MSF sokong agensi Melayu/Islam tawar kursus rumahtangga bagi mempelai muda & pasangan bernikah sekali lagi

MSF sokong agensi Melayu/Islam tawar kursus rumahtangga bagi mempelai muda & pasangan bernikah sekali lagi

This article was originally published by BERITA Mediacorp on 28 January, 2023.

BERITAmediacorp: Akad dilafaz, kompang dipalu, pengantin bersanding.

Inilah antara detik-detik indah yang dinanti-nantikan setiap pasangan yang berhasrat untuk mendirikan rumahtangga.

Tidak cukup setakat itu, detik indah tersebut tentu sekali ingin diteruskan sepanjang hidup melayari bahtera rumahtangga.

Oleh itu, untuk mencapainya pasangan harus melaburkan masa, tenaga dan berusaha untuk melengkapi diri dengan pengetahuan dan kemahiran asas, sebelum melangkah ke jinjang pelamin lagi.

Ini boleh ditimba melalui program-program persiapan rumahtangga yang dikendalikan oleh pelbagai agensi, yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Setiap agensi menawarkan program persiapan perkahwinan yang tersendiri, dengan tempoh, lokasi, saiz kelas serta kos yang berbeza-beza. Dengan itu, setiap pasangan boleh membuat pertimbangan dan memilih agensi yang sesuai dengan keperluan masing-masing.

 

INSPIRASI @ AMP

Salah satu agensi yang menawarkan program persiapan perkahwinan ialah Inspirasi @ AMP. Ia merupakan salah satu daripada dua hab perkahwinan yang menjalankan program seumpama itu dengan kerjasama Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan disokong oleh MSF.

Inspirasi @ AMP menawarkan program persiapan perkahwinan khususnya untuk pasangan muda, yang mana salah seorang daripadanya berusia bawah 21 tahun. Program itu juga sudah diperluaskan kepada pasangan muda, yang mana pengantin lelaki berumur 21 hingga 24 tahun.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan intervensi yang holistik bagi pasangan bawah umur dan pasangan muda, memberi mereka dan keluarga mereka ruang untuk membuat keputusan termaklum dalam menjalani proses perkahwinan, dan membantu mereka dalam membina perkahwinan yang kukuh dan stabil serta menjadi ibu bapa yang berkesan,” kata Kaunselor Kanan Inspirasi @ AMP, Ahmad Syakir Sariff.

Program persiapan rumahtangga agensi itu terdiri daripada beberapa komponen seperti sesi perbincangan praperkahwinan, kursus rumahtangga serta sesi kaunseling susulan.

“Sebelum menghadiri kursus rumahtangga, pasangan serta ibu bapa mereka diwajibkan menghadiri sesi konsultasi perkahwinan. Dalam sesi ini, kaunselor kami akan menilai kesediaan pasangan untuk berkahwin, serta sokongan tersedia oleh ibu bapa mereka. Ini memandangkan usia pasangan yang masih muda serta isu-isu yang mereka akan lalui yang mungkin boleh menjejas kestabilan perkahwinan mereka,” jelas Encik Ahmad Syakir mengenai kursus rumahtangga selama 16 jam itu.

Sekiranya terdapat keperluan, pasangan dan keluarga mereka juga boleh menghadiri sesi kaunseling susulan untuk menangani sebarang masalah yang dihadapi sebelum perkahwinan mereka.

Yang menariknya, Inspirasi @ AMP akan terus menghulurkan sokongan sepanjang 10 tahun mereka mendirikan rumahtangga, di mana mereka turut digalakkan untuk menghadiri pelbagai program pengayaan perkahwinan bagi meningkatkan kehidupan keluarga serta kesejahteraan diri mereka.

 

PPIS VISTA SAKINAH

Satu lagi agensi program persiapan perkahwinan yang disokong MSF ialah PPIS Vista Sakinah, yang menawarkan khidmat tersebut kepada pasangan yang mendirikan rumahtangga sekali lagi setelah bercerai atau kematian pasangan masing-masing.

 

Diberi nama Program Memupuk Kasih (PMK), ia merupakan kursus satu hari yang dikendalikan sekali setiap bulan dan pada hujung minggu. Kursus itu dikendalikan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris bergantung kepada latar belakang peserta.

Menerusi PMK, pasangan menghadiri sesi rundingan dengan kaunselor, sebelum menghadiri kursus rumahtangga. Ini memandangkan setiap pasangan berbeza dan mempunyai konteks tersendiri.

“Sesi konsultasi dengan kaunselor memberi ruang untuk pasangan berbincang tentang harapan mereka untuk perkahwinan yang bakal dibina, peranan dan persiapan mereka sebagai ibu/bapa tiri… diikuti dengan bengkel untuk pasangan, di mana mereka berpeluang belajar dari satu sama lain, di samping mendapatkan ilmu daripada para karyawan yang berpengalaman,” kongsi Cik Nur Hafizah Misngadi, pekerja sosial PPIS Vista Sakinah.

 

Sebahagian besar pasangan yang mengikuti program persiapan perkahwinan PPIS Vista Sakinah adalah warga Singapura atau yang mempunyai pasangan dari luar negara dan mempunyai anak daripada perkahwinan lalu.

“Di PPIS Vista Sakinah, kami juga berjumpa dengan pasangan-pasangan yang berhadapan dengan cabaran berkaitan anak-anak. Selain daripada sokongan untuk pasangan yang hendak berumahtangga, kami juga ingin memperluaskan sokongan kami kepada keluarga tiri serta anak-anak mereka,” kata Cik Nur Hafizah.

 

RESPONS PASANGAN

Pasangan yang mengikuti program persiapan rumahtangga pastinya dapat meraih manfaat dan mengamalkannya dengan penuh keyakinan demi masa depan rumahtangga masing-masing.

Menurut Inspirasi @ AMP dan PPIS Vista Sakinah, pasangan-pasangan yang sudah mengikuti program yang ditawarkan setakat ini memberikan respons yang positif.

“Kesemua pasangan yang menghadiri kursus rumahtangga kami memberi maklum balas bahawa mereka mendapatkan pemahaman yang jelas tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam alam perkahwinan.“

“Mereka juga lebih sedar tentang beberapa cabaran yang mereka mungkin akan menghadapi dalam kehidupan perkahwinan dan lebih yakin dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut,” kata Encik Ahmad Syakir.

“Lebih daripada 90 peratus peserta Program Memupuk Kasih (PMK) yang kami kendalikan telah melaporkan bahawa mereka yakin untuk menggunakan ilmu/kemahiran yang dipelajari. Mereka juga melaporkan yang tahap kesedaran dan pemahaman mereka mengenai isu dan cabaran berumahtangga sekali lagi dan pembentukan keluarga tiri, meningkat setelah mengikuti program kami ini,” kata Cik Nurhafizah.

Untuk keterangan lanjut mengenai kursus rumahtangga yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang dilantik MSF, pasangan boleh melungsuri laman https://go.gov.sg/msfmarriagepreparation atau bertanya dengan Naib Kadi masing-masing. Maklumat mengenai A Singapore Made For Families 2025 pula boleh diperolehi di https://go.gov.sg/MFF2025plan.