13 Apr Pastikan pembangunan wanita terus bertakhta di minda
This article was originally published by Berita Harian on 02 April, 2023.
APAKAH anda antara yang mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia tahun ini? Atau mengirim hadiah kepada wanita istimewa dalam hidup anda sempena sambutan lapan hari bulan Mac?
Jika jawapan anda adalah ‘ya’, apakah anda mendapati lebih ramai orang sama seperti anda?
Sebenarnya, tahun ini, ramai semakin sedar bahawa tema Hari Wanita Sedunia (IWD) tahun ini ialah Dakap Ekuiti.
Sudah tentu, kedua-duanya merupakan trend yang menggalakkan.
Mungkin trend ini boleh dihubung kait dengan kesan inisiatif Singapura mengisytiharkan 2021 sebagai Tahun Merai Wanita Singapura.
Tahun itu juga hampir 6,000 orang menyertai perbincangan mengenai pembangunan wanita Singapura dan dapatan daripada sesi-sesi itu membentuk Kertas Putih yang telah diluluskan di parlimen.
Dengan mengetengahkan perbincangan mengenai wanita, kesedaran tentang cabaran, aspirasi, dan sokongan yang diperlukan wanita semakin luas, dan lebih ramai yang terdorong – baik untuk melibatkan diri dalam perkembangan wanita mahupun merai mereka.
DI MANA GARIS PERMULAAN WANITA
Ramai dalam kalangan penggiat pembangunan wanita gigih menjejaki perkembangan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah naungan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – terutama Matlamat 5, yakni kesaksamaan jantina.
Dan tentu sekali tema IWD tahun ini – Dakap Kesaksamaan – adalah sesuatu yang ingin kita perjuangkan bersama.
Melalui interaksi dengan wanita, kanak-kanak dan keluarga yang mendapatkan khidmat Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), sudah jelas garis permulaan berbeza untuk setiap individu.
Kehidupan yang kita lalui membentuk pengalaman yang berbeza, jaringan yang tidak sama, dan peluang serta sumber tidak serupa. Pengalaman, jaringan, peluang, dan sumber semuanya boleh menjadi mangkin untuk membantu wanita menjadi versi terbaik diri sendiri dan mencapai aspirasi tertinggi masing-masing.
Justeru, penting untuk kita sedari dan memahami bahawa kehidupan setiap wanita berbeza. Justeru, bantuan dan sokongan yang ditawarkan harus setimpal dengan keadaan mereka serta memastikan, jarak seseorang wanita dengan garis permulaan dirapatkan.
Kita juga harus terus berusaha mewujudkan ekosistem yang membina dan menyokong supaya kita boleh meningkatkan pencapaiaan wanita. Ini boleh dikecapi apabila lelaki dan wanita manjadi rakan kongsi yang sama memberi, sama menerima.
Aspirasi wanita bukan miliknya sahaja, kemajuannya pula bukan memberi manfaat kepadanya saja. Jadi, dia tidak sepatutnya bersendirian dalam perjalanannya.
WANITA DI PERSADA DUNIA
Setiap tahun, ribuan aktivis yang memperjuangkan pembangunan dan peningkatan wanita berkumpul di ibu pejabat PBB di New York untuk mengikuti perbincangan Suruhanjaya Status Wanita ke-67 atau CSW67.
CSW mempromosikan kemajuan wanita, mengetengahkan realiti kehidupan wanita-wanita di serata dunia, dan membentuk piawai global mengenai kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita. Selama dua minggu, wakil pemerintah, wakil UN, wakil badan-badan membantu termasuk organisasi seperti PPIS hadir untuk sama-sama berbincang, bertukar pendapat, saling mempelajari antara satu sama lain, dan mengenal pasti jurang dalam pelaksanaan dasar global.
Malah tahun ini, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Hal Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, turut menyampaikan kenyataan kabangsaan Singapura secara langsung dari Perhimpunan Agung PBB.
Dalam kenyataannya, Cik Sun menyingkap usaha Singapura dalam mengutamakan pembangunan wanita dan beliau turut menekankan, meskipun Singapura mencatat kemajuan yang baik, masih banyak yang boleh dilakukan.
Bagi seseorang yang menghadiri perhimpunan CSW buat pertama kali, kenyataan Singapura seperti menjadi kata-kata perangsang yang mendorong untuk menghidupkan dan mengingatkan kita semua bahawa sedang kita sama-sama berusaha untuk memecahkan siling, kita juga mesti mengelap lantai supaya ia tidak melekit.
Tema utama CSW67 ialah “Inovasi dan perubahan teknologi, serta pendidikan dalam era digital untuk mencapai kesaksamaan jantina dan pemerkasaan semua wanita dan gadis.”
Beberapa dapatan utama yang diraih dari ratusan sesi-sesi CSW67 termasuk:
Dunia kini berada di saat genting, di mana teknologi dan pendigitalan sama ada boleh menjadi pemangkin pembangunan atau menyebabkan jurang jantina lebih luas.
Teknologi tidak direka oleh dan untuk wanita, justeru lebih ramai wanita harus menceburi bidang teknologi dan digital.
Penting untuk teknologi menjadi ruang yang selamat, penyedia khidmat pula perlu bertanggungjawab, dan pengguna harus didik.
Dalam dunia teknologi ada ruang untuk persimpangan positif, untuk teknologi digubal dengan mengambil kira keperluan wanita dan kanak-kanak perempuan yang khusus, dan sudah tentu untuk kita semua “membayar ke hadapan” supaya teknologi bukan sahaja untuk golongan yang berkemampuan.
Namun, yang paling menyerlah ialah para wakil yang hadir rata-rata menegaskan peri penting kita mulakan usaha merapatkan jurang jantina dari awal, pada usia muda. Apabila bermula pada usia muda, anak lelaki akan membesar menjadi sekutu lelaki yang bermotivasi untuk menyamakan kedudukan, dan apabila bermula lebih awal lebih ramai anak gadis akan lebih dekat dengan garisan permulaan.
TERUS RAIKAN, TERUS LAKAR JALAN
Tren meraikan wanita dewasa ini sesuatu yang menggalakkan dan harus diteruskan. Mengimbangi tanggungjawab di pejabat, di rumah, di kalangan masyarakat dan di mana-mana sahaja bukan sesuatu yang mudah. Kecekalan kaum hawa harus dikagumi, justeru kaum hawa wajar disokong untuk mengecapi aspirasi – terutama sekali dari kaum Adam.
Rujuk semula dapatan kajian PPIS mengenai Aspirasi Wanita Islam Singapura serta Kertas Putih Pembangunan Wanita Singapura yang boleh dijadikan iktibar untuk kita bersama lakarkan pelan untuk mara ke hadapan.
Sebagai sebuah masyarakat, kita juga boleh berganding bahu untuk membentuk dan memperluaskan naratif kejayaan. Kemajuan dan kejayaan wanita bukan untuk dan milik wanita sahaja – ia merupakan pencapaian bersama, kemajuan semua.