13 Jul Luahan cinta pada mama diabadi menerusi pameran
This article was originally published by Berita Harian on 9 July, 2022.
KERINDUAN yang datang bertamu di hati mengenang ibu tercinta yang meninggal dunia menyusuli satu nahas langgar lari pada 1987 mendorong Dr Suriani Suratman tergerak hati mengabadikan luahan hatinya dalam satu pameran seni 80 karya tembikar.
Pusat: Conversations With My Mama Saerah yang berlangsung di Galeri 2, The Arts House, hingga lusa, berlegar di sekitar kenangan Dr Suriani bersembang dengan arwah ibunya yang merupakan pendidik dan aktivis kemasyarakatan, Allahyarhamha Saerah Taris.
Dr Suriani, 63 tahun, pensyarah kanan dan juga pakar anthropologi sosial di Universiti Nasional Singapura (NUS), merakam memori indah bersama arwah ibunya menerusi hasil tembikar berbentuk mangkuk, pinggan, lesung dan gasing.
Beliau menganggap ibunya sebagai guru kehidupan, memasak dan menjahit.
Setiap karya yang dipamerkan bermakna dalam berkongsi mutiara kata arwah ibunya yang mengajarnya tentang hemah, kesopanan dan memberi manfaat buat golongan memerlukan.
Ibunya juga simbol pemerkasaan wanita dengan bantuan kemasyarakatan yang diberi memberi gambaran kaum Hawa mampu ke depan untuk menjadi pemimpin berkesan.
Pada hari pelancaran pameran ini baru-baru ini, Dr Suriani disertai bapanya, sasterawan Haji Suratman Markasan, yang membaca puisi memperingati arwah isterinya.
Ketika dihubungi Berita Harian melalui Zoom, Dr Suriani berkata:
“Memang payah melupakan arwah ibu saya yang menjadi teladan saya dalam segala aspek kehidupan. Walau pemergiannya 35 tahun lalu, saya masih terbayangkan perbualan kami anak beranak yang mesra dan penuh nasihat. Uri sudah terpisah dari pusat sekian lama tapi kaitan saya dan ibu saya tetap terjalin akrab.
“Banyak perkara yang ingin saya luahkan kepadanya tak kesampaian. Alangkah indahnya kalau saya ada lebih masa bersamanya.
“Ketika itu saya baru pulang ke Singapura dari pengajian sarjana di luar negara. Setelah lama terpisah daripada ibu bapa saya, ingatkan banyak lagi yang dapat saya kongsikan. Sudah tersurat ajalnya sampai.
“Yang tinggal hanyalah nasihatnya agar saya mengharungi kehidupan dengan tidak abaikan keihsanan pada keperluan orang lain.”
Jika ditinjau karya Dr Suriani, akan ada tembikar berbentuk dua mangkuk yang disatukan sebagai lambang kaitan antaranya dan ibunya tidak pernah terputus.
“Apabila saya ke studio tembikar untuk berkarya, saya akan selalu bayangkan dan bertanya mama saya nak apa atau nak perbualkan apa hari ini?
“Saya akan ingatkan detik saya belajar masak daripadanya dengan mencatat segala yang disampaikan satu persatu. Sambil mengajar, beliau akan berkongsi cerita asam garam kehidupan ibarat rencah untuk kita jadikan pedoman.
“Apabila saya belajar menjahit baju kurung dengannya pun, saya akan lihat pelbagai bentuk potongan berlainan ukuran. Bagaimana nak tahu berapa luas diperlukan untuk baju kurung itu? Dia akan kata mengikut ukuran badan saya.
“Sekali gus, kita belajar tentang peribahasa ‘ukur baju di badan sendiri’ yang bermaksud melakukan sesuatu mengikut kemampuan kita. Banyak nilai yang beliau kongsi yang menjadi sandaran saya,” ujarnya yang berguru dengan pakar tembikar, Dr Iskandar Jalil.
Karya tembikar dalam bentuk tiga gasing yang disatukan pula berjudul The Third Shift dan memberi gambaran tentang wanita yang perlu mengimbangi tugas di rumah, pejabat dan pertubuhan kebajikan.
“Ibu saya dan kerja kemasyarakatan memang tak dapat dipisahkan. Beliau terlibat dalam Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Majlis Pusat dan Lembaga Perancangan Keluarga.
“Saya berharap dengan meninjau karya tembikar saya ini, pengunjung juga dapat memikirkan tentang hubungan mereka dengan ibu masing-masing dan menghargai ibu selagi mereka masih ada,” tambahnya.