14 Mar Pengasas PPIS, Khatijun Nissa Siraj meninggal dunia pada 97 tahun
This article was originally published by BERITA Mediacorp on 08 March, 2023.
SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengumumkan pemergian pengasasnya, Khatijun Nissa Siraj hari ini (8 Mac).
Dalam kenyataannya, PPIS menyatakan Allahyarhamha Khatijun merupakan salah seorang daripada 22 pengasas yang terlibat dalam penubuhan persatuan itu pada 1952.
Pemergian wanita, yang mesra digelar ‘Mummy’ itu, pada tarikh 8 Mac juga cukup signifikan kerana ia juga merupakan Hari Wanita Sedunia, menurut PPIS.
Semasa hayatnya, Allahyarhamha merupakan seorang wanita yang berjiwa perintis dan berdedikasi untuk memperjuangkan golongan wanita Muslim di Singapura.
Pada tahun-tahun 1950an apabila undang-undang untuk melindungi wanita Muslim kurang ketat, beliau dan beberapa perintis wanita yang lain berjumpa dengan para penggubal undang-undang untuk menggesa supaya undang-undang lebih tegas diadakan untuk melindungi golongan wanita Muslim.
Usahanya itu membawa kepada pembangunan Mahkamah Syariah pada 1958.
Dua tahun kemudian, Allahyarhamha menjadi kaunselor wanita pertama di Mahkamah Syariah.
Beliau juga menyumbang kepada pembangunan Akta Pentadbiran Undang-Undang Muslim (AMLA) yang mencetuskan kesedaran terhadap hak wanita Melayu/Islam dan merupakan detik signifikan bagi masyarakat Muslim Singapura.
Pada 2014, Allahyarhamha Khatijun disertakan ke dalam Dewan Kemasyhuran atas usahanya mengasaskan PPIS pada 1952 dan Majlis Kebajikan Wanita Islam pada 1964.
Pemergiannya disifatkan sebagai kehilangan kepada masyarakat dan negara ini, namun warisan peninggalannya tetap akan memberi suntikan inspirasi kepada generasi wanita akan datang, menurut PPIS.
“PPIS akan memenuhi amanah untuk meneruskan dengan usaha baik oleh perintis kita supaya kita dapat mencapai misi sebagai sebuah masyarakat wanita berjaya dan keluarga yang berkembang maju.
“Bagi pihak keluarga #OnePPIS, kami mengutuskan takziah sedalam-dalamnya dan doa kepada keluarga Allahyarhamha Khatijun Nissa Siraj,” kata Presiden PPIS, Hazlina Abdul Halim.