KOMENTAR: Amanah dan anugerah sebagai ibu bapa titipan

Home > News & Media > KOMENTAR: Amanah dan anugerah sebagai ibu bapa titipan

KOMENTAR: Amanah dan anugerah sebagai ibu bapa titipan

Last Update on November 7, 2022

This article was originally published by BERITA Mediacorp on 04 November, 2022.

BERITAmediacorp: Kasih sayang dan kemesraan yang istimewa. Inilah yang dirasakan oleh ibu bapa titipan yang membuka hati mereka untuk menjaga anak-anak istimewa yang memerlukan tempat berteduh dan kasih sayang yang mungkin tidak akan dirasai dalam keluarga kandung mereka.

Bukan anak-anak istimewa sahaja yang menjadi tumpuan Pusat Titipan Oasis di bawah naungan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Anak-anak yang diabai, didera atau dilahirkan dalam keluarga yang mencabar juga menerima sokongan Pusat Titipan Oasis yang meraikan ulang tahunnya kelima pada tahun ini.

Sejak ditubuhkan pada 2017, pusat yang merupakan salah satu pusat titipan di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah memberi sokongan kepada 100 keluarga titipan dan 140 kanak-kanak titipan.

Jumlah kanak-kanak titipan telah meningkat dua kali ganda sejak pusat ini memulakan khidmatnya dengan 75 kanak-kanak pada 2017.

Sabtu ini (5 Nov), Pusat Oasis meraikan ulang tahunnya yang kelima dengan mengadakan acara pameran bergerak di Hab Tampines Kita selama dua hari hingga Ahad (6 Nov).

Acara ini dibuka kepada orang ramai yang mempunyai hasrat untuk mengambil anak titipan dan ingin mengetahui lebih lanjut tentang program ini.

Pekerja sosial Oasis akan berada di Hab Tampines Kita untuk mengendalikan bengkel serta sesi perkongsian dengan ibu bapa.

 

Perjalanan Indah

Cik Nur, seorang ibu titipan berkongsi: “Tahukah anda bila saat yang paling menggembirakan bagi saya? Ia adalah apabila saya bangun dari tidur dan melihat bayi titipan saya tersenyum lebar. Hati saya cair.”

Cik Nur dan suaminya Encik Mohamed menjaga dua anak titipan di bawah usia 6 tahun. Antara pengalaman manis buat kedua-duanya ialah menyambut hari lahir anak titipannya yang sebelum ini tidak pernah meraikan hari lahir. Tidak pernah menyanyikan bersama lagu ulang tahun. Tidak pernah melihat kek berwarna-warni untuk dipotong dan dinikmati bersama.

Pada Hari Raya pula, Cik Nur dan Encik Mohamed dapat merasakan keghairahan anak-anak-titipannya memakai baju sedondon, sesuatu yang tidak pernah anak-anak tersebut alami. Dan berziarah raya ke rumah sanak saudara dan menikmati hidangan istimewa.

Kenangan indah seperti itulah yang akan tersemat di sanubari anak-anak tersebut apabila mereka dewasa dan perlu kembali ke pangkuan ibu bapa kandung mereka.

Seorang lagi ibu bapa titipan berkongsi bagaimana anak titipan yang pada mulanya sukar untuk menerima hakikat ditempatkan dengan “keluarga berlainan” akhirnya bersetuju untuk makan semeja.

Dan apabila si anak titipan berjinak-jinak untuk solat berjemaah bersama keluarga besar seramai lima orang, itulah saat yang paling manis buat kedua-dua ibu bapa titipan tersebut.

 

Perjalanan Berliku

Namun, tidak semuanya yang indah dan mudah. Cabaran seperti menyesuaikan diri dengan gaya hidup dan keluarga yang berbeza sering kali menjadi hambatan pada usaha menjaga anak titipan.

