Home > News & Media > Melangkah lebih yakin selepas mampu harungi era pandemik
Melangkah lebih yakin selepas mampu harungi era pandemik
Last Update on January 7, 2022
This article was originally published by Berita Harian on 03 January, 2022.
TAHUN 2021 sudah pun berlalu dan kini kita menyambut kedatangan tahun baru 2022.
Sudah dua tahun kita hidup dalam suasana pandemik Covid-19 ini, dengan pelbagai peraturan dan sekatan dalam norma baru yang tidak pernah dialami sebelum ini.
Bahkan, pasti ramai yang terasa tahun lalu bak ‘putaran masa’ kembali ke 2020 – Singapura sekali lagi mengalami gelombang baru kenaikan kes Covid-19 pada pertengahan tahun dek varian Delta, menyebabkan pelbagai langkah pengurusan selamat dilaksanakan semula.
Kemudian, pada hujung tahun, kita dikhabarkan pula dengan berita tentang varian baru dipanggil Omicron, yang dianggap lebih mudah berjangkit.
Namun, dalam kegentingan krisis kesihatan yang berlaku itu, ada juga tompok-tompok sinaran cerah bak pelangi selepas hujan.
Rakyat Singapura berjaya menyesuaikan diri hidup dengan norma baru dan menghadapi setiap varian baru yang muncul dengan tenang; ekonomi negara dilaporkan bertambah baik; dan rakyat tidak lupa saling membantu antara satu dengan lain mengharungi keadaan sukar ini.
Malah, khususnya bagi masyarakat Melayu/Islam, kita mengecapi pelbagai pencapaian di tahap lebih tinggi walaupun perlu berdepan dengan banyak cabaran.
Masyarakat Melayu/Islam tidak lupa untuk sama-sama bersatu-padu dan bergotong royong mengharungi kesukaran dan saling mengambil berat antara satu dengan lain sepanjang pandemik ini.
Hasilnya sangat memberangsangkan – kita melihat kemajuan dan peningkatan ketara dari segi tahap pendidikan, pekerjaan dan juga pendapatan berbanding sedekad lalu.
Laporan Banci Penduduk 2020 menunjukkan lebih ramai orang Melayu daripada semua peringkat usia berkelulusan tinggi, dengan kadar siswazah Melayu juga naik seganda. Jumlah karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) Melayu juga meningkat, dan hasilnya, keluarga Melayu kini meraih pendapatan lebih baik.
Namun, masih ada lagi pelbagai cabaran yang menghadapi masyarakat Melayu/Islam, dan lebih banyak yang boleh kita perbaiki memandang ke hadapan.
REBUT PELUANG BARU
Salah satu keprihatinan adalah jumlah orang Melayu yang terlebih dilihat dalam ekonomi gig, seperti pekerjaan penghantaran makanan untuk platform dalam talian, untuk membantu mereka mendapat pekerjaan lebih stabil.
Juga terdapat kebimbangan tentang masyarakat Melayu ketinggalan dalam merebut peluang pekerjaan dalam bidang pertumbuhan baru, seperti teknologi dan kemampanan.
Terdapat pelbagai peluang yang disediakan di peringkat nasional dan juga masyarakat, termasuk dari segi program-program yang membantu individu pertengahan kerjaya beralih ke sektor pertumbuhan dan kursus latihan untuk menimba kemahiran baru.
Peluangnya semua sudah tersedia ada dan ia bergantung pada kita untuk mengambil langkah merebut sepenuhnya apa yang ditawarkan demi kebaikan dan manfaat untuk masa depan.
Baru-baru ini, saya berpeluang mewawancara Cik Siti Nadhirah Rosli, 34 tahun, yang menyertai Program YouthTech yang membantu golongan belia membina kemahiran dalam bidang teknologi dan digitalisasi.
Walaupun diberhentikan kerja dalam bidang hospitaliti dek Covid-19, Cik Nadhirah tidak putus asa, malah menyertai program itu untuk mempertingkat kemahiran dalam pemasaran digital supaya dapat mencari peluang pekerjaan baru.
Semangat tidak mudah luntur yang dipaparkan Cik Nadhirah ini harus dicontohi kerana ia menunjukkan bahawa keberanian dan kerja keras adalah penting dalam perjalanan ke arah kejayaan.
BANTUAN UNTUK WANITA
Satu lagi golongan yang perlu diberi perhatian ialah wanita yang ingin kembali bekerja.
