Jaminan institusi keluarga dilindungi disambut baik

Home > News & Media > Jaminan institusi keluarga dilindungi disambut baik

Jaminan institusi keluarga dilindungi disambut baik

Last Update on October 18, 2023

This article was originally published by Berita Harian on 23 August, 2022.

BADAN Melayu/Islam setempat menyambut baik jaminan yang diberi pemerintah bahawa institusi keluarga akan dilindungi di sini dan menggalak masyarakat Islam agar kekal tenang dan berhemah apabila berbincang mengenai isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, queer (LGBTQ).

Ini menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong kelmarin bahawa pemerintah bakal memansuhkan Seksyen 377A – undang-undang yang menyifatkan seks sejenis antara lelaki sebagai satu jenayah.

Namun pada masa yang sama, Encik Lee menekankan bahawa pemerintah akan mendukung dan melindungi institusi perkahwinan, di mana hanya perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita diiktiraf di Singapura di bawah undang-undang. Pemerintah akan meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif perkahwinan tersebut daripada dicabar, kata Encik Lee.

Memberi pandangan, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) menekankan kepentingan memelihara serta mengukuhkan dasar dan nilai kekeluargaan di Singapura, termasuk melindungi definisi dan institusi perkahwinan serta memperkukuhkan kestabilan masyarakat dengan nilai-nilai keluarga daripada perkahwinan heteroseksual.

Dalam kenyataan mereka, Pergas menggesa agar pindaan perlembagaan Singapura dapat dilaksanakan dengan segera.

Pergas berkata lagi bahawa pegangan dan nilai moral masyarakat Islam juga tidak seharusnya bergantung kepada perundangan negara.

“Sebaliknya, masyarakat Islam Singapura perlu meningkatkan usaha untuk memahami isu rumit ini dengan lebih baik, memupuk nilai-nilai moral yang Islamik dan mengukuhkan nilai-nilai kekeluargaan dalam kehidupan dan masyarakat kita. Ini juga bererti kita perlu meningkatkan mutu dan kandungan perbincangan mengenai isu seksualiti, perkahwinan dan keluarga di peringkat institusi pendidikan Islam,” kata Pergas.

Pergas berharap agar anggota masyarakat terutamanya masyarakat Islam, tidak mengasingkan, mengecualikan mahupun menghina mereka yang merasakan diri mereka tergolong di dalam kumpulan LGBTQ.

“Pergas juga menggesa masyarakat Islam untuk mendekati dan berinteraksi bersama kumpulan ini dengan baik dan rahmah serta menyokong mereka untuk menegakkan ajaran Islam yang benar,” tambahnya.

AMP Singapura meluahkan keprihatinan terhadap keputusan memansuh Seksyen 377A dan kesan serta-merta mahupun jangka panjang langkah tersebut ke atas masyarakat.

Namun begitu, AMP menyokong keputusan pihak pemerintah untuk melindungi definisi perkahwinan dari segi undang-undang.

“Salah satu fokus AMP ialah di dalam pengukuhan keluarga dan dengan itu, kami mengharapkan komitmen berterusan daripada pihak pemerintah di dalam pembinaan keluarga yang kukuh di dalam masyarakat,” kata AMP.

Ia turut menggalak masyarakat Islam agar bersabar dan bersikap hikmah apabila membincangkan isu LGBTQ.

“Di mana ada perbincangan tentang isu ini, harapan AMP ialah ianya akan dilakukan dengan penuh hormat dan juga sikap menerima terhadap pandangan berbeza,” tambahnya.

Berkongsi pendapat serupa, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim menekankan bahawa keluarga yang kukuh adalah tunggak masyarakat.

PPIS mengalu-alu ikrar pemerintah untuk melindungi kesucian perkahwinan dan keluarga, serta komitmen untuk mengekalkan dasar yang berkaitan.

Singapura akan memerlukan masa untuk bersiap sedia sebelum perubahan akan datang, dan keutamaan adalah untuk membangunkan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan.

“Ia juga penting bagi masyarakat kita untuk mengadakan dialog terbuka untuk lebih memahami kesannya serta berbincang bagaimana kita boleh mencipta dan mengemudi ruang selamat dengan lebih baik untuk masyarakat kita yang mempunyai pelbagai sudut. Penglibatan masyarakat perlu dilakukan dalam cara yang berhemah dan menghormati, sejajar dengan adab dan nilai agama kita,” ujarnya.

Mewakili golongan belia pula, Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohd Zain berkata persatuannya tahu dan memahami pelbagai keprihatinan belia dan ibu bapa mengenai kesan pengumuman pemerintah kelmarin, namun memberi jaminan bahawa program dan khidmatnya terus tersedia untuk setiap belia di Singapura tanpa melabel mahupun menghukum.

Encik Nassar menambah bahawa persatuannya komited kepada menyampaikan dialog yang selamat, inklusif dan berani serta program yang menuju ke arah kesejahteraan, pendidikan dan pembangunan belia.

“Dengan pengumuman yang dilakukan, kami jangka akan melihat lebih banyak interaksi dan pertukaran perhubungan dan idea terhadap topik tersebut tetapi kami akan terus mendekati setiap belia seadanya, menghargai nilai dan kepercayaan berbeza yang mungkin dipegang mereka dengan rasa hormat, belas kasihan dan kebaikan,” katanya.

Beliau menambah bahawa mereka akan menumpukan usaha mereka terhadap memperkasa belia ke arah mengekalkan hubungan keluarga yang kukuh.