Seorang anak yang membesar dalam keluarga yang membiarkan si anak makan di hadapan televisyen sambil menonton rancangan kegemarannya, atau si anak yang membesar dengan kata-kata kesat dan suara yang lantang akan menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri dengan keluarga yang inginkan disiplin dalam diri anak itu, seperti mengikut jadual waktu makan, menikmati hidangan di meja makan atau bertutur dengan lembut.

Cabarannya berbeza mengikut usia si anak ketika diambil sebagai anak titipan.

Lebih muda usianya, contohnya usia bayi, lebih mudah melenturnya – seperti melentur buluh biar dari rebung. Pada usia kanak-kanak hinggalah belasan tahun, cabarannya juga berbeza.

 

Sokongan Professional

Namun dengan sokongan pekerja sosial di Pusat Oasis, ibu bapa tidak keseorangan untuk menempuh segala kesukaran. Pekerja sosial dilatih untuk mengendalikan kanak-kanak yang mempunyai pengalaman trauma semasa kecil mereka. Selain kaunseling dan pengurusan kes, pekerja sosial menganjurkan kegiatan seperti terapi seni dan permainan. Menerusi terapi sedemikian, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan mereka yang terpendam.

Bagi sesetengah kanak-kanak, adakalanya sukar untuk meninggalkan keluarga kandung mereka, biarpun kehidupan dengan keluarga titipan lebih selesa. Ada di antara mereka yang bertanya – Kenapa saya tak boleh pulang sekarang? Adakah ibu bapa saya masih sayangkan saya? Inilah antara soalan yang perlu dijawab dengan peka dan professional.

Ibu bapa titipan juga akan berpeluang untuk menjalani kursus untuk meningkatkan kemahiran mereka agar mereka dapat menjawab soalan sedemikian dan meyakinkan si anak bahawa ibu bapa titipan adalah pihak yang akan menjaga mereka dengan prihatin dan penuh kasih sayang.

Sempena ulang tahun PPIS yang ke-70 pada tahun ini, setiap anak titipan telah dihadiahkan dengan Family Engagement Kit, iaitu beg yang berisi pelbagai aktiviti menulis, melukis serta permainan yang dapat mengeratkan lagi hubungan si anak dengan ibu bapa titipannya.

 

Sinari Hidup Mereka

Bagi ibu bapa yang telah menjaga anak-anak titipan sejak berdekad, kepuasan bagi mereka juga pelbagai. Ada yang berpuas hati sekadar mendengar si anak kecil mengatakan – terima kasih mama – setiap kali si ibu memberinya makanan atau melakukan sesuatu untuknya.

Ramai ibu bapa yang berpuas hati melihat si anak membesar dan menjadi belia yang konfiden dan yakin diri serta berjaya dalam persekolahan.

Melihat si anak tertawa dan dapat menjadi sebahagian daripada keluarga merupakan satu hadiah yang tidak ternilai harganya bagi ibu bapa titipan.

Senyum dan tawa inilah seolah-olah memadamkan segala keresahan dan cabaran yang dihadapi oleh si ibu bapa sepanjang menjaga anak titipan.

Antara sokongan untuk ibu bapa titipan:
– Elaun bulanan untuk menanggung kos makanan, pakaian, pengangkutan,

– Yuran sekolah dan keperluan lain kanak-kanak tersebut

– Sesi induksi dan latihan untuk melengkapkan ibu bapa titipan dengan kemahiran yang diperlukan

– Sokongan tetap daripada Pegawai Penjagaan Titipan

-Talian kecemasan 24 Jam bagi Ibu Bapa Titipan

– Kad pengecualian yuran perubatan

– Kos perubatan kanak-kanak di poliklinik dan hospital pemerintah

– Subsidi penjagaan kanak-kanak dan kelas pengayaan

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang acara pameran bergerak Pusat Oasis, orang ramai dipersilakan hadir ke Hab Tampines Kita pada Sabtu dan Ahad ini.

Bagi yang berminat, mereka boleh menelefon 68176150 dari Isnin hingga Jumaat semasa waktu pejabat atau emel ke oasis@ppis.sg untuk membantu anak-anak yang memerlukan kasih sayang.