Masyarakat Melayu catat pelbagai kemajuan, giat sumbang kepada masyarakat lebih luas: Masagos

Masyarakat Melayu catat pelbagai kemajuan, giat sumbang kepada masyarakat lebih luas: Masagos

This article was originally published by BERITA Mediacorp on 06 March, 2023.

SINGAPURA: Tiga cara digariskan untuk lebih mengupayakan masyarakat Melayu/Islam untuk menyumbang kepada masyarakat Singapura yang lebih luas.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata ini dapat dilakukan dengan (i) memperkukuh asas keluarga, (ii) memupuk barisan pemimpin masa hadapan dalam bidang agama dan masyarakat dan (iii) meluaskan sumbangan masyarakat kepada negara.

Beliau berkongsi lebih lanjut tentang usaha-usaha itu dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bagi Ehwal Masyarakat Islam di parlimen pada Isnin (6 Mac).

Dalam pada itu, Encik Masagos juga melahirkan rasa bangganya dengan kemajuan masyarakat Melayu/Islam yang juga giat menyumbang kepada masyarakat Singapura yang lebih luas.

“Dalam satu generasi sahaja, banyak keluarga Melayu/Islam telah berjaya mencapai tiga “S” (kestabilan, berdikari dan mobiliti sosial) – sebahagian besarnya kerana kita menekankan pendidikan. Ia juga hasil usaha para pemimpin masyarakat kita, yang menubuhkan MENDAKI empat puluh tahun lalu. Mereka akui pentingnya pendidikan untuk mempertingkatkan kehidupan masyarakat kita,” kata Encik Masagos.

“Kini, tahap pendidikan masyarakat kita lebih tinggi. Lebih banyak keluarga berjaya mencapai kestabilan, mampu berdikari dan meningkatkan mobiliti sosial mereka. Dalam mencapai kejayaan pula, masyarakat kita tidak meninggalkan nilai-nilai budaya dan agama. Ini kerana MUIS terus memperkasakan bakat asatizah dan infrastruktur agama dalam memupuk keperibadian kita,” tambah beliau.

Dengan menyumbang kepada masyarakat yang lebih luas, Encik Masagos berkata ini akan dapat membina semangat kewarganegaraan atau ‘Citizenry’.

Ia merupakan aspek ‘C’ ketiga bagi membangunkan sebuah Masyarakat Gemilang.

Sumbangan ini diharap dapat dilakukan tanpa mengira kaum atau agama agar dapat mewujudkan masyarakat yang bersemangat dan saling membantu bagi membangunkan Singapura yang lebih kukuh.

Hal itu ditekankan Encik Masagos dalam pembentangannya yang bertemakan ‘Masyarakat Peyumbang, Perkukuh Negara’.

Ini merupakan lanjutan kepada dua perdebatan COS bagi Ehwal Masyarakat Islam yang lalu yang menyentuh dua lagi ‘C’ iaitu Keperibadian (Character) dan Kecekapan (Competency).

 

MASYARAKAT RAHMATAN LIL ALAMIN

Encik Masagos berkata sumbangan masyarakat dalam pelbagai bidang wajar diraikan dan dibanggakan.

Beliau memberikan beberapa contoh termasuk individu-individu berjaya yang menyumbang di peringkat nasional.

“Dr Nadjad Abdul Rahim ialah pengarah operasi dan pembangunan produk Cellbae Ptd Ltd yang mana pasukannya mencipta ujian pantas antigen pertama Singapura untuk COVID-19. Beliau juga membimbing para belia untuk membentuk kerjaya dalam bidang sains dan mendampingi keluarga-keluarga rentan,” kongsi Encik Masagos.

Selain Dr Nadjad, Encik Masagos juga memuji Kapten Jaffar Hassan yang menerajui sekumpulan juruterbang Melayu/Islam yang membimbing pelajar-pelajar mengejar cita-cita dalam industri penerbangan menerusi usaha bersama MENDAKI dan memperluaskannya kepada SINDA.

Dua lagi individu ialah Ustazah Kalthom Muhammad Isa yang sama-sama membantu menangani usaha ektremisme dan Encik Abu Bakar Mohd Nor yang berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat Tampines Central.

 

Masyarakat Melayu/Islam juga banyak menjayakan usaha Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF)

Dalam meluaskan lagi sumbangan, Encik Masagos berkata masyarakat Melayu sememangnya hidup dengan etos Rahmatan Lil Alamin iaitu membantu mereka yang memerlukan tidak mengira kaum, agama mahupun bangsa.

“Pada Ramadan tahun lalu, RLAF mengumpul dana berjumlah lebih $180,000 untuk membantu hampir 7,000 keluarga memerlukan dari pelbagai kumpulan agama dan etnik. Mereka bekerjasama dengan pelbagai rakan kerja seperti kuil, gereja, masjid dan Persatuan Cacat Penglihatan Singapura untuk membungkus dan mengagihkan barangan keperluan bagi keluarga-keluarga itu,” kata Encik Masagos.

“RLAF bukan sahaja mendampingi mereka yang memerlukan tapi juga memupuk hubungan yang lebih kukuh dalam kalangan warga Singapura,” tambahnya lagi.

PERKUKUH ASAS KELUARGA, BINA INSTITUSI KELUARGA UTUH

Selain itu, untuk masyarakat Melayu/Islam mampu menyumbang kepada masyarakat lebih luas, asas keluarga perlu diperkukuhkan dahulu.

Encik Masagos berkata usaha itu akan diteruskan lagi dengan Program Bersamamu dan Program Latihan Responder Pertama Perkahwinan.

Beliau juga memberi perkembangan program tersebut, “Program Bersamamu yang diterajui Menteri Negara Dr Faishal telah membantu mempererat hubungan lebih 20,500 pasangan pengantin baru. Ini hasil bimbingan dan sokongan kukuh daripada para Kadi dan Naib Kadi.”

Pada tahun lalu, para Kadi dan Naib Kadi telah ke pusat-pusat INSPIRASI Hubs serta PPIS Vista Sakinah untuk lebih memahami cabaran-cabaran yang dihadapi pasangan-pasangan muda dan yang berkahwin semula.

Kata Encik Masagos, pelajaran yang ditimba itu membolehkan mereka memberi sokongan yang proaktif dan berkesan kepada pasangan-pasangan.

Usaha itu malah diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan Program Latihan Responder Pertama Perkahwinan.

“Latihan ini memperkasa para anggota masyarakat untuk memberi sokongan kepada pasangan-pasangan yang menghadapi masalah rumah tangga. Lebih 300 anggota masyarakat Melayu/Islam, yang terdiri daripada para pemimpin masyarakat dan agama, serta para sukarelawan, telah dilatih untuk menyokong dan menggalakkan pasangan untuk mendapatkan bantuan profesional, jika perlu,” jelas beliau.

Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata kesemua usaha di peringkat masyarakat itu saling melengkapi program-program di peringkat nasional bagi memperkukuh institusi kekeluargaan.

Di samping itu, beliau juga mengumumkan dua usaha baru bagi memupuk barisan pemimpin masa hadapan dalam bidang agama dan masyarakat.

Bagi tujuan itu, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan membangunkan sebuah portal bagi bahan rujukan Islam dan sains sosial menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, MUIS juga akan memperkasa golongan asatizah dengan menyediakan peluang-peluang latihan dalam metodologi penyelidikan.

Ini kata Encik Masagos, akan memberi golongan asatizah lebih keyakinan untuk membimbing masyarakat dan berupaya menyumbang kepada negara.