Pilu apabila anak pulang ke pangkuan keluarga kandung

Pilu apabila anak pulang ke pangkuan keluarga kandung

This article was originally published by Berita Harian on 21 November, 2022.

MEMANDANGKAN penjagaan titipan hanyalah untuk waktu sementara, akan tiba masanya keluarga titipan perlu berpisah dengan anak yang dijaga itu.

Dalam satu buku panduan terbitan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Oasis baru-baru ini, keluarga titipan mengongsi pengalaman mereka mengucapkan selamat tinggal sebelum anak itu pulang ke pangkuan keluarga kandung atau keluarga titipan baru.

Ada yang menganjurkan majlis perpisahan sambil memberi jaminan kepada anak titipan berkenaan bahawa rumah keluarga itu kekal terbuka kepadanya.

Ada yang mengumpul gambar dan ucapan untuk memberi galakan kepada anak tersebut.

Ada juga keluarga titipan yang mengurangkan kegiatan untuk mengatasi jangkaan anak itu terhadap keluarga kandung mereka apabila pulang nanti.

“Bantu anak titipan anda untuk fahami bahawa perpisahan boleh menjadi detik yang sedih dan juga gembira.

“Dalam hal ini, perpisahan itu bermakna keluarga kandung mereka telah mencapai kemajuan yang baik dan kini bersedia untuk disatukan kembali dengan anak mereka,” kata PPIS dalam buku bertajuk Memupuk Hubungan – Koleksi Amalan Terbaik oleh Ibu Bapa Titipan dan Profesional.

Apabila anak itu meninggalkan rumah keluarga titipan, ini boleh membawa kepada rasa kehilangan dan keperitan kepada kededua anak dan ibu bapa titipan.

“Perasaan ini biasa, justeru usah abaikan atau ketepikannya,” menurut buku itu lagi.

Rasa kehilangan boleh diluahkan pelbagai cara, dan ini mungkin berbeza bagi setiap individu. Ada yang akan menangis, ada pula yang akan menahan air mata.

Ada yang akan menyibukkan diri dengan kegiatan, manakala ada pula yang menjauhkan diri.

“Untuk membantu anda mengatasi rasa kehilangan ini, anda perlu memahami pelbagai peringkat rasa kehilangan daripada model Kubler-Ross: penafian, kemarahan, tawar-menawar (bargaining), kemurungan dan penerimaan.

“Semua perasaan ini boleh dirasakan pada waktu yang sama, dan tidak mengikut mana-mana urutan.

“Ini akan membantu anda untuk memahami perasaan yang mungkin timbul dengan pemergian anak itu,” kata PPIS.

Ibu bapa titipan yang menghadapi rasa kehilangan setelah anak titipan itu pulang ke keluarga kandung mereka boleh berbual dengan pekerja sosial mereka, kata PPIS lagi.

Sebuah keluarga titipan mengongsi pengalaman mereka berbual dengan anak yang dijaga itu sebelum pulang kepada keluarga kandung.

“Kami memberitahu anak itu kami bangga dengannya setelah melihat banyak perubahan positif, dan melahirkan harapan dapat berjumpa kembali dengannya.

“Waktu berpisah, kami berpelukan dan meminta maaf atas kekurangan kami dalam menjaganya, dan memberi jaminan kepadanya bahawa dia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga kami,” kata salah satu keluarga itu.