Secara umumnya, ramai wanita mengalami dilema memilih antara pekerjaan dengan tanggungjawab menjaga anak-anak dan ibu bapa, menyebabkan mereka akhirnya meninggalkan alam pekerjaan untuk menjaga keluarga, meskipun mereka berkelayakan.
Malah, dapatan Banci Penduduk 2020 yang dilaporkan berkaitan penyertaan wanita dalam pekerjaan menunjukkan jumlah pekerja wanita Melayu berkurangan, terutama yang berusia antara 25 tahun dengan 39 tahun. Ini sedang jumlah wanita yang bekerja di Singapura meningkat secara keseluruhan berbanding sedekad lalu.
Namun, gaji yang diraih seorang ibu itu mendatangkan banyak manfaat untuk meningkatkan taraf kehidupan seisi keluarga ke tahap yang lebih tinggi dan bukan sekadar sebagai sokongan tambahan untuk si bapa. Ini termasuk dari segi perumahan, perbelanjaan harian, persekolahan anak-anak, dan simpanan.
Oleh itu, lebih banyak sokongan lebih menyeluruh harus disediakan kepada wanita yang ingin kembali bekerja. Dalam hal ini, majikan juga memainkan peranan penting dengan menyediakan aturan pekerjaan fleksibel sambil memahami sepenuhnya bahawa golongan wanita ini juga mempunyai komitmen menjaga keluarga di rumah.
Dalam dunia hari ini, wanita mampu berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi, sama ada konvensional atau bukan konvensional, selagi mereka menerima sokongan penuh dari semua pihak.
Lihat saja pencapaian penerima Anugerah Jauhari 2021 Berita Harian, Cik Shirin Abdul Hamid, 54 tahun, seorang ibu dua anak yang mencapai puncak kejayaan dalam bidang teknologi maklumat (IT) dengan sokongan penuh keluarganya.
Malah, beliau akan mencatatkan satu lagi kejayaan besar dengan menjadi ketua pegawai maklumat (CIO) merangkap pengarah IT di Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington DC, Amerika Syarikat, mulai 4 Januari ini.
MASYARAKAT PENYAYANG, PEMURAH HATI
Walaupun perlu bergelut dengan pelbagai cabaran di tengah-tengah pandemik ini, masyarakat Melayu/Islam tidak pernah melupakan saudaranya yang kurang bernasib baik.
Kita terus mengambil berat dengan menghulurkan bantuan dan juga menderma kepada mereka yang memerlukan – satu sifat yang amat layak dipuji dan disanjungi.
Dan buktinya dapat kita lihat menerusi beberapa laporan baru-baru ini.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan mengagihkan zakat sekitar $3.5 juta kepada 7,862 isi rumah berpendapatan rendah pada 2021 melalui pengagihan akhir tahun (YED) tahunan – yang tertinggi pernah diagihkan.
Lebih 650 individu dan keluarga pula telah menerima manfaat daripada perkhidmatan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), termasuk bantuan kewangan, pengagihan zakat dan mendapatkan pekerjaan.
Project Dian@M³ pula akan membantu meningkatkan kehidupan keluarga Melayu/Islam rentan yang tinggal di flat sewa untuk memiliki rumah sendiri.
Tidak lupa juga usaha yang diadakan dalam masyarakat sendiri, seperti individu yang menggunakan wang mereka sendiri untuk membeli dan menyediakan barang keperluan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.
Ini seperti kisah pasangan suami isteri, Encik Asanul Fariq Sani dan Cik Norhasyimah Awaludin, yang menjadikan ruang di luar flat mereka tempat menyediakan barang runcit percuma untuk mereka yang memerlukan di tengah-tengah pandemik ini.
HARAPAN 2022
Masyarakat Melayu/Islam sudah menunjukkan bahawa kita memiliki pelbagai ciri yang menjadikan kita sebuah masyarakat yang gemilang.
Kita bukan saja telah bekerja keras untuk mencapai puncak kejayaan dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan pendapatan, malah memaparkan sifat murni dalam membantu mereka dalam kesusahan walaupun di tengah-tengah keadaan Covid-19 ini.
Kejayaan masyarakat kita, walaupun kita golongan minoriti, harus dipuji, disanjungi dan layak menjadi contoh kepada semua di dalam mahupun luar negara.
Harapan saya bagi masyarakat Melayu/Islam bagi tahun baru ini adalah agar kita tidak pernah patah semangat, terus berimpian tinggi dan berani meneroka peluang baru, serta terus mengharungi apa jua cabaran yang datang dengan iltizam, keazaman, ketabahan dan kegigihan.
