NMP Razwana Begum dilantik Presiden baru PPIS

NMP Razwana Begum dilantik Presiden baru PPIS

This was originally published by Berita Harian on 21 September 2024

Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, dinamakan sebagai Presiden terbaru Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pada 21 September.

Pelantikannya diumumkan dalam Mesyuarat Agung ke-53 persatuan berusia lebih tujuh dekad itu, di hotel Grand Mercure Singapore Roxy di East Coast Road.

Beliau, 50 tahun, yang sebelum ini Naib Presiden II PPIS, mengambil alih jawatan sebagai Presiden bagi Lembaga Tadbir Urus ke-27 persatuan itu, daripada Cik Hazlina Abdul Halim, 39 tahun, yang telah memimpin persatuan itu selama dua penggal.

Cik Hazlina akan terus berkhidmat sebagai Mantan Presiden Terkini dan akan membantu dalam memudahkan urusan peralihan kepimpinan bagi beberapa bulan mendatang.

Profesor Madya Razwana telah berkhidmat dalam lembaga PPIS sejak 2022 dan antara lain, pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Perkhidmatan Sosial.

Profesor Madya Razwana kini bertugas sebagai Ketua Program Keselamatan dan Perlindungan Awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan mempunyai latar belakang berbilang disiplin merangkumi undang-undang, kerja sosial dan kriminologi, serta pernah menggalas tugas dalam dasar sosial umum di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Selain itu, beliau merupakan NMP sejak 2023 dan mewakili PPIS di Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

“Saya besar hati dilantik sebagai Presiden PPIS,” kata Profesor Madya Razwana.

“Dengan sokongan daripada anggota lembaga, staf dan relawan berdedikasi, saya yakin PPIS akan terus meningkatkan darjat wanita, kanak-kanak dan keluarga di Singapura,” tambahnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Cik Hazlina atas sumbangannya memimpin PPIS sejak 2020, termasuk semasa pandemik Covid-19.

Dalam kenyataannya, PPIS berkata kepimpinan Cik Hazlina telah membolehkan persatuan itu mencatat pelbagai pencapaian, termasuk kerjasama dengan beberapa badan tempatan lain serta penubuhan rumah peralihan wanita sekular pertama di Singapura, Rise Above.

Di bawah kepimpinannya juga, PPIS menerbitkan kajian pertama bertajuk ‘Aspirasi Wanita Muslim’, yang menyumbang kepada perbincangan penting di wadah antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) .

“Tadbir urus yang baik serta pembaharuan kepimpinan adalah kunci di balik kemajuan sebuah pertubuhan. Saya berbesar hati kerana diberi peluang dan amanah berkhidmat kepada PPIS sepanjang sedekad,” kata Cik Hazlina yang juga dinobat Pingat Bakti Masyarakat pada 2024.

“Saya berharap pada tempoh itu pasukan PPIS telah membawa kebanggaan kepada kaum wanita, keluarga, masyarakat dan Singapura sejagat,” tambahnya sambil berikhtiar untuk menyokong sepenuhnya Profesor Madya Razwana dalam tempoh peralihan ini.

Sementara itu, PPIS juga melantik mantan presiden persatuan itu, Cik Rahayu Mohamad, sebagai penasihat dan Cik Shamim Hasanali Dhilawala sebagai Penasihat Undang-Undang Kehormat.

Ia juga menyambut empat wajah baru dalam barisan anggota lembaganya, antaranya Cik Zulaifah Abdul Ghani sebagai Bendahari Kehormat; Cik Nur’Ashikin Ahmad, Penolong Bendahari Kehormat; serta Cik Faradilla Abdullah dan Dr Nur Atiqah Azhari sebagai Anggota Lembaga Pengarah baru.