Presiden Halimah: Suri teladan penting bagi pupuk pemimpin wanita masa depan

Presiden Halimah: Suri teladan penting bagi pupuk pemimpin wanita masa depan

 

This article was originally published by BERITA HARIAN on 15 May, 2023.

MEMUPUK suri teladan wanita yang aktif dan mudah dilihat adalah kunci memupuk sistem eko sokongan yang sihat yang akan mendorong wanita mencapai potensi penuh serta aspirasi tertinggi mereka.

Model peranan dan mentor wanita menimbulkan kesan berganda dalam masyarakat apabila mereka mempengaruhi wanita muda secara positif dengan meningkatkan keyakinan, tahap pencapaian dan kesejahteraan psikososial wanita muda ini.

Oleh itu, usaha seluruh masyarakat diperlukan untuk memupuk pemimpin wanita masa depan.

Demikian kata Presiden Halimah Yacob ketika menghadiri acara ‘Harmony Raya’ anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) yang diadakan di Furama Riverfront pada Ahad.

Acara tersebut merupakan sambutan Hari Raya berbilang agama dan kali pertama diadakan pada 2017.

Kali ini, sambutan acara tersebut lebih istimewa kerana ia bertepatan dengan Hari Ibu.

Bertemakan ‘Teladan Terhebat Wanita (Legasi & Kisah Hidup)’, acara itu memberi penghormatan kepada suri teladan wanita dahulu dan sekarang termasuk pemimpin dan pelopor wanita yang telah mentakrifkan semula kejayaan dalam bidang masing-masing dan mengukir laluan bagi generasi akan datang.

“Pementoran dan sokongan rakan-ke-rakan juga merupakan bahan penting untuk menyokong wanita dalam mengemudi tempat kerja.

“Memupuk pasukan pelbagai jantina dan menyokong lebih ramai pemimpin wanita dalam bidang seperti pengaturan kerja fleksibel, mengukuhkan keadilan di tempat kerja serta program bimbingan dan penajaan wanita adalah beberapa cara untuk membantu wanita kita mengambil bahagian sepenuhnya di tempat kerja dan memenuhi potensi terbaik mereka,” ujar Puan Halimah.

Beliau menambah bahawa mempunyai pemimpin dengan pelbagai pengalaman, set kemahiran dan perspektif akan membolehkan sesebuah organisasi menjadi lebih lincah dan lebih berdaya saing.

“Di tempat kerja, kita mesti terus memupuk budaya tempat kerja yang mengiktiraf dan menggalakkan wanita dengan potensi kepimpinan untuk memajukan pembangunan wanita,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim, berkata suri teladan dan mentor wanita boleh membantu merapatkan jurang dan memainkan peranan penting dalam menggalakkan generasi wanita masa depan untuk bangkit.

“Ini menjadikan suri teladan dan mentor wanita penting dalam perjalanan kepimpinan bagi wanita lain.

“Memastikan terdapat peluang sama rata bagi wanita boleh mengukuhkan ekonomi, demokrasi dan masyarakat.” katanya.

Sebuah perbincangan panel juga telah diadakan semasa acara tersebut, yang dihadiri lebih 100 pemimpin masyarakat wanita.

Anggota panel termasuk anggota Majlis Katolik Archdiocesan bagi Dialog Antara Agama (ACCIRD), Cik Michelle Voo; Ketua, Al Wafa’, Ustazah Nadiah Hanim dan Pensyarah (Penulisan Akademik, Pusat Bahasa Inggeris dan Komunikasi), Universiti Nasional Singapura, Dr Uma Jayaraman.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk bagaimana wanita moden mentakrifkan kejayaan serta cabaran yang mereka hadapi dan sokongan yang mereka perlukan untuk mencapai aspirasi keluarga dan kerjaya mereka.