Penerimaan terhadap pasangan yang kahwin semula lebih tinggi

Home > News & Media > Penerimaan terhadap pasangan yang kahwin semula lebih tinggi

Penerimaan terhadap pasangan yang kahwin semula lebih tinggi

Last Update on August 1, 2022

This article was originally published by Berita Harian on 31 July, 2022.

TERDAPAT tahap penerimaan yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat serta sokongan lebih kukuh terhadap pasangan yang kahwin semula, kata Naib Kadi, Ustaz Nuzhan Abdul Halim.

Namun, masih ada stigma yang wujud dalam sesetengah keluarga terhadap perkahwinan melibatkan pasangan janda atau duda.

Menurut laporan terbaru Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian, perkahwinan semula masih membentuk sebahagian ketara (27 peratus), atau lebih satu dalam empat perkahwinan Islam pada 2021, meskipun ini telah merosot daripada 32.6 peratus pada 2011.

Ustaz Nuzhan berkata lebih ramai keluarga yang lebih terbuka mengenai status perkahwinan pasangan sebelum ini.

“Penerimaan masyarakat kini mungkin lebih terbuka.

“Dulu kalau kahwin janda atau duda, mungkin langsung tak dapat diterima keluarga. Orang tua mereka mungkin kata ‘betul kau nak kahwin janda atau duda?’

“Sekarang mereka mungkin kata ‘Baguslah, Alhamdulillah’,” kata Ustaz Nuzhan.

Beliau juga selalu menyarankan pasangan ini untuk menjalani program di Vista Sakinah yang menyediakan kursus persiapan rumah tangga, konsultasi, dan bengkel untuk keluarga tiri.

Pusat kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) itu dilancarkan pada 2009 untuk memberi sokongan kepada pasangan yang kahwin lagi serta anak-anak mereka.

“Banyak sumber dan sokongan yang diberikan. Saya beritahu mereka tidak sendirian dalam hal ini.

“Ada badan yang beri sokongan, yang fahami mereka,” ujar Ustaz Nuzhan.

Namun, masih ada juga pasangan melibatkan janda atau duda yang tidak dapat meneruskan perkahwinan kerana tentangan daripada keluarga.

“Saya selalu nasihatkan pasangan seperti ini supaya berunding dengan baik kerana walaupun mereka sudah bersedia, kita masih perlukan ibu bapa.

“Saya selalu kata, berikan masa untuk buktikan bahawa anda betul-betul bersedia dan ibu bapa yakin ini adalah pilihan tepat untuk anda dan anak-anak anda,” ujar Ustaz Nuzhan.