Home > News & Media > PPIS rai Hari Wanita dengan perbincangan aspirasi kaum Hawa
PPIS rai Hari Wanita dengan perbincangan aspirasi kaum Hawa
Last Update on March 20, 2024
Kaum Hawa perlu disokong untuk mencapai aspirasi peribadi dan profesional mereka bagi menyepadukan kerja dan kehidupan, serta mencapai kesejahteraan secara keseluruhan.
Itulah yang menjadi tumpuan dalam perbincangan panel anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) sempena meraikan Hari Wanita Antarabangsa.
Acara pada 9 Mac yang berlangsung di hotel Four Points by Sheraton dihadiri oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.
Turut menghadiri acara itu ialah seramai 80 peserta, termasuk pemimpin wanita, rakan kongsi masyarakat, dan kaum Adam, menurut satu kenyataan PPIS.
Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim, mengetengahkan dapatan Kajian Wanita Muslim Singapura (AMWR) pada 2022 yang mengenal pasti tanggungjawab keluarga sebagai cabaran utama bagi wanita dalam mencapai aspirasi profesional.
“Tidak ada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua; garis panduan dan undang-undang adalah langkah-langkah ke arah yang betul, tetapi mentakrifkan semula peranan dan perkongsian bermula di rumah,” ujar beliau.
Bagi menangani cabaran itu, PPIS mendapatkan karyawan dalam bidang perubatan yang juga ibu dua anak, Dr Filza Aslam; serta Naib Presiden Kelab Mendaki, Cik Amalina Abdul Nasir, yang berkongsi kisah peribadi dan wawasan mereka dalam acara tersebut.
Dr Filza menekankan kepentingan keseimbangan kerja dan kehidupan untuk kesihatan mental dan fizikal serta menggalakkan wanita untuk mendapatkan sistem sokongan yang betul.
Cik Amalina mencabar penanda kejayaan konvensional, menekankan kejayaan yang ditakrifkan sendiri melalui mengharmonikan pelbagai peranan kehidupan.
Dalam komitmen mereka terhadap kesaksamaan jantina, PPIS ingin terus menjadi pemimpin yang berfikir dan ejen perubahan positif melalui kerjasama strategik, menurut kenyataan persatuan itu.
Persatuan itu bertujuan untuk menangani keperluan, jurang sumber, dan menyokong dasar pro-keluarga dan amalan di tempat kerja dan pada masa yang sama mengubah pemikiran mengenai peranan jantina tradisional.