Home > News & Media > Kerja naik taraf rumah peralihan wanita yang diusahakan PPIS jalan lancar
Kerja naik taraf rumah peralihan wanita yang diusahakan PPIS jalan lancar
Last Update on May 13, 2022
Posted at 14:24h
in News & Media
Home > News & Media > Kerja naik taraf rumah peralihan wanita yang diusahakan PPIS jalan lancar
This article was originally published by Berita Harian on 24 April, 2022.
KERJA-KERJA naik taraf bagi Rumah Peralihan Rise Above – rumah peralihan sekular untuk wanita yang pertama di sini – sudah bermula, dengan rumah itu akan menampilkan kemudahan seperti ruang komputer untuk membolehkan penghuni mempertingkat kemahiran supaya boleh mendapat pekerjaan dan hidup lebih berdikari.
Berkongsi perkembangan mengenai rumah peralihan itu semalam, presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, berkata sejauh ini, kerja-kerja naik taraf berjalan lancar dan mengikuti jadual yang ditetapkan.
Rumah itu dijangka menerima kumpulan 30 penghuni yang pertama pada separuh kedua tahun ini.
Rumah Peralihan Rise Above, yang terletak di 1 St George’s Lane, merupakan sebuah kerjasama antara PPIS dengan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) untuk menempatkan pesalah wanita yang menjalani program pemulihan dalam masyarakat.
Antara program yang akan disediakan buat penghuni rumah itu adalah program kemahiran dan kehidupan berdikari yang membolehkan mereka meraih kemahiran seperti memasak, membuat kek dan roti, dan menjahit.
Program seperti riadah, kegiatan menjalin ikatan bersama keluarga dan peluang melakukan kerja sukarelawan dan terlibat dalam projek khidmat kemasyarakatan juga dirancang diadakan.
Cik Hazlina berkata: “Pokoknya, mereka di sini untuk kami sokong dan latih supaya mereka dapat kembali bersama menjalinkan hubungan dengan masyarakat dan juga dengan keluarga.”
Semalam, PPIS bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, telah mengunjungi ‘jiran-jiran’ Rumah Peralihan Rise Above, iaitu penduduk di Blok 3 St George’s Road, untuk memperkenalkan rumah peralihan itu kepada mereka.
Cik Hazlina berkata selain kerjasama dengan rakan akar umbi, PPIS akan secara aktif cuba merancang cara bekerjasama dengan rakan korporat, badan bantu diri dan badan wanita lain untuk sama-sama menjalankan kegiatan rumah peralihan itu.
“Ini merupakan rumah peralihan wanita sekular pertama di Singapura. Jadi ini usaha kita bersama.
“Antara yang akan kami lakukan termasuk meneruskan kegiatan untuk mendekati jiran-jiran dan juga mereka yang ingin membantu mempertingkatkan dan membangkitkan wanita,” kata beliau.