dengan lancar dan tidak terputus, ketika sekali kita diperlukan di kalangan waktu genting.
“Tambahan itu, kami juga berpeluang untuk meluaskan lagi khidmat-khidmat dan juga pusat-pusat yang kami buka supaya lebih ramai yang boleh dapat sokongan, terutama sekali, wanita, keluarga dan kanak-kanak, supaya dapat capai aspirasi masing-masing,” kata CIk Hazlina.
Di bawah kepimpinannya, PPIS melancarkan Biasiswa Pasca-Siswazah Wanita PPIS-LBKM, satu inisiatif yang menegaskan komitmen PPIS dalam menyokong perkembangan, kepimpinan, dan kecemerlangan akademik wanita.
Ia juga membentangkan hasil Kajian Aspirasi Wanita Muslim Singapura (AMWR) di sesi ke-68 Suruhanjaya Status Wanita di New York, Amerika Syarikat dan juga di sesi ke-88 Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) di Geneva Switzerland, pada Mei tahun ini.
“Saya sangat berbesar hati disokong dalam usaha-usaha untuk memastikan PPIS dikenali, difahami dan juga dihormati di peringkat nasional dan juga di peringkat antarabangsa. Kami sepasukan berpeluang untuk berkongsi dapatan mengenai aspirasi Muslimah Singapura, di mana kami berharap pemahaman yang lebih mendalam^ dapat memastikan mengeratkan lagi hubungan masyarakat kita bersama,” ujar beliau.
AGM PPIS pagi tadi turut melantik empat muka baru ke dalam barisan Lembaga Pengarahnya, termasuk CIk Zulaifah Abdul Ghani (Bendahari Kehormat), Cik Nur’Ashikin Ahmad (Penolong Bendahari Kehormat), serta Faradilla Abdullah dan Dr Nur Atiqah Azhari sebagai Anggota Lembaga Pengarah yang baharu.