Home > News & Media > Ruang selamat untuk wanita, ‘RED Space’, dilancarkan PPIS
Ruang selamat untuk wanita, ‘RED Space’, dilancarkan PPIS
Last Update on October 30, 2023
This was originally published by BERITA on 28 October, 2023.
SINGAPURA: Satu kemudahan sehenti bagi wanita kini dibuka untuk sediakan sokongan kepada wanita dalam mencapai aspirasi mereka dan melebarkan rangkaian dengan wanita lain.
Antaranya termasuk kerjaya wanita, kesejahteraan dan keperluan guaman serta sumber platform bagi mereka mendapat akses kepada maklumat, bantuan dan rujukan.
Ruang yang dinamakan RED Space itu dilancarkan oleh Jabatan Penyelidikan dan Penglibatan (RED) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pada Sabtu (28 Okt).
Terletak di dalam Pejabat PPIS di Eunos Crescent, ruang itu juga merupakan satu tambahan kepada usaha masyarakat pertubuhan itu bagi menangani sebarang jurang sumber yang ada, memudahkan usaha dan meningkatkan kesedaran tentang khidmat dan sumber yang menyeluruh buat golongan wanita.
RED Space dibuka kepada semua wanita tidak mengira latar belakang mereka, agama mahupun usia.
“Fokus utama sebagai permulaan ialah untuk memastikan tawaran yang disediakan adalah daripada tiga tunggak iaitu pendidikan, kesejahteraan dan juga kerjaya dan ini adalah di antara yang kami percaya amat penting sebagai langkah pertama untuk seseorang wanita yang mencari peningkatan, yang ingin mendapatkan kelebihan ataupun pertolongan yang lebih tepat demi merealisasikan aspirasi masing-masing,” menurut Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim.
“Ruang khusus ini juga kami harapkan dapat melakukan beberapa perkara, yakni menjana peluang baru untuk para wanita memupuk dan juga meluaskan jaringan sosial mereka supaya lebih ramai kenalan dan menjadi lebih luas pandangan,” tambah beliau.
MENDIDIK, MEMPERKASA & MENDEKATI
Berasaskan tiga nilai utama iaitu Mendidik, Memperkasa dan Mendekati, Cik Hazlina juga berharap ruang itu dapat menjadi ruang pilihan bagi golongan wanita tampil dan mendapatkan sokongan, dorongan dan juga pertolongan.
Ruang itu juga dilengkapi dengan bilik-bilik kecil antaranya bagi menawarkan khidmat-khidmat konsultasi seperti guaman dan kewangan, selain ruang utama untuk program-program lain.
Untuk memastikan keberkesanan sokongan dan khidmat yang diberikan, RED turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan-rakan masyarakat di mana mereka boleh menampilkan khidmat dan program mereka di RED Space itu.
Antaranya termasuk syarikat Activ.Co, Daughters of Tomorrow (DOT), Workforce Singapore (WSG), MGirl.Co dan Women At Work (W@W).
Malah, gerai-gerai oleh rakan-rakan masyarakat itu turut disediakan dalam acara pelancaran hari ini (28 Okt) di luar Ibu Pejabat PPIS untuk anggota masyarakat, selain sesi-sesi ceramah yang diadakan di RED Space.
Acara itu dihadiri oleh lebih 100 tetamu termasuk rakan-rakan masyarakat, para wakil dari pertubuhan wanita, pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan orang awam.
PELBAGAI BADAN KERJASAMA UNTUK USAHA ITU
Gabungan usaha dengan badan-badan lain itu amat dialu-alukan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Cik Rahayu Mahzam, yang hadir untuk memeriahkan lagi acara pelancaran itu.
“Kita lihat ramai wanita yang mempunyai peluang untuk meningkatkan diri mereka, mendapatkan pelajaran, pendidikan dan juga memasuki kerjaya-kerjaya yang berbeza tetapi dalam masa yang sama, kita masih juga melihat ramai yang mungkin menghadapi situasi yang mencabar dan tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan dan sokongan,” kongsi Cik Rahayu.
“Jadi penting untuk adanya ruang-ruang sebegini di mana banyak khidmat dapat diberikan kepada golongan wanita untuk membantu mereka secara menyeluruh dari aspek-aspek yang berbeza dalam kehidupan mereka agar mereka dapat meraih peluang yang sedia ada dan membantu meningkatkan diri mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, Cik Rahayu juga berkongsi tentang kepentingan kolaborasi antara pelbagai badan masyarakat untuk memperkasa wanita.
“Banyak yang telah dijalankan oleh pelbagai badan termasuk PPIS untuk membantu mereka yang dalam keadaan lebih rumit dan sukar tetapi dalam kita melakukan usaha itu, kita dapat lihat semakin ramai yang kita bantu, yang tinggal adalah situasi di mana banyak mempunyai situasi yang amat rumit, di mana usaha untuk membantu mereka menjadi lebih mencabar,” ujar Cik Rahayu.
“Ini bermakna penting sangat untuk kita memastikan adanya kolaborasi dari pelbagai pihak yang boleh membantu daripada aspek-aspek yang berbeza dan kita harus juga cuba menggunakan peluang ini untuk memanfaatkan usaha semua, apa-apa yang sedia ada dalam masyarakat, kita cuba mengumpulkannya bersama, memastikan yang sokongan itu dapat diberikan secara menyeluruh dan holistik kepada mereka yang memerlukan bantuan,” tambah beliau.
Beliau juga menyentuh tentang usaha Melakar Hala Tuju Singapura atau ‘Forward Singapore’ yang juga menekankan tentang pentingnya kompak sosial.
Kerjasama dan gabungan kepakaran boleh dimanfaatkan bagi terus memperkasa golongan wanita dan keluarga mereka.