Home > News & Media > PPIS sambut Hari Kebangsaan bersihkan pantai, bantu pelajar keperluan khas
PPIS sambut Hari Kebangsaan bersihkan pantai, bantu pelajar keperluan khas
Last Update on October 18, 2023
This article was originally published by Berita Harian on 16 August, 2022.
MENYUMBANG kembali kepada masyarakat dengan membersihkan pantai East Coast dan memberi hadiah kepada murid berkeperluan khas sekolah MIJ Hub (My Inspiring Journey).
Itulah yang dilakukan kakitangan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) sebagai sebahagian sambutan Hari Kebangsaan ke-57 Singapura pertubuhan itu.
Setelah dua tahun diadakan dalam talian disebabkan Covid-19, acara sambutan Hari Kebangsaan PPIS kembali secara fizikal dan diadakanpasda 5 Ogos.
Ia turut disertai presidennya, Cik Hazlina Abdul Halim; ahli Lembaga Pengarah Dr Razwana Begum; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tuminah Sapawi, serta kakitangan daripada semua pusat pertubuhan itu.
Dengan tema Stronger Together (Lebih Kukuh Bersama), sambutan tahun ini bertujuan menggerakkan kakitangan PPIS untuk kembali kepada alam semula jadi dan menunjukkan penghargaan terhadap alam sekitar melalui inisiatif mesra alam pembersihan pantai.
Di samping itu, PPIS berharap dapat memanjangkan nilai belas kasihan kepada murid berkeperluan pendidikan khas dengan memberi mereka hadiah, bagi meringankan sedikit beban kewangan keluarga mereka dan mendorong mereka menjadi cemerlang.
Dalam temu ramah bersama Berita Harian, Cik Hazlina berkata: “Sebagai pertubuhan perintis wanita Islam di Singapura, PPIS adalah sahabat wanita Islam di sini, menyokong mereka melalui pelbagai fasa kehidupan mereka.
“Misi kami termasuk membina keluarga berdaya tahan yang menyokong aspirasi wanita.
“Tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Lebih Kuat Bersama, Majulah!’, bergema dengan kuat bersama kami. Kami kekal komited menghubungkan dan bekerjasama dengan agensi dan rakan kongsi yang berfikiran sama untuk membina masyarakat berdaya tahan, inklusif dan penyayang.
“Kami bekerjasama dengan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) untuk mengendalikan rumah tumpangan sekular pertama bagi wanita pelbagai agama, Rise Above Halfway House (RAHWH), untuk mengukuhkan sokongan penjagaan selepas pesalah dibebaskan.
“RAHWH bukan berusaha mengintegrasikan semula wanita ke dalam komuniti dan menyokong mereka sedang mereka bersatu semula dengan keluarga mereka, malah membina komuniti penjagaan bersama dengan jiran terdekat, rakan kongsi dan pihak berkepentingan.
“RAHWH juga menyasarkan menjadi ruang selamat bagi wanita membina modal insan dan sosial serta menggalak mereka berintegrasi kembali ke dalam masyarakat.”