Semoga masyarakat kita terus menjadi lebih unggul dan menjadi yang terulung di mata dunia!
“Semoga kita sama-sama terus melayari hidup penuh mencabar ini, dengan doa dan sabar serta penuh berhikmah menyesuaikan diri menghadapi cabaran-cabaran yang menjelang. Inilah juga tekad kami di Jamiyah Singapura, yang akan meraikan tahun ke-90 penubuhan Jamiyah tahun ini, 2022.”
– Prof (Adj) Datuk Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, Presiden Jamiyah Singapura.
“Saya harap tahun 2022 merupakan peluang untuk kami sebagai satu masyarakat untuk mencapai impian dan cita-cita kita agar kita terus maju ke hadapan di masa yang akan datang. Namun, sambil kita mengejar cita-cita kita, kita juga perlu terus peduli kepada mereka yang memerlukan.
Menjadi tanggung jawab kita sebagai satu masyarakat untuk memastikan agar tiada sesiapa yang ketinggalan. Kita boleh menyumbang dari segi masa, kepakaran atau juga wang untuk membantu satu sama lain.
Marilah kita sama-sama menjadi masyarakat yang prihatin dan peduli. Selamat menyambut tahun baru.”
– Encik Mohksin Rashid, Pengarah Eksekutif AMP Singapura.
“Azam, kekuatan, dan kesungguhan seorang wanita serta sokongan jitu keluarga penting untuk kaum Hawa menggapai kejayaan. Dukungan daripada kaum Adam juga boleh menjadi batu loncatan untuk wanita merealisasikan impian.
Menjelang 2022, PPIS akan memperkukuhkan iltizam kami untuk menyokong wanita mengecapi aspirasi mereka dan kami mengundang anda menyertai kami dalam usaha ini.
Kami ingin terus bekerjasama dengan badan-badan setempat supaya lebih ramai boleh mencatat pencapaian dan kejayaan yang akan menyumbang kepada peningkatan mutu kehidupan masyarakat kita.
Semoga tahun baru ini mendatangkan lebih banyak peluang yang membawa manfaat, terutama sekali buat kaum wanita. Selamat Tahun Baru!”
– Cik Hazlina Abdul Halim, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
“Harapan Pertapis ialah supaya kita semua dapat mengatasi keadaan pandemik dengan menjadi lebih sedar dan mempunyai lebih empati untuk satu sama lain dalam tempoh tekanan yang berpanjangan ini yang menguji nilai kemanusiaan kita sendiri.
Sebagai sebuah agensi khidmat sosial, kami berharap dapat lebih mendekati mereka yang memerlukan bantuan sambil memastikan kakitangan kami dijaga kerana sifat kerja mereka adalah mereka memberi banyak penjagaan kepada penghuni dan oleh itu mereka perlu tahu yang Pertapis sebagai sebuah pertubuhan mengambil berat tentang mereka.”
– Cik Kamsinah Sadar, Pengarah Eksekutif Pertapis.
“Majlis Pusat Singapura akan menjadikan kelemahan masa lalu iktibar, kekuatan masa lalu dorongan dan berganding bahu dengan rakan seperjuangan dan kepimpinan dalam memajukan masyarakat Melayu Singapura menuju hari esok yang lebih baik dari hari ini”.
– Cik Isiah Majid, Setiausaha Agung Majlis Pusat Singapura.
“Harapan dan doa saya untuk tahun 2022 ialah supaya pandemik Covid-19 akan sampai ke penghujungnya dan kehidupan akan kembali pulih meskipun dengan norma baru. Dan dalam setiap langkah kehidupan, suara dan kuasa belia akan terus menjadi pencetus untuk masyarakat menjadi selesa dan sentiasa bersedia menghadapi keadaan gangguan dalam apa sahaja bentuk dan rupa, daripada segi teknologi, perniagaan, ekonomi, politik dan juga perkhidmatan sosial.
Dengan semangat ‘Lions’ yang masih bersemarak di hati, kami akan mengukuhkan lagi iltizam untuk memberi sokongan kepada para belia agar mereka dapat mencapai impian mereka. 4PM akan memberi lebih tumpuan dan impak positif kepada golongan belia dan masyarakat yang kurang bernasib baik.
Kami mahu melakukan ini dengan kerjasama dan berkolaborasi dengan badan-badan pemerintah dan bukan pemerintah. Bak pepatah ‘bulat air kerana pembetung, bulat suara kerana muafakat’.”
– Encik Nassar Mohamad Zain, Presiden 4PM.