Kursus rumahtangga bersifat imersif bantu Mohamed Farid, Suriani lebih kenali isi hati antara satu sama lain

Home > News & Media > Kursus rumahtangga bersifat imersif bantu Mohamed Farid, Suriani lebih kenali isi hati antara satu sama lain

Kursus rumahtangga bersifat imersif bantu Mohamed Farid, Suriani lebih kenali isi hati antara satu sama lain

This article was originally published by BERITA Mediacorp (Online) on 04 February, 2023.

BERITAmediacorp: Selepas 10 tahun menjalani hidup sendirian, Encik Mohamed Farid Masrom dan isteri beliau Suriani Md Hilmi, bertemu jodoh dan memutuskan untuk bernikah. Kedua-duanya pernah berumahtangga dan masing-masing mempunyai anak hasil perkahwinan lalu.

Selepas berkahwin, Encik Farid dan Cik Suriani mendapati cabaran antara mereka adalah untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan dan cara masing-masing menangani sesuatu perkara.

Ini memandangkan perkahwinan kali kedua dan kehidupan bersama keluarga tiri merupakan hubungan yang lebih rumit dan sulit berbanding mendirikan rumahtangga buat kali pertama.

Lantaran itu, Cik Suriani mencadangkan agar beliau dan suami mengikuti kursus rumahtangga sekitar enam bulan selepas bernikah.

“Semasa perkahwinan terdahulu saya kurang memberi perhatian semasa kursus rumahtangga. Ketika itu saya berkahwin pada usia muda, 18 tahun. Jadi saya mahu kami mengikuti kursus rumahtangga ini kerana saya benar-benar ingin memastikan perkahwinan kami kali ini berjaya. Saya mahu kami melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan demi perkahwinan kami,” kata Cik Suriani, 35 tahun.

KURSUS RUMAHTANGGA “IMERSIF”

Pasangan itu mengikuti kursus persiapan rumahtangga, Program Memupuk Kasih, kendalian PPIS Vista Sakinah, yang mempersiapkan pasangan yang bernikah sekali lagi dan memperkukuhkan mahligai yang baru dibina dengan menjalin hubungan yang mesra dan kukuh dengan keluarga tiri.

Ternyata, kursus rumahtangga itu banyak membantu Encik Farid dan Cik Suriani mengharungi cabaran perkahwinan kali kedua mereka.

Menyifatkan kursus rumahtangga PPIS Vista Sakinah sebagai “imersif” dan interaktif, Encik Farid berkata mereka juga dapat berkongsi pandangan dan jawapan kepada persoalan-persoalan yang diutarakan semasa menjalani kursus.

“Ia sangat membantu. Ia dikendalikan dengan baik oleh PPIS, sangat mudah untuk faham dan serap ilmu yang diajarkan.

“Masalah itu biasa. Kadang-kadang kita ada percanggahan pendapat. Pertikaian biasa. Jadi saya ingat kembali kepada apa yang kami pelajari daripada kursus itu dan cuba mengamalkannya dan ia benar-benar membantu,” kongsi Encik Farid, 45 tahun.

 

 

Antara yang dipelajari Encik Farid dan Cik Suriani, termasuk cara-cara untuk menghuraikan masalah secara tenang dan bertolak ansur, sekali gus memahami antara satu sama lain dengan lebih baik.

TIMBA KEMAHIRAN INSANI

Selain itu, mereka dapat menimba kemahiran insani dan panduan menjalin hubungan yang berkesan dan saling memahami isi hati antara satu sama lain. Ini membantu dari segi hubungan bersama anak-anak tiri masing-masing dan mempertingkatkan mutu kehidupan mereka sekeluarga.

Encik Farid mempunyai dua anak perempuan daripada perkahwinan sebelum ini manakala Cik Suriani pula mempunyai empat orang anak. Kesemuanya sudah mencecah usia dewasa.

 

 

Maka, beliau sangat menggalakkan pasangan yang pernah melalui perceraian dan berhasrat untuk melayari bahtera perkahwinan sekali lagi untuk mengikuti kursus persiapan rumahtangga.

“Tidak semua orang yang merancang untuk berkahwin dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk melalui perkahwinan sekali lagi. Sebahagiannya, malah pasangan muda juga, yang merancang untuk berkahwin tidak cukup pengalaman. Mereka tidak cukup pengalaman untuk menangani apa sahaja masalah yang mendatang.

“Perkahwinan kedua (atau sekali lagi) juga ada banyak cabarannya. Kita perlu menjalin hubungan baik dengan anak-anak tiri dan keluarga pasangan, jadi kita perlu tahu bagaimana caranya. Jadi, kursus ini sangat digalakkan,” ujar Encik Farid.

PROGRAM PERSIAPAN PERKAHWINAN HARUS JADI LANGKAH PERTAMA

Bagi pasangan yang merancang untuk melangkah ke alam rumahtangga, baik buat kali pertama atau bernikah sekali lagi selepas perceraian atau kematian pasangan, mengikuti kursus persiapan seumpama ini haruslah menjadi langkah pertama dan utama demi melayari mahligai yang stabil dan bahagia.

Anggota keluarga seperti ibu bapa, saudara-mara dan rakan-rakan juga boleh memainkan peranan untuk mendorong pasangan yang bakal menjadi raja sehari untuk mengikuti kursus-kursus sedemikian.

Untuk keterangan lanjut mengenai kursus rumahtangga yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), pasangan boleh melungsuri laman https://go.gov.sg/msfmarriagepreparation atau bertanya dengan Naib Kadi masing-masing. Maklumat mengenai A Singapore Made For Families 2025 pula boleh diperolehi di https://go.gov.sg/MFF2025plan.