Home > News & Media > PPIS kembang rangkaian pusat khidmat keluarga
PPIS kembang rangkaian pusat khidmat keluarga
This was originally published by Berita Harian on 14 November 2024.
Pusat Sokongan Keluarga As-Salaam Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), yang sebelum ini dikenali sebagai Agensi Khusus Bantuan Perceraian, akan beralih ke Program Pengukuhan Keluarga@Pusat Khidmat Keluarga (FAM@FSC) mulai 1 April 2025.
Perkembangan itu mencerminkan kemampuan tambahan pusat tersebut untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan trauma yang lebih meluas kepada semua keluarga di Singapura.
Demikian diumumkan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, semasa Forum Khidmat Sosial PPIS 2024 pada 14 November yang berlangsung di Hotel One Farrer.
Bertemakan Rising Against Trauma: Embracing Culturally Responsive Trauma-Informed Care in Social Services, forum tersebut dihadiri 340 karyawan perkhidmatan sosial, termasuk pekerja sosial, kaunselor, pelajar kerja sosial dan rakan kongsi masyarakat.
Ia disertai penceramah utama Pengarah Program Allambi Care di Australia, Dr Howard Bath; dan Penolong Kanan Pekerja Sosial Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Cik Yogeswari Munisamy; serta penceramah panel, Pengurus Kanan Pusat PPIS FSC East, Cik Nuraida Khalid.
Cik Sun menambah bahawa bersama dengan 10 FAM@FSC sedia ada, PPIS akan menyediakan sokongan perkahwinan, sokongan perceraian dan kaunseling keluarga sebagai sebahagian daripada usaha persatuan itu memperdalam penglibatannya dengan masyarakat.
Beliau memberikan contoh PPIS Oasis, yang telah bekerjasama dengan Melrose Care untuk menyediakan terapi trauma khusus bagi anak titipan, dan PPIS Vista Sakinah serta INSPIRASI PPIS, yang bekerjasama rapat dengan Kadi dan Naib Kadi untuk menggalakkan pasangan mereka menghadiri program persediaan perkahwinan.