LBKM, PPIS sambut baik Belanjawan 2023; terus hulur sokongan kepada golongan memerlukan

LBKM, PPIS sambut baik Belanjawan 2023; terus hulur sokongan kepada golongan memerlukan

This article was originally published by BERITA Mediacorp (Online) on 15 February, 2023.

BERITAmediacorp: Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) menghargai langkah-langkah konkrit dan ketara yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Selasa (14 Feb).

LBKM turut mengalu-alukan pengagihan semula pendapatan dan sokongan yang dihulurkan kepada golongan berpendapatan rendah, menurut LBKM dalam kenyataan medianya pada Rabu (15 Feb).

“Terutama sekali bagi Institusi Bertaraf Awam (IPC), seperti LBKM, kami amat mengharapkan potongan cukai sebanyak 250 peratus yang dilanjutkan sehingga 2026 dapat memberi rangsangan kukuh kepada sikap kedermawanan dan kemurahan hati ahli masyarakat, agar mereka terus memberi sumbangan demi memanfaatkan golongan yang memerlukan,” menurut LBKM.

Justeru, dengan sokongan masyarakat yang kukuh, padu dan berterusan, LBKM yakin dapat terus mengekalkan usaha meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar masyarakat Melayu/Islam Singapura melalui peluang pendidikan yang baik.

 

PPIS SAMBUT BAIK TUMPUAN BELANJAWAN 2023 UNTUK PERKASA DAYA TAHAN KELUARGA

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) menyokong tumpuan Belanjawan 2023 yang bertujuan untuk memperkukuhkan lagi daya tahan masyarakat Singapura, khususnya di peringkat keluarga dan di tempat kerja.

Dengan meningkatkan lagi sokongan bagi keluarga-keluarga Singapura menerusi Pakej Jaminan (AP) bernilai S9.6 bilion, selain skim Baucar GST (GSTV) yang dipertingkat dan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), ia akan membantu mengurangkan kesan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan inflasi bagi warga Singapura berpendapatan rendah hingga sederhana, menurut PPIS dalam kenyataan medianya pada Selasa (14 Feb).

PPIS turut menyifatkan peruntukan cuti yang dipertingkatkan untuk ibu bapa, khususnya bagi kaum bapa untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam penjagaan anak sebagai satu “langkah ke arah yang baik” demi mewujudkan tenaga kerja yang mesra keluarga, selain pendakapan aturan kerja yang fleksibel.

“Ia sejajar dengan aspirasi generasi pekerja lebih muda untuk berjaya dalam kerjaya mereka dan membina keluarga sendiri. Langkah ini juga akan memastikan ibu dan bapa memainkan peranan yang serupa dalam membesarkan anak mereka,” menurut PPIS.

PPIS menekankan, bagi seorang anak kecil pula, pendidikan merupakan kunci untuk mengubah trajektori mereka dan keluarga mereka pada masa akan datang.

“Dengan keadaan yang tidak menentu, menghulurkan sokongan demi membangunkan Singapura Mesra Keluarga menerusi Hadiah Tunai Bonus Bayi, tokokan pada Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA), Akaun Edusave dan Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) akan banyak membantu menggalakkan akses awal kepada pendidikan.

“PPIS juga mengalu-alukan peluasan program KidSTART di seluruh negara serta penambahan tempat jagaan kanak-kanak, yang akan membantu dan menggalak pendaftaran yang lebih tinggi di peringkat prasekolah, khususnya bagi keluarga-keluarga berpendapatan rendah,” ujar persatuan itu.

Selain itu, tokokan S$1 bilion kepada Dana Amanah Masyarakat untuk Warga Emas (CST) penting bagi membolehkan warga emas di Singapura untuk hidup dan menua dengan baik dengan adanya bantuan kewangan dan pendampingan yang mencukupi.

Sebagai sebuah agensi khidmat sosial dengan status IPC, PPIS menyokong langkah untuk melanjutkan derma yang boleh ditolak cukai dan Skim Sukarelawan Korporat, yang membantu usaha persatuan tersebut memperkasa keluarga-keluarga di Singapura.

“PPIS kekal komited untuk menghulurkan bantuan menyeluruh yang menyasarkan wanita untuk mencapai aspirasi peribadi, kerjaya dan keluarga mereka dan akan terus bekerjasama dengan pemerintah dan rakan-rakan masyarakat untuk mewujudkan rangkaian yang memupuk keluarga-keluarga berdaya tahan.”