PPIS sambut baik khutbah Jumaat yang bela kaum wanita

Mosque prayer room

PPIS sambut baik khutbah Jumaat yang bela kaum wanita

PPIS sambut baik khutbah Jumaat yang bela kaum wanita

This article was originally published in BERITAMediacorp on June 5, 2021.

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengalu-alukan Khutbah Jumaat semalam (5 Jun) di merata Singapura, yang menegaskan peri perlunya menjaga maruah, martabat dan menghormati kaum wanita.

Berucap secara maya di acara Perjumpaan Hari Raya PPIS hari ini (6 Jun), Presiden PPIS Hazlina Halim berkongsi bahawa pihak PPIS turut berbesar hati kerana pertubuhan-pertubuhan lain turut berkongsi Khutbah tersebut di platform masing-masing.

Dalam khutbah tersebut yang disiapkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), ia menekankan:

“Mesej Islam sangat jelas: tiada perbezaan antara lelaki danwanita pada aspek kemuliaan, kehormatan serta penghargaan, dan kedudukan wanita bukannya lebih rendah daripada kaum lelaki disisi Tuhan.

“Kes tinjauan lucah yang dijalankan baru-baru ini amat mengejutkan masyarakat kita, dan – amat kesal sekali – ia bukan satu-satunya kes sedemikian. Mereka yang melakukan ini telah gagal untuk melihat aspek kemanusiaan pada diri individu yang mereka hina. Mereka hanya melihat individu tersebut sebagai satu objek untuk memenuhi keinginan mereka. Kebiasaan ini mestilah dibuang sebelum ia makin berleluasa sehingga lebih ramai lagi yang menjadi mangsa.”

PERANAN PENTING KAUM WANITA

Acara perjumpaan Hari Raya PPIS itu dihadiri oleh Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling dan lebih 30 pemimpin masyarakat wanita dari pelbagai pertubuhan sekular dan keagamaan.

“Keluarga PPIS dan saya gembira berada di sini bersama para pemimpin wanita dari pelbagai kumpulan agama, pertubuhan masyarakat sivik dan rakan masyarakat; bukan sahaja untuk meraikan Hari Raya tetapi juga menyambut kepelbagaian dan sikap inklusif serta meluangkan sedikit masa untuk bersikap lebih memahami,” kata Cik Hazlina.

Dalam pada itu, Cik Hazlina juga menekankan mengenai peranan kaum wanita sebagai tulang belakang keluarga dan masyarakat. Kaum wanita katanya memainkan beberapa peranan penting di rumah dan tempat kerja.

“Sebilangan besar kaum wanita bertugas sepenuh masa di samping mengimbangi dengan tugas menjaga anak-anak dan tanggungjawab rumah tangga yang lain.

“Malah, tugas menguruskan pelbagai peranan menjadi lebih sukar semasa COVID-19 kerana lebih masa diperlukan untuk membuat penyesuaian kepada bekerja dari rumah (WFH) dan Pembelajaran Dari Rumah. Mujur, sesetengah tidak berjuang sendirian kerana suami, keluarga dan rakan-rakan turut memberi sokongan,” ujar Cik Hazlina lagi.

Lantaran itulah, PPIS bertujuan untuk menyokong dan meningkatkan kehidupan para wanita di fasa-fasa kehidupan mereka yang berbeza. Ini termasuk menyokong para wanita mengharungi pandemik global ini, yang sudah menjejas mereka – dan segelintir dengan agak ketara.

– BERITAmediacorp/tq