Home > News & Media > PPIS & LBKM tawar biasiswa pos siswazah untuk wanita
PPIS & LBKM tawar biasiswa pos siswazah untuk wanita
Last Update on May 5, 2023
This article was originally published by BERITA Mediacorp on 04 May, 2023.
SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Biasiswa khusus bagi kaum wanita.
Memorandum itu telah ditandatangani Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim dan Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi pada Rabu (3 Mei)
Ia disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Tuminah Sapawi dan Pengarah Eksekutif LBKM, Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid.
BIASISWA SOKONG ASPIRASI WANITA DAN PUPUK GENERASI PEMIMPIN WANITA
Biasiswa itu bertujuan membangunkan kumpulan pemimpin wanita dalam pelbagai bidang kurang diwakili kaum hawa.
Ini termasuk dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bidang penting lain dalam pembangunan sosio-ekonomi Singapura seperti Pembelajaran Wanita dan Gerontologi.
“Ini merupakan pelaburan kita untuk masa depan. Ini merupakan kemahiran yang kita memerlukan dan yang diperlukan Singapura dan yang paling penting sekali, apabila kita menimba pengalaman dalam bidang-bidang ini, ia juga dapat mempertingkatkan perwakilan dan juga kehadiran wanita di tahap-tahap kepimpinan,” kongsi Cik Hazlina.
“Dengan adanya sokongan ini, wanita tidak perlu mengorbankan atau melihat aspirasi mereka terkandas, supaya mereka dapat terus mencapai aspirasi yang telah dilakarkan iaitu keinginan untuk meningkatkan tahap kemahiran,” tambah beliau.
Biasiswa itu juga menandakan komitmen kedua-dua badan itu dalam menyokong aspirasi wanita, sambil memupuk dan memperkasa generasi pemimpin wanita masa depan.
“Peluang untuk bekerjasama dengan LBKM akan meluaskan lagi jaringan mereka yang boleh memohon untuk biasiswa ini dan yang paling penting, kerjasama ini menjadi satu isyarat bahawa aspirasi wanita itu penting dan memerlukan tumpuan dan usaha kita bersama sebagai satu masyarakat,” ujar Cik Hazlina.
“Kami ingin menyokong para wanita untuk terus belajar ke tahap-tahap yang tertinggi. Kalau mereka boleh menyumbang kepada masyarakat memang baik, tetapi kalau kita boleh memberi mereka peluang untuk menyumbang kepada peringkat nasional dan peringkat antarabangsa melalui ilmu-ilmu yang mereka dapat dengan mempelajari pada tahap yang tinggi, kami ingin memberi peluang sebegitu,” kata beliau.
BIASISWA DIBERIKAN KEPADA SEORANG PEMOHON SETIAP TAHUN
Kuantum bagi biasiswa itu adalah S$150,000 untuk tempoh 10 tahun, bermula tahun ini sehingga 2033.
Sebanyak S$15,000 akan diperuntukkan setiap tahun dan dianugerahkan kepada seorang pemohon setiap tahun, dan ini ditadbir urus oleh LBKM.
Biasiswa itu dibuka kepada para pemohon yang merancang untuk meneruskan pengajian atau sedang mengikuti program pos siswazah sepenuh masa dalam bidang STEM, Gerontologi, Kerja Kemasyarakatan, atau bidang relevan yang lain.
Permohonan bagi biasiswa itu bermula pada Jun ini, dengan butirannya boleh didapatkan diĀ laman LBKM.